Friday, September 23, 2011

Bahagia Bukan Milikku 6

BAB 6

Iskandar menapak keluar dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Zaira yang mengekornya. Mereka berdua dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000.00 seorang. Puan Zaiton dan Encik Habsyah turut hadir dalam perbicaraan.

“Is, tunggu dulu Is.” Puan Zaiton menahan anaknya yang sudah ingin berlalu ke kereta.

Iskandar memberhentikan langkahnya juga. “Is nak cepat umi.” Iskandar berwajah tegang. Zaira dibelakangnya sudah tunduk menghulurkan tangan menyalami tangan uminya. Hatinya masih berbaki kemarahan buat umi dan papanya itu. Namun dia turut menghulurkan tangan bersalam dengan kedua orang tuanya itu.

“Jomlah ke rumah dulu Is.” Puan Zaiton cuba memujuk hati anaknya itu.

“Nantilah umi. Is ada hal lagi nak buat lepas ni.” Iskandar menolak. Dia masih dingin melayan orang tuanya itu.

“Kalau macam tu takpelah. Bila-bila nanti bawaklah Zaira ke rumah ye Is.” Walaupun terasa Puan Zaiton masih menuturkan kata lembut pada anaknya itu.

“Hurm, nantilah. Is pergi dulu.” Jawab Iskandar bersahaja. Tangan kedua orang tuanya disalami sekali lagi. Giliran Zaira, Puan Zaiton menghadiahkan kucupan pada kedua belah pipi menantunya itu. Sempat dia berbisik sesuatu pada Zaira.

Didalam kereta Iskandar mahupun Zaira, masing-masing hanya membisukan diri. Hanya lagu dari siaran Hot FM yang berkumandang membawa pergi sunyi antara mereka.

Fikiran Zaira tidak disitu. Terlakar dimindanya wajah kedua orang tua Iskandar. Dia kasihan melihat air muka hampa pada wajah Puan Zaiton tadi. Teganya aku merentap kasih sayang antara ibu dan anak. Maafkan Zaira. Rintih hati kecil Zaira.

Masih terngiang-ngiang ditelinga Iskandar akan kata-kata Dr. Diana semalam. Dia masih tidak dapat menerimanya.

“Are you sure Diana?” Soal Iskandar kepada sahabatnya itu.

“Yes, I’ve done it twice. The result is still same. She’s still virgin.” Bersungguh Dr. Diana meyakinkan rakannya itu.

Iskandar mengeluh kecil. Dia tersandar dikerusi didalam bilik itu. Masakan pelacur seperti Zaira tu masih dara? Aku tak percaya! Bisik hati kecilnya.

“Who is she Is?” Soalan Dr. Diana menyedarkannya kembali. Wajah penuh tanda tanya itu dipandangnya.

“My client.” Iskandar menjawab pendek.

“You tipu Is.” Dr. Diana mengecilkan anak matanya memandang wajah Iskandar. Dia yakin sahabatnya itu sedang berbohong.

“It’s true Diana.” Iskandar masih juga berbohong.

“Jangan tipu I Is. Kenapa you beria sangat nak buat ujian ni? Is there something that you should tell me Is? I’ve smell something fishy here.” Dr. Diana cuba mengorek rahsia.

“Please Diana. Don’t ask me about this.” Iskandar mendengus kecil. Tiada sesiapa pun yang patut tahu status dirinya sekarang.

Dr. Diana menjadi simpati melihat wajah gelisah Iskandar. Tidak jadi dia ingin mengorek rahsia. Mungkin bila tiba masanya nanti baru Iskandar akan memberitahu.

“Kalau macam tu jom kita ke kafe. I belanja you minum. Tenangkan sikit diri you tu. Macam mana you nak selesaikan kes kalau you berserabut macam ni.” Dr. Diana bangun menyangkut jubah putihnya dikerusi. Iskandar meraup wajahnya dan cuba mempamerkan senyum.

“Thanks Diana.” Gadis itu membalas senyuman Iskandar mesra.

“Jom. Nanti I ada appointment dengan mak Datin pukul 2.00 petang. Lewat nanti membebel tak ingat you.” Dr. Diana beraksi ketika bercakap. Dia cuba menimbulkan jenaka antara mereka. Kemudian dia menolak tubuh Iskandar ke pintu. Iskandar tergelak kecil melihat gaya sahabatnya itu.

