Friday, September 23, 2011

Bahagia Bukan Milikku 1


Prolog 

Kelihatan seorang gadis sedang berlari laju dalam kegelapan malam. Air mata terus merembes di pipi. Sekali-sekala kepalanya menoleh ke belakang bimbang dijejaki. Dia nekad. Walau apa pun terjadi dia akan terus berlari untuk menyelamatkan diri.

Nafas Zaira tercungap-cungap. Dia mula memperlahankan lariannya. Apabila sudah pasti tiada sesiapa yang mengekorinya, dia berhenti dari lariannya. Tubuhnya ingin dibiarkan tersorok disebalik apa-apa objek yang boleh menghalang.  Zaira tersandar di kereta Honda CRV yang diparkir disitu. Dia tidak tahu milik siapa. Biarlah, dia hanya mahu tumpang menyorok dari Fadhli, sepupunya.

Zaira mula lega kerana tiada siapa yang mengekorinya. Kepalanya masih terjenguk-jenguk memerhati. Ingin berwaspada. Difikirannya mula terbayang kejadian tadi yang hampir meragut kesuciannya. Mengingatkan peristiwa itu, air matanya laju menuruni pipi. Teresak-esak dia disitu menahan sendu. Tidak disangka ahli keluarganya sendiri berniat menghancurkan dirinya begitu. 

Hujan renyai mula turun membasahi bumi. Zaira menoleh ke dada langit. Titis-titis kecil hujan jatuh ke mukanya. Zaira pasrah. Air hujan itu tidak bisa membasuh luka yang sedang dialaminya.

“Kenapa abang Fadhli jahat?” Soal Zaira perlahan. Tubuhnya sudah terduduk di atas tar. Kedua tangannya memaut lututnya yang telanjang. Mula terasa kesejukan yang menjalar di tubuh yang banyak terdedah itu.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Iskandar mengerling jam ditangannya. Sudah hampir pukul 12.00 malam. Wajahnya diraup beberapa kali. Sudah hampir 24 jam matanya mengadap skrin komputer. Dia mula terasa keletihan. Badannya dibiarkan bersandar di kerusi untuk seketika. Setelah itu, dia mengemas mejanya berniat untuk pulang ke rumah.

Iskandar menyelak langsir yang menutupi jendela bilik pejabatnya. Kelihatan dibawah hanya tinggal sebuah kereta yang tersadai di tempat parking. Honda CRV miliknya. Dia mengeluh perlahan. Sejak dua menjak ini dia sering pulang lewat. Terlalu banyak kerja yang perlu dilakukannya. Kerjaya sebagai seorang peguam memang mencabar. Kajian harus dibuat bagi memastikan kes-kes yang diwakilinya menang dimahkamah.  

Kerana kerjayanya itu jugalah membuatkan dia tiada masa untuk dirinya sendiri. Jika sudah berumah tangga tentu isterinya sering berduka. Perkara itu yang selalu dirunsingkan oleh kedua ibu bapanya. Dalam beberapa minit sahaja lagi usianya akan genap 28 tahun. Dia hampir terlupa. Hai siapalah nak sambut hari jadi aku ni. Iskandar mengeluh untuk kesekian kalinya.
Iskandar teringat perbualannya dengan uminya sebulan yang lalu ketika dia bertandang ke teratak kelahirannya itu.

“Astargfirullah al-azim. Tak bangun-bangun lagi.” Puan Zaiton mengucap panjang apabila masuk ke bilik anak bujangnya yang seorang itu.

Iskandar masih terbungkang tidur diatas katil. Masih tidak menyedari kehadiran uminya disitu. Tiba-tiba dia terasa sakit di bahunya. Iskandar cuba menepis gangguan itu. Dia sangat mengantuk.

“Bangun Iskandar. Bangun!” Puan Zaiton menampar-nampar bahu telanjang Iskandar. Anak itu masih liat untuk membuka mata. Puan Zaiton mengetap bibir kegeraman.

“Mohd Iskandar Tuah Bin Habsyah. Bangun!” Kuat pukulan Puan Zaiton dipinggul anaknya. Iskandar mula membuka mata. Tangannya menggosok bahagian yang sakit.

“Umi ni apa ni. Sakitlah Is. Is mengantuklah, bagilah Is tidur kejap.” Mata Iskandar masih degil untuk celik sepenuhnya. Puan Zaiton duduk dibirai katil memandang anaknya yang seorang itu.

“Hari-hari kamu macam ni ke Is?” Puan Zaiton bertanya.

“Macam mana apa?” Iskandar menggaru kepala tidak mengerti. Matanya ditenyeh beberapa kali. Belum sempat dia berbaring semula uminya sudah menghadiahkan cubitan kecil di pinggangnya. Iskandar terduduk semula sambil menyeringai kesakitan.

“Sampai bila kamu nak macam ni Is?” Tanya Puan Zaiton lagi.

