Friday, September 23, 2011

Bahagia Bukan Milikku 10

BAB 10

Iskandar tersandar pada kerusi kerjanya. Jam sudah pun melewati pukul 10.00 malam. Dia terlalu leka dengan kerjanya tadi sehingga tidak perasan yang hari sudah jauh malam. Iskandar menggeliat perlahan membetulkan tulang-temulangnya yang terasa sengal.

Kes yang dikendalikannya kali ini berkenaan satu pertuduhan kes rogol seorang gadis Cina. Dia mewakili gadis Cina itu mendakwa seorang lelaki Cina atas pertuduhan tersebut.

“Haish, dunia sekarang. Kes rogol ni semakin berleluasa dekat mana-mana.” Bicara Iskandar perlahan. Kerusi yang diduduknya dipusing mengikut arah jam. Mata tetap terpejam rapat sambil fikirannya ligat memikirkan pelbagai perkara.

Iskandar melirik pada jam diatas meja. Sudah pukul 10.40 malam. Dia bingkas bangun berniat untuk pulang ke rumah. meja yang berselerakan dikemas serba sedikit. Tidak lupa juga dia mencatat sesuatu pada diarinya berkenaan kerja yang ingin dilakukan esok. Takut jika terlupa.

Lima belas minit kemudian, Iskandar bergerak bersama briefcasenya ditangan selepas menutup suis lampu bilik kerjanya. Dia terus ke CRV miliknya yang diparkir di ruang parkir untuk pulang ke rumah.

*******

Zaira yang kelihatan pucat mukanya melangkah keluar ke ruang tamu untuk melihat jam. Dia mengeluh kecil. Sudah hampir pukul 10.00 malam, Iskandar masih belum pulang.

Biasanya Zaira langsung tidak berniat menunggu kepulangan Iskandar kerana takut lelaki itu salah sangka. Tapi hari ini, saat ini, dia memang benar-benar ingin menunggu sehingga wajah lelaki itu terjengul disebalik pintu rumah. Dia tidak kisah kalau lelaki itu mahu menengkingnya nanti.

Zaira menekan perutnya yang terasa senak. Sejak melangkah keluar dari bilik air untuk mengambil wudhu pukul 8.30 malam tadi keadaan dia sudah seperti cacing yang kepanasan. Dari mana dia mahu mendapatkan pertolongan? Dia sendiri tidak mempunyai simpanan saat memerlukan begini.

“Aduh, sakitnya perut ni. Kenapa pulak yang kali ni nak sakit sampai macam ni.” Zaira mengaduh kecil. Tubuhnya terbongkok-bongkok menahan sakit.

Dia melangkah ke sofa berangkai tiga diruang tamu. Tubuhnya dibaringkan diatas sofa sambil matanya tetap ditumpukan pada pintu rumah. Dari sini dia terus nampak pintu. Senang nak nampak kalau Iskandar dah balik nanti.

“Ahhh..” Sekali lagi Zaira menekan perut yang terasa begitu menyucuk-nyucuk. Senggugutnya kali ini memang benar-benar melemahkannya.

Sekali-sekala tangannya teraba pada seluar dibahagian punggung. Bimbang jika haidnya terpalit disitu, nanti terkena pada sofa pula. Habis diamuk oleh Iskandar nanti. Dia memang terlupa benar tentang perkara itu. Sekarang bila dah datang, barulah terkial-kial macam ni.

Perut yang sakit membuatkan Zaira benar-benar lemah. Sudah lama benar dia menunggu namun Iskandar tidak lagi menampakkan diri di kondominium itu. Entah bila, Zaira ketiduran disofa itu sambil menahan sakit diperutnya.

+++++++++++++++++++++++++++

Iskandar memberhentikan kereta diruang parkir miliknya. Dia masih belum mematikan enjin. Berita isu semasa yang disampaikan diradio menarik perhatiannya. Seorang gadis melayu mati dibunuh selepas dirogol bergilir-gilir oleh lapan lelaki warga Bangladesh.