Fikiran Iskandar mula kembali ke alam nyata apabila terdengar bunyi hon yang bersahutan. Cepat-cepat Iskandar membetulkan stereng kereta yang sudah hampir memasuki laluan bertentangan. Mujur sempat, kalau tidak… Iskandar mengucap syukur. Dia baru teringat akan Zaira. Wajah ketakutan disebelahnya dipandang. Mungkin sahaja Zaira terkejut dengan lencongan kereta yang dipandunya tadi.

“Kau tak apa-apa?” Soal Iskandar bimbang. Zaira langsung tak bersuara. Dia hanya mengangguk kecil.

Zaira beristighfar kecil. Terkejut benar dia mendengar bunyi hon yang membingit disekeliling. Dia sendiri termenung jauh tadi. Langsung tidak sempat memberi peringatan kepada Iskandar. Mujurlah Iskandar cekap menyelamatkan keadaan. Takut sekali dia membayangkan detik kecemasan tadi.

Sampai sahaja dirumah, seperti biasa Iskandar terus membawa diri ke bilik tidurnya. Bungkusan makanan yang dibeli tadi dibawa oleh Zaira ke meja makan. Zaira kemudiannya turut menapak ke kamarnya.

Masuk hari ni sudah enam belas hari dia dan Iskandar menjadi pasangan suami isteri. Zaira masih tidak betah berada di kondominium milik suaminya itu. Lelaki itu saban hari akan keluar seawal pagi ke pejabat. Malamnya, waktu dinihari baru pulang ke rumah. Dia diperlakukan seperti tidak wujud didalam rumah itu.

Sebolehnya dia tidak mahu duduk bergoyang kaki dirumah itu. Iskandar langsung tidak bercakap dengannya. Tidak menyuruhnya memasak, mengemas, atau apa sahaja. Jadi tak senang dia duduk disitu. Namun bab-bab makan lelaki itu membenarkan dia makan apa sahaja yang ada didalam rumah itu. Arahan lelaki itu bahana kejadian dia lemah tidak makan dua hari dulu.

Keputusan yang dibuat memang sukar. Jalan apa yang dia ada untuk menyelamatkan diri dari tangan Fadhli. Persetujuan Puan Zaiton itu benar-benar seperti membawa harapan baru kepadanya. Memang dia agak terkejut pada mulanya. Masakan gesaan wanita itu mahu diturutinya. Setelah ditimbang tara, dia meyakinkan dirinya untuk terima perkahwinan itu memandangkan Iskandar sendiri telah memberi persetujuannya. Dia ada alasan sendiri kenapa dia mahu berkahwin dengan Iskandar.

Zaira mengeluh kecil mengingatkan bisikan Puan Zaiton tadi. Ah, kenapa kau pentingkan diri macam ni Zaira.

“Umi harap Zaira dapat bersabar dengan Is.” Begitulah pesanan ibu mertuanya tadi. Mulianya hati mu rela menerima aku sebagai menantu. Terima kasih Puan.

Jam dinding yang berbunyi diluar menyedarkan lamunan Zaira. Segera dia melangkah keluar untuk melihat jam. Sudah pukul 4.00 petang. Allahuakbar, sampai terlupa nak solat Zohor. Terkocoh-kocoh Zaira melangkah ke bilik air untuk mengambil wudhu. segera dia bersolat dan menunggu tiba waktu Asar pula.

++++++++++++++++++++++++++++

Iskandar tersedar dari lenanya apabila terdengar deringan handphonenya. Panggilan dari Izzat itu disambut malas.

“Assalamualaikum bro.”

“Waalaikumussalam.”

“So, macam mana? Dah selesai kes?”

“Okay, kena denda RM3,000.00 seorang.”

“Oh, hurm takpelah asalkan kes selesai. Duit boleh dicari.”

“Heh, yelah tu bro.”

“Kau buat apa ni? Wife kau mana?”

“Aku baru terjaga ni.”

“Wah, perubahan positif. Sorry lah kacau korang berdua tidur.” Izzat ketawa kecil. Gelakan dari bibir Izzat menghangatkan hati Iskandar.

“Woi..woi.. Aku tak cakap aku tidur dengan dia. Mana aku tahu dia buat apa.” Iskandar meninggikan nada suaranya. Geram dengan telahan Izzat yang memandai-mandai tu.

“Aik, macam tu pulak. Tak faham aku kau ni.” Izzat pelik.

“Kau kalau call ni sebab nak tanya pasal dia baik tak payah.” Rengus Iskandar geram.

“Ish kau.. Ni, bila kau nak kenalkan wife kau tu dekat aku?”