“Umi ni.” Iskandar menggaru kepalanya kuat. Rimas dengan soalan uminya.

“Umi rasa kamu patut kahwin.” Puan Zaiton berkata. Kata-kata itu membuatkan Iskandar terkejut. Terus hilang rasa mengantuknya.

“Apa umi merepek ni?” Iskandar mengadap wajah tua uminya itu. Puan Zaiton masih bersahaja.

“Habis sampai bila kamu nak macam ni? Tidur entah ke mana, Makan pakai langsung tak terjaga. Kalau kamu dah kahwin tak perlulah umi nak risau. Ada orang jaga makan pakai kamu.” Puan Zaiton berceloteh panjang.

Iskandar yang tersenyum-senyum tadi mula terkekeh-kekeh ketawa. Tak sangka itu yang uminya fikirkan. Tawa Iskandar tiba-tiba terhenti. Dia mengaduh kecil pula.

“Umi cakap serius kamu gelak pula.” Marah Puan Zaiton.

“Habis pagi-pagi umi dah buat lawak. Kalau kucing Kak Yuni kat bawah tu dengar pun dia gelakkan umi tau.” Iskandar menggosok perutnya yang perit dek cubitan uminya.

“Bertuah punya anak. Umi nak kamu kahwin.” Puan Zaiton berkata tegas. Geram dipermainkan oleh anaknya tadi. Iskandar mula gelisah melihat wajah tegas uminya. Betul ke umi ni. Arghh tiba-tiba minta aku kahwin. Adoi. Iskandar bersungut.

“Kali ni umi tak main-main. Sekali umi cakap kamu mainkan umi balik. Dah banyak masa umi bagi dekat kamu Is. Kalau kamu tak bawa balik calon menantu umi genap umur kamu 28 tahun ni, umi kahwinkan je kamu dengan pilihan umi.” Tegas sekali Puan Zaiton berbicara. Langsung tidak memberi peluang kepada Iskandar untuk mencelah.

 +++++++++++++++++++++++++++++++


BAB 1

Iskandar memerhatikan ruang bilik pejabatnya. Briefcasenya berada ditangan kanannya. Setelah berpuas hati, dia memadam lampu lalu mengunci pintu dari luar. Terus dia melangkah ke lif untuk menuju ke kereta.

Iskandar melangkah tenang ke keretanya. Hujan renyai yang turun dibiar membasahi tubuhnya. Tiba-tiba dia terdengar suara esakan kecil. Iskandar menelan liur. Langkah kakinnya terpaku disitu. Matanya meliar memandang sekeliling. Bimbang suara itu dari makhluk lain. Diamatinya dengan jelas. Pendengarannya serasa tidak tersalah mendengar suara tangisan itu dari sebalik keretanya. Iskandar membongkok memerhati dari bawah kereta. Dia ternampak sesuatu yang berada disitu. Jantung Iskandar berdetak pantas.

Mulutnya terkumat-kamit membacakan beberapa surah yang terlintas dihatinya. Dikuatkan semangatnya melangkah mendekati kereta. Mungkin tu orang kot yang duk menangis. Iskandar memberi kata-kata semangat kepada diri sendiri.

Zaira terkejut mendengar bunyi tapak kasut yang semakin mendekatinya. Esakannya terus terhenti. Dadanya mula berdegup kencang. Bimbang itu adalah Fadhli yang sudah tahu kedudukannya. 

Zaira mula berdiri untuk bersedia. Dia tak peduli, Dia akan melawan semahu-mahunya. Biarlah tubuhnya sakit-sakit kerana mempertahankan diri seandai Fadhli memaksa. Tangannya digenggam kemas bersedia untuk menumbuk wajah Fadhli.

Iskandar berhati-hati melangkah. Dia berdoa semoga wajah disebalik kereta itu bukan sesuatu yang amat ditakutinya. Hantu! Selesai mengaminkan doa, Iskandar menjenguk. Dan dia sangat-sangat terkejut.

“Aduh.” Iskandar mengaduh kecil. Wajahnya yang sakit dipegang. Zaira menggelabah. Air mata dipipinya disapu. Matanya berkali-kali dipejam celik melihat jasad dihadapannya itu. Eh bukan Fadhli. Salah orang. Macam mana ni. 

“Maaf encik. Saya tak sengaja.” Segera Zaira meminta maaf. Wajah lelaki dihadapannya itu kelihatan kesakitan. Kuat juga ke penangan buku lima aku ni.

“Cik buat apa dekat sini malam-malam?” Iskandar sudah mula bersuara. Pipinya diherotkan beberapa kali bagi menghilangkan rasa sengal. Tubuh gadis dihadapannya dipandang dari atas hingga ke bawah.

Zaira terperasan dengan renungan mata lelaki dihadapannya itu. Kedua tangannya membetulkan baju yang senteng ditubuhnya dan menyilangkan kedua tangannya bagi menutup sebahagian dadanya yang sedikit terdedah. Zaira begitu tidak selesa dengan lelaki dihadapannya itu.