Mengucap Iskandar mendengar suara pembaca radio itu. “Allahuakbar, dunia sekarang. Memang menakutkan.” Luah Iskandar perlahan. Tamat sahaja siaran berita, Iskandar terus mematikan enjin keretanya.

Dengan langkah longlai, dia menapak ke pintu lif untuk naik ke rumahnya yang berada di tingkat 10. Lemah rasanya ingin pulang ke rumah bil mengingatkan statusnya yang sudah memperisterikan Zaira. Iskandar melepas nafas berat.

Tombol pintu dipulas perlahan-lahan. Biasanya kalau waktu begini, Zaira sudah pun tidur. Apa yang dia masak malam ni ye? Fikir Iskandar. Pintu rumah ditutup perlahan.

Iskandar tidak membuka lampu ruang tamu kerana dia ingin terus ke biliknya. Cahaya dari koridor sudah cukup untuk menerangi langkahnya ke bilik. Langkah kakinya terbantut apabila terpandangkan tubuh seseorang yang terbaring diatas sofa dengan kaki yang terjuntai ke lantai. Iskandar terasa pelik.

“Kenapa dia tidur dekat sofa ni pulak? Takkan tunggu aku? Buat apa?” Omel Iskandar perlahan.

Tidak pernah gadis itu menunggunya pulang ke rumah. Ke dia tengok tv? Mata Iskandar terarah pada peti televisyen yang gelap. Tak mungkin. Iskandar mendekat pada tubuh Zaira.

Diperhatikan wajah Zaira yang agak tertutup dengan juntaian rambutnya yang separas bahu. Wajah itu berkerut, tapi tetap memejamkan mata. Tangan gadis itu pula dilihat berada diperutnya. Pelbagai soalan timbul dibenak Iskandar melihat keadaan itu.

Ingin mendapatkan kepastian, lantas Iskandar mencuit bahu Zaira dengan hujung jari telunjuknya berniat untuk membangunkan gadis itu. “Hei..” Panggil Iskandar perlahan.

“Hei..” Panggil Iskandar lagi. Tubuh Zaira bergerak.

“Hei, bangunlah.” Iskandar mengeraskan suara. Tangannya sudah menggoncang bahu Zaira supaya segera tersedar.

Pantas mata Zaira terus terbuka saat mendengar suara keras Iskandar. Akibat tindakan reflex, tubuhnya terus ingin berdiri. Dalam kekalutan itu, kepala Zaira terlaga pada hidung Iskandar yang tidak sempat mengelak.

“Aduh.” Iskandar terus menekup hiudungnya yang terasa sakit.

“Encik maafkan saya.” Menggelabah Zaira meminta maaf atas kesalahannya itu.

Iskandar merenung tajam wajah Zaira dalam kesamaran cahaya lampu dari luar itu. Hidungnya digosok perlahan. Wajah bengis dilemparkan ke arah Zaira. Gadis itu tertunduk ketakutan.

“Maaf encik. Saya tak perasan encik dah balik.” Pohon Zaira lagi sambil meramas jemarinya yang bertaut erat.

“Kenapa kau tidur sini?” Iskandar bertanya dingin. Malas mahu memanjangkan cerita.

Pertanyaan Iskandar mengingatkan Zaira tentang dirinya. Kepalanya laju menoleh ke sofa yang menjadi tempat bersemayam punggungnya tadi. ‘Alhamdulillah tak bocor.’ Hati Zaira tersenyum kelegaan.

“Err, encik..” Suara Zaira tersekat. Iskandar makin pelik melihat tingkah Zaira yang gelabah itu. Matanya tadi ikut terarah pada sofa yang dipandang Zaira. Ada apa dekat situ? Detik hatinya.

“Apa, cakaplah cepat. Aku penat ni.” Suara Iskandar sedikit meninggi.