“Erm, tengoklah nanti. Bro, pukul berapa ni?” Iskandar tidak melihat jam lagi.

“Dah pukul 5.30 petang ni.”

“What? Bro, nantilah cakap dengan kau lagi. Aku tak solat lagi ni. Chow dulu.” Iskandar bingkas bangun dari katil.

“Assalamualaikum.” Izzat memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Iskandar menamatkan panggilan.

Terkocoh-kocoh Iskandar ke bilik air bersama tuala. Dia ingin membersihkan diri dahulu sebelum bersolat. Mujur dia sempat solat Zohor tadi sebelum tidur. Kalau tidak, kena qada’ lah jawabnya.

Selesai mandi dan bersolat, Iskandar membuka laptopnya yang terdapat diatas meja kerja. Sejak dua minggu ni dia jadi sibuk tak terkata. Dia sedang mewakili dua kes di mahkamah sebagai pihak defenden. Kajian terperinci perlu dibuat bagi memastikan dia dan client menang kes tersebut.

“Erm lapar pulak dari tadi tak makan ni.” Iskandar memegang perutnya yang berbunyi. Baru dia teringat dia ada membeli makanan tadi. ‘Zaira sudah makan ke belum?’ Detik hatinya.

Iskandar melangkah keluar dari biliknya. Ketika melintas bilik Zaira, pintu bilik itu diperhatikannya dengan tanda tanya penuh didada. Apa yang dia buat dalam tu? dah makan ke? Dah solat ke? Iskandar mendengus perlahan. Membuang rasa ingin tahu yang berlegar dimindanya. Perempuan itu tidak layak. Jerit hatinya.

Di atas meja makan, masih tersedia bungkusan makanan yang dibelinya tadi. Langsung tidak terusik. Perempuan tu tak lapar ke? Tanya dia kepada diri sendiri.

Tombol pintu dipulas cermat. Bimbang membangunkan penghuninya jika sedang tidur. Iskandar menjengukkan kepalanya. Dia lihat Zaira sedang membelakanginya duduk bersimpuh diatas lantai.

“Ehem..” Iskandar berdehem kuat. Zaira yang terkejut terus menoleh dengan wajah yang agak kepucatan.

“Nasi tu aku beli suruh makan. Jangan nak membazir sesuka hati.” Iskandar memesongkan lidahnya. Tadi dia berniat ingin bertanya kenapa gadis itu tidak makan lagi. Memikirkan semula, tidak perlu rasanya dia berbuat baik pada gadis itu.

“Pergi hidang. Aku nak makan.” Sambung Iskandar lagi. Wajah takut Zaira dipandangnya tanpa perasaan.

Zaira bangun dan ikut melangkah keluar dari bilik. Iskandar melabuhkan tubuhnya pada sofa diruang tamu manakala Zaira terus ke meja makan. Bungkusan makanan dibukanya cermat dan dimasukkan ke dalam pinggan.

“Encik, encik nak air apa?” Soal Zaira sambil memandang wajah Iskandar dari dapur.

“Air sejuk je.” Jawab Iskandar endah tak endah. Kaca tv yang menyala langsung tidak menarik perhatiannya. Matanya tajam memerhatikan gerak geri Zaira secara curi-curi. Siapa kau sebenarnya hah?

Zaira menatang pinggan nasi dan segelas air sejuk ke ruang tamu. Dia meletak dengan cermat ke atas meja kopi. Iskandar hanya diam memerhatikannya. Pandangannya tajam menikam.

“Jemput makan encik.” Sopan Zaira bersuara.

“Air basuh tangan mana? Sudu ke?” Soal Iskandar garang dan matanya tajam merenung wajah Zaira.

“Maaf encik.” Zaira menunduk kecil pantas dia ke dapur semula mengambil sudu dan garfu serta sedikit air paip diisi dalam mangkuk kecil. Dia tidak tahu Iskandar ingin makan menggunakan tangan atau sudu. Langkah selamat baik dia bawak dua-dua.

Iskandar mencelupkan jemari kanannya ke dalam mangkuk berisi air. Dengan lafaz bismillah dia memulakan suapan. Zaira masih berdiri ditepi meja.

“Kau pergilah sana makan.” Iskandar berkata geram. Semua benda nak tunggu aku bagi arahan dulu ke? Fikirlah sendiri benda simple macam ni. Gerutu Iskandar. Zaira pantas bergerak ke meja makan semula.