“Maafkan saya.” Iskandar tersedar akan perbuatannya yang membuatkan gadis dihadapannya itu tidak selesa. Iskandar membuka pintu kereta. Mengambil kot yang tersangkut didalam keretanya. Kot itu diserahkan kepada gadis tu.

Zaira takut-takut untuk mengambil. Bimbang termakan budi akan tergadai body seperti yang ingin dilakukan oleh Fadhli. Dia serik.

“Ambillah, tentu cik sejuk hujan-hujan ni.” Iskandar tersenyum manis cuba meyakinkan gadis itu niat baiknya. Akhirnya Zaira mengambil kot itu dan disarungkan ke tubuhnya sambil dibantu oleh Iskandar.

“Er, terima kasih encik.” Ucap Zaira perlahan. Iskandar mengangguk kecil.

“Cik tak apa-apa ke? Cik buat apa kat sini malam-malam?” Iskandar bertanya lagi setelah gadis itu kelihatan tenang.

“Saya..saya...” Tergagap-gagap Zaira ingin berkata. Bibir gadis itu kelihatan menggigil. Iskandar berfikir sendiri. Mungkin dia sejuk.

“Duduklah dalam cik. Lagipun hujan ni.” Iskandar menawarkan gadis itu supaya berteduh didalam keretanya. Gadis itu masih takut-takut untuk menurut.

“Jangan bimbang cik, niat saya baik.” Ucap Iskandar sambil tersenyum. Zaira memandang sekeliling memastikan dia betul-betul selamat daripada Fadhli. Didalam hatinya sempat berdoa, ‘Ya Allah jauhkan aku dari perkara buruk.’ Perlahan-lahan Zaira memboloskan dirinya ke dalam kereta.

Belum sempat Iskandar menutup pintu kereta, tiba-tiba dia ditegur oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Terkejut Iskandar dengan kehadiran mereka.

“Assalamualaikum encik.” Seorang lelaki memberi salam. Lampu suluh disuluhkan ke mata Iskandar. Iskandar menahan matanya dengan tapak tangannya.

“Waalaikumsalam.” Jawab Iskandar ramah. Empat daripada enam orang lelaki itu memakai songkok dan lebai. Dua daripadanya berjaket hitam tertera tulisan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan didada kiri mereka.

“Kamu berdua buat apa disini malam-malam ni?” Tegur salah seorang. Matanya memerhatikan Zaira yang berada didalam kereta. Iskandar mula berasa tidak sedap hati. Zaira sudah gelisah ditempat duduknya.

“Tak buat apa-apa encik.” Jawab Iskandar pendek. Jantungnya mula berdegup laju. Zaira memberanikan diri keluar dari kereta.

“Ni berdua-duaan dalam gelap macam ni takde apa-apa? Siapa perempuan ni?” Jerkah lelaki disebelah pula. Iskandar terkulat-kulat mahu menjawab.

“Er saya pun tak kenal dia. Saya cuba nak bantu dia tadi.” Iskandar memberi penjelasan.

“Tunjuk kad pengenalan.” Minta lelaki tadi. Iskandar mengeluarkan dompet dari poket seluarnya. Kad pengenalannya diserahkan kepada lelaki tadi.

“Kad pengenalan kamu?” Lelaki itu meminta pula dari Zaira. Zaira sudah menggelabah. Macam mana ni. seingat dia sewaktu melarikan diri tadi dia tidak memegang apa-apa. Ah, beg tangannya tertinggal di bilik 'neraka' itu tadi. apa yang harus aku jawab. Alamak. Zaira semakin gelisah dengan pandangan semua mata yang terarah kepadanya.

"Encik, beg tangan saya hilang. Saya rasa terjatuh semasa dalam perjalanan ke sini." Terang Zaira perlahan.

"Siapa nama kamu? Kamu dari mana tadi?" Tanya seorang lelaki berjaket hitam.

"Saya Zaira Zalikha. Err, saya...saya.." Tergagap Zaira. Takkan mahu diberitahu dia dari kelab hiburan tadi. Mampus masuk lokap nanti. Fikir Zaira.

"Ustaz, semua budak-budak dekat kelab sana tu dah diuruskan." Tiba-tiba muncul seorang lelaki entah dari mana menyampuk antara mereka menyelamatkan Zaira menjawab soalan lelaki berjaket itu tadi.

Kemudian empat orang lelaki itu menjauh sedikit untuk berbincang. Zaira dan Iskandar dikawal oleh lagi dua orang lelaki yang tinggal. Didalam kepala Zaira mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Apalah nasibnya selepas ini. Kenapa hidupnya terlalu malang, sudah jatuh ditimpa tangga pula. Aduh!

"Bawak mereka ke balai." Iskandar dan Zaira tidak mampu membantah. Mereka hanya mengikut langkah ke enam-enam lelaki tadi.

No comments:

Post a Comment