“Encik, boleh tak belikan saya pad.” Laju kata-kata Zaira meluncur dibibir apabila dijerkah begitu. Iskandar buat muka pelik. Pad?

“Saya… Saya datang bulan encik. Saya perlukan pad.” Sambung Zaira semula. Matanya yang bertembung pandang dengan mata Iskandar cepat-cepat ditalakan pada karpet dilantai. Gerun jadinya.

“Pad? Apa tu?” Iskandar masih tidak memahami.

“Err, tuala wanita.” Rungkai Zaira. Akhirnya Iskandar mengangguk kecil.

‘Oh period. Cakaplah tadi.’ Hati Iskandar bermonolog sendirian.

“Kenapa kau tak cakap awal-awal dulu?” Iskandar menyoal garang. Menutup perasaan malu yang bertandang kerana lambat memahami tadi. Dia tidak mahu diperlekehkan oleh gadis dihadapannya itu.

“Saya tak ingat encik.” Ucap Zaira perlahan. Wajahnya masih tertunduk.

“Apa yang kau ingat? Dalam kepala otak kau ni ada apa je?” Herdik Iskandar. Zaira tidak berani mengangkat muka.

“Dah, pergi 7-Eleven bawah tu je.” Dengus Iskandar perlahan. Mujur kedai 24 jam itu dekat sahaja dengan rumahnya. Seberang jalan sahaja.

“Cepatlah.” Gesa Iskandar yang sudah berdiri dihadapan pintu rumah apabila Zaira masih merenung karpet dikakinya. Cepat-cepat Zaira menapak mengikut langkah kaki suaminya. Pintu rumah dikunci oleh Iskandar.

Mereka hanya berjalan kaki ke 7-Eleven dengan Zaira yang mengekor dua langkah dibelakang Iskandar.

Sampai sahaja Zaira terus mencari barang yang diinginkannya. Dia terus mencapai bungkusan tuala wanita jenama Kotex, maxi yang ada sepuluh keping yang tersusun dirak. Tiba-tiba suara Iskandar menegurnya dari belakang.

“Tak payah ambil yang kecil-kecil. Beli yang besar terus. Lain kali tak payah beli lagi bila dia nak datang.” Tekan Iskandar ditelinga Zaira.

Tangan Zaira masih berkira-kira untuk mengikut arahan Iskandar. Dia tidak mahu terlalu mengharapkan duit Iskandar. Memang ada benarnya kata-kata lelaki itu tadi, tapi dia malu.

“Ambil ni.” Iskandar terus mencapai dua bungkus tuala wanita 60 keping jenama Kotex, maxi dan diserahkan pada Zaira. Zaira membulatkan mata tidak percaya.

“Dah, bayar.” Iskandar berkata sebelum berlalu ke kaunter.

Zaira menahan rasa malunya apabila juruwang lelaki itu membungkus barang yang dibelinya ke dalam plastik. Dia ternampak ada senyum kecil yang cuba disembunyikan oleh lelaki itu. Wajah Iskandar yang menghulurka not kertas RM 50.00 dijelingnya. Selamba sahaja wajah lelaki itu.

“Terima kasih, datang lagi.” Ucap lelaki juruwang itu ramah semasa menghulurkan beg plastik dan wang baki.

“Hurm.” Iskandar mengangguk bersama wang baki ditangannya. Dengan isyarat matanya dia menyuruh Zaira mengambil bungkusan plastik barangnya.

Sempat Zaira menundukkan kepala kepada juruwang tadi sebelum cepat-cepat berlalu mengikut langkah Iskandar yang sudah jauh meninggalkannya didepan.

‘Malunya..’ Hati Zaira berkata perlahan.

Iskandar berpusing. Geram hatinya melihat Zaira yang masih agak jauh darinya.

“Cepatlah jalan tu.” Keras Iskandar menyergah. Terkocoh-kocoh Zaira melajukan langkah kakinya mengikut Iskandar menuju ke rumah milik suaminya itu.