Dia membasuh tangan dan menuang air sejuk ke dalam gelas. Kemudian dia pun memulakan suapan ke mulut. Lambat-lambat dia menyudahkannya. Lega terasa bila perut yang lapar terisi. Alhamdulillah.

Selesai menghabiskan pinggan nasinya, Iskandar berjalan ke sinki untuk membasuh tangan. Zaira masih menjamah makanannya dimeja makan.

“Kemas semua ni. Aku tak nak tengok kotor.” Iskandar bersuara semasa mengelap tangan basahnya pada kain pengelap yang tergantung di peti ais.

“Baik encik.” Zaira mengangguk laju dengan gaya kelam kabutnya.

Selepas itu Iskandar menapak ke bilik tidurnya semula tidak betah untuk berada disitu lama-lama. Jadi sakit hati apabila bola matanya menangkap wajah isterinya itu.

+++++++++++++++++++++++++++++++

Selepas Maghrib tadi Iskandar sudah duduk diruang tamu menghadap siaran berita di Tv3. Malam ini dia ada perkara yang ingin diputuskan dengan Zaira. Dia masih menanti Zaira melangkah keluar dari biliknya.

Keriukan bunyi pintu dibuka menyedarkan Iskandar. Matanya mengerling pada jam di dinding hadapannya. Pukul 9.00 malam. LangkahZaira yang bergerak ke dapur dihalangnya.

"Kau duduk sini. Aku ada hal nak cakap dengan kau." Garau Iskandar menuturkan kata. Zaira berpusing dan berjalan ke sofa yang diduduki Iskandar. Dia berdiri disitu menanti bicara Iskandar.

"Duduk." Iskandar memberi arahan apabila gadis itu masih tegak disebelah sofa menunduk ke lantai.

"Terima kasih encik." Zaira akur dan duduk pada sofa dua tempat duduk.

"Ada apa encik?" Tanya Zaira lembut.

"Kau buat apa tadi dalam bilik?" Soal Iskandar memulakan bicara.

"Solat encik." Jawab Zaira. Matanya masih menunduk ke lantai.

"Aku ada hal nak bincang pasal kau." Iskandar melepaskan nafasnya. Zaira menggigit bibir. Iskandar nak ceraikan aku ke? Wajah Zaira menggelabah.

"Mulai esok aku nak kau jalankan tugas-tugas kau dalam rumah ni." Iskandar berhenti. Matanya merenung pada Zaira yang memandangnya tadi. Namun cepat-cepat gadis itu menekur lantai.

"Aku nak kau ironkan semua baju-baju aku. Kau juga kena memasak untuk aku. Baju-baju aku juga kau kena basuh. Rumah ni… kau kena kemaskan." Sambung Iskandar.

"Kau faham tak ni?" Iskandar bertanya. Dari tadi Zaira masih tidak memberi reaksi pada kata-katanya.

"Faham encik." Zaira mengangguk dan mata mereka bertatapan seketika.

"Bagus." Iskandar mengangguk kecil.

"Sekarang ni kau pergi iron semua baju-baju aku." Arah Iskandar.

"Encik, pasal memasak tu... Encik bersarapan pukul berapa? Makan malam?" Soal Zaira takut-takut. Iskandar diam memikirkan kata-kata Zaira itu. Erm, betul juga dia tanya tu.

"Pasal memasak tu esok aku buat jadual." Iskandar memutuskan setelah lama berfikir.

“Err, malam ni encik nak makan tak?” Soal Zaira yang masih duduk disofa.

“Aku nak makan ringan-ringan je. Kau bakar roti kejap lagi lepas tu buat telur hancur.” Arah Iskandar masih dengan nada tegas.

“Sekarang ke?” Soal Zaira sambil memandang wajah Iskandar.

“Kau tak dengar ke aku suruh iron baju aku dulu!” Iskandar mula menempik. Buru-buru Zaira berlalu dari situ dan menuju ke pintu bilik Iskandar.

Iskandar bersandar ke kerusi. Matanya masih mengekor langkah laju isterinya itu. Geram jadinya bila ditanya banyak kali. Aku dah cakap tu ikut jelah. Rungut Iskandar kecil.

“Err, encik…” Iskandar menoleh. Wajah Zaira yang kelihatan gerun dengannya dipandang dengan dahi berkerut. Apa lagilah dia ni. Getus Iskandar perlahan.