Sampai sahaja dirumah, Zaira terus melangkah ke bilik tidurnya untuk mengambil tuala dan seluar baru untuk dipakai. Selepas itu laju kakinya melangkah ke bilik air diluar bilik.

Iskandar memetik suis lampu. Dia tersenyum kecil melihat Zaira dari ruang tamu. Kelakar pula melihat tingkah isterinya itu. Dia menggeleng perlahan.

Meja makan ditepinya menggamit perhatian. Dia melangkah ke meja makan dan membuka penutup tudung saji. Terasa lapar pulak malam-malam ni. Menu hidangan yang disediakan oleh isterinya itu nampak begitu menyelerakan. Iskandar tesenyum.

Lantas kerusi ditariknya keluar. Bekas membasuh tangan diambilnya untuk membasuh tangan. Pinggan nasi yang tersedia diatas meja dipenuhkan dengan nasi.

‘Ah lantaklah sejuk pun. Aku lapar ni.’ Iskandar meneruskan niatnya. Lauk-pauk yang tersedia, disudu ke dalam pinggan. Dia menadah tangan membaca doa makan. Selepas itu, terus mulutnya disuap dengan nasi berlaukkan ikan keli masak lemak dan sayur kailan masak kicap.

‘Sedap.’ Puji Iskandar. Ini kali pertama dia menjamah makan malam yang disediakan oleh Zaira. Selama ini dia langsung tidak menyentuhnya walaupun dia sendiri yang menyuruh gadis itu memasak untuknya awal-awal dulu. Iskandar meneruskan suapannya.

Usai Zaira dibilik air, dia masuk semula ke bilik tidurnya untuk menyangkut tuala. Selepas itu dia melangkah ke ruang tamu ingin mencari kelibat Iskandar.

Zaira terpana melihat Iskandar yang sedang makan dimeja makan. Tubuh yang membelakanginya itu dipandang dengan senyuman kelegaan.

‘Alhamdulillah, dia nak makan juga masakan aku.’ Zaira mengucap syukur didalam hati.
Sedang dia ralit memandang, Iskandar tiba-tiba menoleh. Akibat terkejut melihat Zaira yang sedang memerhatikannya, dia hampir tersedak. Matanya liar mencari gelas air untuk diteguk.

Zaira yang perasan, segera melangkah ke dapur mengambil botol air sejuk dalam peti ais dan sebiji gelas. Pantas tangannya menuang air sejuk ke dalam cawan dan dihulurkan kepada Iskandar.

“Air encik.” Sua Zaira lembut. Iskandar terus mencapai dan meneguknya rakus. Nafas kelegaan dihembus perlahan apabila dadanya selesa kembali.

“Encik, terima kasih.” Dengan wajah yang agak tersipu, Zaira mengucapkan pada Iskandar.
Pada mulanya Iskandar sedikit terpinga-pinga. Kemudian hatinya terangguk mengerti bila mengingatkan hal tadi.

“Hurm.” Gumam Iskandar.

“Tambah nasi encik?” Zaira berniat menyenduk nasi untuk Iskandar.

“Aku pandai ambil sendiri.” Sinis suara Iskandar.

“Kejap lagi kau kemas semua ni.” Iskandar memberi arahan. Zaira hanya mengangguk sebelum berlalu ke dapur. Dia pasti kalau dia menegak sahaja dimeja makan, Iskandar akan memarahinya. Lebih baik dia buat benda lain dulu.

Zaira menyibukkan diri di dapur. Pinggan-pinggan yang sudah kering disusun ke rak pinggan mangkuk. Kabinet dapur yang sudah tersedia bersih dilap. Dia sebenarnya tidak tahu hendak buat apa. Untuk duduk diruang tamu rasa macam janggal pula. Lebih baik duduk disini sahaja.

“Zaira.” Laung Iskandar tiba-tiba. Cepat-cepat Zaira berlalu ke meja makan.

“Ye encik?” Soal Zaira sopan.

Iskandar mengunjuk bekas air basuh tangan. “Cepat aku nak basuh tangan.”

Segera Zaira menyambut dan terus berlalu ke dapur. Dia terus mendapatkan Iskandar semula selepas memenuhkan air pili ke dalam bekas tersebut. Sesudah membersihkan tangan, Iskandar terus bangun berdiri. Dia ingin berlalu ke bilik tidurnya.

“Kemas.” Sempat dia berpesan sebelum melangkah ke sofa mengambil briefcasenya tadi dan berlalu ke bilik tidur utama kondominium itu. Zaira hanya memerhati sehingga tubuh lelaki itu hilang disebalik dinding.

Tanpa membuang masa, Zaira mula mengemas meja makan. Segala pinggan mangkuk yang kotor dibasuhnya. Lebihan lauk-pauk dimasukkan ke dalam Tupperware dan disimpan ke dalam peti sejuk. Dalam pada tangannya sibuk bekerja, bibirnya mengukir senyuman mengenangkan yang Iskandar sudah mula dapat berinteraksi dengannya.

Wajah terkejut Iskandar bila ternampaknya tadi membuat dia senyum meleret. Ego betul lelaki itu. Zaira bukan mengharapkan Iskandar melayannya seperti isteri, tetapi cukuplah bila lelaki itu ada bila dia memerlukan.

Dia tahu dirinya bukanlah sesiapa. Dia tidak mengharapkan lebih. Cukuplah dia mempunyai tempat untuk berlindung. Tiba-tiba dia teringatkan Fadhli. Pasti lelaki itu masih ada diluar sana. Bagaimana kalau Fadhli dapat mencarinya nanti? Tidak. Dia tidak mahu Fadhli terjumpanya.

Dada Zaira tiba-tiba berombak laju. Fikirannya mula terbayang wajah Fadhli yang menakutkan cuba memperkosanya. Sedikit menggigil jari-jarinya apabila bayangan itu mengocak ketenangannya.

‘Aku selamat sekarang. Aku ada Iskandar untuk lindungi aku.’ Minda Zaira berkata. Dia mula tersedar. Segera dia beristighfar menghalau bayangan hitam itu pergi.

Zaira menyelesaikan kerja-kerja mengemasnya. Seperti biasa dia menutup suis lampu dan selepas itu dia terus bergerak ke bilik tidurnya. Dia ingin tidur memandangkan jam sudah pun menunjukkan pukul 12.50 malam.

+++++++++++++++++++

Tidur Iskandar terganggu. Dia seperti terdengar suara seseorang menangis. Iskandar berpusing ke kiri dan kanan. Tangisan dari luar kedengaran semakin kuat disertai dengan jeritan-jeritan kecil. Iskandar bingkas duduk diatas tilam dengan wajah yang mengantuk.

“Hishh apa lagilah dia ni.” Iskandar menggaru kasar kepalanya tanda kerimasan. Dia pasti benar tangisan itu milik Zaira.

Jam yang terdapat diatas meja tepi katil dipandang sekilas. Pukul 3.00 pagi ni menangis apa pulak. Rungut Iskandar perlahan.

Dengan mata separuh terbuka, Iskandar menunggu jika ada tanda-tanda tangisan Zaira akan berhenti. Sangkaannya meleset. Tidak sampai tiga minit, terus Iskandar bangun dari katilnya. Bilik tidur Zaira menjadi arah tujunya.

Iskandar memulas kasar tombol pintu bilik Zaira. Dari cahaya luar yang menerjah, dia ternampak tangan Zaira yang tergapai-gapai seolah meronta. Perlakuan gadis itu mengingatkannya tentang keadaan Zaira yang mengigau dihari pertama gadis itu dibawa ke sini.