“Baju-baju encik dalam bilik encik ke? Nak iron dekat mana? Err… Saya boleh masuk?” Zaira meramas jemarinya sewaktu berkata. Wajahnya dibiar menunduk ke lantai. Takut dengan kemarahan Iskandar yang boleh datang tiba-tiba.

“Hish..” Iskandar mendengus sebelum bangun dari tempat duduknya. Dia bergerak menuju ke bilik tidurnya.

Zaira hanya memerhati Iskandar yang mengangkat iron board dan iron masuk ke dalam biliknya.

“Sini.” Zaira pantas mengikut langkah kaki Iskandar ke bilik tidurnya.

“Semua baju dalam almari ni aku nak kau iron.” Kata Iskandar sambil membuka pintu almari tiga pintu itu. ‘Mak aih banyaknya baju. Biar betul aku kena iron semua ni.’ Kata Zaira didalam hati. Matanya bulat melihat gantungan baju yang sendat didalam almari itu.

“Untuk malam ni aku nak kau iron dulu baju ni. Esok aku nak pakai pergi kerja.” Iskandar mengambil sehelai kemeja lengan panjang berwarna hijau muda dan seluar slack hitam lalu diserah kasar pada Zaira.

“Pastikan setiap pagi baju kerja aku beriron elok. T-shirt ni semua pun kau kena iron. Kau urus masa kau sendiri macam mana nak buat semua ni. Jangan bila aku nak tu baru kau terkocoh-kocoh nak buat.” Sambung Iskandar lagi dengan nada tegas.

“Faham tak?” Iskandar sedikit menjerkah.

“Faham encik. Saya pergi dulu.” Zaira berpusing bersama pakaian ditangan untuk ke biliknya semula.

“Nanti…” Iskandar menahan. Zaira menoleh semula melihat Iskandar.

“Aku benarkan kau masuk bilik aku waktu aku takde dalam ni. Kalau aku ada, ketuk dulu pintu. Mintak izin aku. Jangan sesekali kau usik barang-barang aku dengan tujuan lain. Maksudnya kalau kau nak kemas, boleh. Kalau kau sengaja gata-gatal nak pegang siap kau. Ingat tu.” Iskandar memberi amaran keras. Zaira hanya mengangguk. Tidak berani memandang lelaki itu.

“Pergi buat kerja kau. Lepas tu buat roti bakar aku.” Arah Iskandar lagi. Zaira segera bergerak pergi dari bilik tidur  itu.

Lima belas minit kemudian Zaira keluar dari biliknya bersama baju kerja Iskandar yang sudah berseterika. “Encik, saya gantung dalam bilik encik ya?” Soal Zaira. Iskandar hanya mengangguk.

Selepas itu Zaira menuju ke dapur pula untuk menyediakan makan malam Iskandar. ‘Roti bakar… Nak bakar dalam apa ni?’ Zaira memandang sekeliling ruang dapur. Setahu dia kalau nak membakar tu orang pasang api. Ni nak pasang api dekat mana? Zaira dah mati akal.

“Encik… Nak bakar macam mana roti ni?” Zaira sudah berdiri berdekatan Iskandar.

Iskandar mengerutkan dahinya. ‘Biar betul, nak bakar roti pun tak tahu macam mana? Ish perempuan ni, menyusahkan betul. Apa yang kau tahu?’ Hati Iskandar menggeletek geram. Dia bangun untuk ke dapur.

“Ni, guna pembakar rotilah. Nak guna apa lagi. Apa guna ada benda ni?” Iskandar menunjuk kasar pada pembakar roti yang tersedia diatas  kabinet dapur. Zaira mengetap bibir. Sumpah, ini kali pertama dia melihat benda yang dikatakan pembakar roti itu.
Iskandar merenung Zaira yang kelihatan terpinga-pinga itu. Ish takkan tak pernah guna pembakar roti budak ni? Pelik aku. Fikir Iskandar sendirian.

“Kau tengok ni. Masuk dua keeping roti macam ni… lepas tu kau set masa dia, tengok macam mana. Tapi ni kau tak payah usik. Aku dah set betul-betul. Kau cuma perlu tekan butang ni je.” Terang Iskandar dengan gayanya sekali. Namun, nada suaranya masih dingin seperti diawal perkahwinan mereka dulu.

Zaira memerhati dengan tekun. Saat roti itu terangkat, Zaira kelihatan sedikit terkejut. Dia mengurut dadanya perlahan. Iskandar menahan tawanya melihat gelagat gadis itu. Macam orang asli yang baru first time tengok pembakar roti. Geli hati dia.