“Dia buat lagi.” Iskandar merungut kecil. Kakinya menapak masuk ke dalam bilik.

“Zaira.” Panggil Iskandar kasar. Zaira masih terjerit kecil.

“Lepaskan Zaira. Jangan apa-apakan Zaira.” Racau Zaira kuat.

“Zaira.” Iskandar keraskan lagi intonasinya, namun masih tiada respon dari Zaira. Gadis itu masih dengan igauan buruknya.

“Zaira!” Jerit Iskandar ditelinga Zaira dengan nada yang masih terkawal. Malah tubuh gadis itu turut digoncang kuat dengan kedua belah tangannya.

“Bangun Zaira.” Jerkah Iskandar lagi.

Dengan kejutan yang kasar itu, Zaira terus membuka matanya. Tangisan dalam mimpinya tadi terus menjadi sedu-sedan kecil. Wajah terpinga-pinga dipamerkan memandang pada Iskandar yang masih memegang bahunya.

“Kau kenapa Zaira?” Soal Iskandar dengan nada kasar. Tubuh Zaira ikut terduduk apabila Iskandar meraih bahunya. Tak lama kemudian pecah tangisan kecil dari bibir Zaira.

“Saya takut..” Rintih Zaira bersama tangis yang tertahan. Dia lega bayangan Fadhli tadi telah lenyap.

“Kenapa? Apa yang kau takutkan?” Tekan Iskandar. Dia bengang sebenarnya kerana tidurnya terganggu. Sudahlah lewat dia tidur semalam. Ini diganggu pula tengah-tengah malam begini.

Tangisan Zaira semakin mendayu apabila dimarah begitu oleh Iskandar. Dia benar-benar takut jadinya. Dia cuba menjauhkan diri daripada Iskandar. Iskandar yang tersedar terus berdiri.

“ALLAH kan ada. Kalau kau takut kau bacalah ayat Kursi.” Nada Iskandar kembali rendah. Kasihan pula melihat wajah Zaira. Gadis itu masih mengalirkan air mata.

Untuk beberapa ketika Iskandar membiarkan Zaira menangis sendirian. Kemudian dengan nada yang lembut dia memujuk. “Sudahlah tu. Pergi ambil air sembahyang.”

Perlahan-lahan Zaira bangun dari duduknya dan bergerak ke bilik air. Takut dia mengingkari arahan Iskandar. Nanti bertambah marah lelaki itu padanya.

Zaira membasuh mukanya berkali-kali. Dalam hatinya, tidak henti-henti beristighfar panjang cuba menenangkan dirinya. Terkejut dia apabila Iskandar memarahinya tadi. Dia memang benar-benar takut.

Selesai mengambil wudhu, Zaira mula terasa tenang semula. Agak lama dibilik air, baru dia menapak semula ke dalam bilik. Terkejut dia melihat tubuh Iskandar masih berada didalam biliknya. Kini bilik itu sudah terang benderang dengan cahaya lampu.

“Dah okay belum?” Soal Iskandar. Zaira hanya mengangguk.

“Lain kali nak tidur tu basuh kaki dulu. Takdelah nak mengigau tengah-tengah malam macam ni.” Nada Iskandar kedengaran keras.

Zaira hanya diam mendengar. Tidak sedikit pun matanya berani menatap wajah lelaki itu.

“Kalau takut sangat, tidur buka lampu.” Tambah Iskandar lagi.

Iskandar bergerak ke pintu. Zaira mengalih tubuhnya yang sedari tadi berdiri dihadapan pintu. Sebelum berlalu sempat Iskandar berpesan. “Dah pergi tidur.”

Iskandar masuk ke bilik tidurnya semula untuk menyambung tidur. Suhu aircond dinaikkan sedikit kerana terlalu sejuk. Kemudian dia membungkus dirinya dengan comforter hingga ke kepala. Akhirnya dia terus terlelap.

Manakala Zaira dibiliknya duduk berteleku diatas toto. Lututnya dirapatkan ke dada. Matanya cuba ditahan supaya tidak terlelap. Bilik yang terang benderang sedikit sebanyak menenangkan hatinya. Mulutnya berzikir perlahan memandangkan dia dalam keadaan tidak suci.

Saat bersendirian begini, membuatkan dia teringat akan ibunya yang sudah meninggal dunia sejak umur dia empat belas tahun lagi. Wajah ibu yang dirinduinya terbayang diruang matanya.

“Mak, Zaira rindukan mak.” Rintih Zaira perlahan. Wajahnya dirapatkan antara kedua lututnya. Cuba ditahan air mata yang ingin menitis.

“Mak, kenapa kita kena pindah?” Soal Zaira yang baru berusia lima tahun.

Zafirah memimpin tangan kecil anaknya dengan cermat. Dalam keadaan ramai orang ni takut pulak anak itu hilang. Nombor bas persiaran yang akan membawa mereka ke Kuala Lumpur dicari. Mereka berdua masih berlegar-legar di platform terminal bas Pontian, Johor.

“Kita nak cari ayah. Zaira tak nak jumpa ayah?” Zafirah tersenyum menyoal anak tunggalnya.

“Nak. Tapi….” Zaira tidak meneruskan kata.

“Kenapa sayang? Zaira tak suka jumpa ayah ke?” Zafirah mencangkung dihadapan Zaira. Bahu anaknya dipaut erat. Dia ingin mendengar suara hati anaknya itu.

“Kenapa ayah tak pernah cari kita?” Wajah tanda tanya Zaira dibalas dengan senyuman manis Zafirah.

“Ayah tak tahu kita ada dekat mana. Dahlah, anak mak sedih ke nak pindah?” Soal Zafirah manja.

“Nanti Zaira tak dapat jumpa lagi kawan-kawan Zaira dekat tadika.” Zaira memuncungkan bibirnya.

“Sayang, nanti dekat sekolah baru lagi ada ramai kawan. Zaira mesti suka.” Zafirah memujuk anak kecilnya.

“Dekat sini kan Zaira dah ada kawan?” Gadis kecil itu memuncungkan bibirnya.

“Dapat kawan barukan lagi best. Nanti Zaira boleh main dengan abang Fadhli. Zaira rindu tak dekat abang Fadhli?” Pujuk Zafirah lagi.

“Rindu.” Zaira mengangguk. Sudah lama dia tidak berjumpa abang sepupunya itu.

“Nanti Zaira boleh pergi sekolah dengan abang Fadhli.” Zafirah mencuit hujung hidung anaknya.

“Zaira nak main sama-sama dengan abang Fadhli.” Zaira terjerit suka.

“Ye, ye. Kalau macam tu jom kita cari bas. Nanti terlepas pulak.”

“Nanti mak dengan ayah hantar Zaira hari-hari ke sekolah ye?” Pinta Zaira manja. Pipi ibunya itu dipegang mesra.

“Ye sayang.” Zafirah mengangguk sambil memeluk tubuh anaknya. Zaira turut membalasnya. Tersenyum dia memikirkan angannya itu.

Kini sudah tiga belas tahun dia berada di Kuala Lumpur. Sekali pun dia tidak pernah bertemu dengan bapa kandungnya. Malah dipenghujung nyawa ibunya, wanita itu langsung tidak berkesempatan menemui lelaki yang telah membenihkan dirinya. Harapan menggunung zaman kanak-kanaknya itu hancur lebur ditelan waktu.

Zaira teresak lagi. Sedih memikirkan kisah hidupnya yang penuh berliku. Zaira merapatkan kedua tapak tangannya dihadapan muka. “Mak, Zaira doakan mak tenang disana. Makcik juga Zaira doakan tenang disana. Ya ALLAH ampunkan segala dosa kedua wanita ini.”

No comments:

Post a Comment