“Ini tandanya roti ni dah masak. Ambil piring.” Arah Iskandar. Zaira pantas mematuhinya. Iskandar mengambil roti tadi dan diletakkan diatas piring ditangan Zaira.

“Ambil planta dalam fridge.” Arah Iskandar lagi. Zaira membuka peti ais mencari barang yang dikehendaki suaminya itu. Kemudian dia menghulurkan pada Iskandar.

“Sapu planta ni macam ni dekat roti. Siap.” Tunjuk Iskandar lagi. Zaira mengangguk tanda faham.

“Telur hancur mana?” Iskandar merenung tajam wajah Zaira.

“Err, kejap encik. Saya buat sekarang.” Terkulat-kulat Zaira. Segera dia mengambil kuali dan diletakkan diatas para dapur gas. Kemudian peti ais pula dibuka untuk mengambil telur.

“Dua biji.” Zaira mengikut arahan Iskandar lalu membersihkan kulit telur dibawah pancuran air pili. Iskandar hanya memerhati perbuatan Zaira yang memasukkan minyak dan menghidupkan api gas. Ingatkan tak tahu guna dapur gas jugak. Detik hatinya.

Selesai sahaja, Zaira terus memasukkan telur hancur tadi ke dalam piring. Lalu diletakkan diatas meja makan. Matanya memandang Iskandar, menunggu arahan lelaki itu untuk yang seterusnya.

“Kau bakar lagi roti. Yang ni aku tak nak. Kau makan sendiri.” Iskandar berkata sambil menolak sedikit piring yang berisi roti bakar tadi. Setelah itu, dia terus melangkah ke ruang tamu semula.

Kali ini Zaira yang membuat sendiri roti bakar. Debaran dihatinya hanya Tuhan yang tahu. Takut apa yang dia buat tidak memenuhi kehendak Iskandar. Setelah siap, dia membawa piring telur hancur dan roti bakar yang disekalikan ke ruang tamu. Kali ini di tidak lupa membawa sudu dan garfu. Berhati-hati Zaira menghidangkannya diatas meja. Berdebar hatinya menunggu kritikan lelaki itu.

“Takkan nak makan dengan sudu? Pergi ambil pisau makan. Jangan ambil pisau potong daging pulak.” Iskandar berkata sinis. Zaira terasa semput. Ada sahaja perlakuannya yang tidak disenangi oleh Iskandar. Buru-buru dia mencari pisau yang diminta Iskandar. Nampak sahaja terletak elok dalam bekas diatas kabinet, terus dia capai dan dibawa ke depan.

“Telur ni lain kali letaklah garam sikit. Tawar macam ni orang sakit je makan. Pergi ambil lada.” Kritikan pertama dari bibir Iskandar. Zaira melepas nafasnya dan ke dapur semula mencari lada.

“Kat mana encik?” Laung Zaira dari balik pintu peti ais.

“Tengok betul-betul dalam peti ais tu. Penutup warna merah. Kecil je bekas dia. Ambil planta sekali.” Iskandar turut bercakap dari jauh. Dalam minda terfikir, berani pulak dia laung kuat-kuat macam tu. kalau tak melulu datang kat aku tanya.

Iskandar menuang serbuk lada ke dalam piringnya. Dia menggaul telur hancur tadi bagi meratakan lada tadi. Roti disapu dengan planta pula. Dengan cermat Iskandar memasukkan kepingan roti dan telur ke dalam mulutnya. Zaira yang memerhati menelan liur. Terasa teringin pulak. Nampak sedap.

“Kau pergi habiskan roti tadi. Jangan nak membazir.” Iskandar mengarah. Zaira mengangguk dan berjalan ke dapur semula. Roti bakar yang sudah sejuk diambilnya lalu digigit perlahan. Sedap jugak. Zaira tersenyum kecil menikmati roti bakar yang pertama kali dijamahnya.

“Bakar lagi roti dua keeping. Lepas tu buatkan susu.” Suara Iskandar mengganggu Zaira tiba-tiba. Tanpa bantahan Zaira terus melakukan apa yang disuruh oleh suaminya.

Selesai sahaja menghabiskan empat keping roti bakar dan segelas susu, Iskandar terus meninggalkan ruang tamu untuk ke ruang tidurnya. Sebelum dia berlalu sempat dia mengingatkan Zaira supaya mengemas meja kopi yang sudah disepahkannya. Seperti biasa, Zaira tidak sedikit pun membantah.

No comments:

Post a Comment