Friday, September 23, 2011

Bahagia Bukan Milikku 5

BAB 5

“Nak tanya ke tak?” Zaira menyoal dirinya sendiri. Dia masih mundar mandir didalam ruang biliknya. Dia takut untuk bertanya Iskandar. Takut lelaki itu menengking dia lagi.

“Kau buat apa?” Iskandar yang menjenguk dibalik pintu pelik melihat gaya Zaira yang berjalan ke hulu ke hilir didalam bilik. Wajah resah gadis itu dipandang.

“Encik, saya… saya..” Tergagap Zaira ingin menyuarakan sesuatu.

“Saya, saya! Apa dia kau ni?” Zaira sudah kecut perut. Tengok tu, belum cakap lagi dia dah mengamuk. Zaira berkata didalam hati. Wajah bengis Iskandar dipandangnya sayu.

“Encik, ada telekung tak?” Zaira memberanikan diri. Dahi Iskandar berlipat mendengar soalan Zaira.

“Encik, dah dua hari saya tak solat. Saya tak nak tinggal solat lagi encik. Berdosa.” Entah dari mana datangnya kekuatan untuk Zaira bersuara. Wajah suaminya dipandang.

Dahi Iskandar berkerut memandang isterinya. ‘Betul ke apa yang aku dengar ni? Dia mintak telekung sebab nak sembahyang? Am I dreaming?’ Hati Iskandar tertanya-tanya. Lengannya dicubit kecil berharap dia terjaga dari mimpi itu. Sakit. Ini bukan ilusi.

“Kau cakap apa ni?” Suara Iskandar masih garang bertanya. Berharap dia tersalah dengar tadi.

“Encik, saya nak telekung. Maghrib dah nak habis waktu.” Minta Zaira sekali lagi sambil menundukkan kepala.

“Pandai kau sembahyang?” Iskandar soal dengan sindirian. Zaira diam menggigit bibir.

“Takkan pelacur macam kau ni pandai sembahyang? Wow, class juga kau ni ye.” Iskandar sudah menapak mendekati tubuh Zaira. Dia mengelilingi tubuh yang kaku menunduk ke lantai itu.

Iskandar gelak dibuat-buat. Geli hati mendengar permintaan Zaira tadi.

“Kau jangan nak perlekehkan hukum ALLAH Zaira. Jangan berpura-pura baik depan aku!” Iskandar berdiri dihadapan gadis itu. Suara dia menjadi garang semula. Sakit hati dengan permainan Zaira.

“Saya bukan seperti yang encik sangka. Saya hamba ALLAH dan sebagai hamba-Nya saya wajib mengerjakan kewajipan saya.” Penuh berhati-hati Zaira menuturkannya. Iskandar mendengus kuat.

“Tahu pulak kau pasal kewajipan kau. Kau melacur tu apa pulak hukumnya? Dah tak tahu mana halal mana haram?” Jerkah Iskandar kuat dimuka Zaira. Gadis itu menunduk dan menapak selangkah ke belakang.

“Saya tak pernah melacur encik.” Zaira menguatkan sedikit suaranya. Sendu kecil terdengar dari bibirnya.

“Penipu!” Tengking Iskandar tepat pada wajah Zaira yang sudah bergenang air mata pada tubir matanya.

“Tolong encik. Benarkan saya solat kejap. Tu je yang saya mintak.” Zaira memberanikan diri. Bersungguh mukanya. Iskandar memandang sinis wajah isterinya itu. Menyampah dia melihat wajah yang penuh kepuraan itu. Tapi wajah itu benar-benar nampak innocent. Getus hati kecil Iskandar.

Hati Iskandar terasa bersalah. Mungkin benar dia memang ingin bersolat. Wajah dia penuh mengharap. Kata hati kecil Iskandar. Arghh tak mungkin! Pelacur tak mungkin tunduk pada ALLAH. Syaitan cuba mengusik hati Iskandar. Benar juga. Iskandar berbelah bagi. Siapa sebenarnya perempuan ni?

Iskandar berlalu dari bilik itu bila teringatkan kakaknya, Aryuna Purnama sering bertandang ke rumahnya itu. Mungkin dia ada meninggalkan kelengkapan solat dibilik tetamu. Iskandar membuka pintu bilik tidur tetamu yang bertentangan dengan biliknya.

Dia tersenyum melihat sepasang telekung yang tergantung kemas didalam almari. Telekung itu diambilnya dan dibawa ke bilik bacaannya yang kini sudah menjadi bilik tidur Zaira.
“Nah.” Dengan wajah keruh Iskandar menyerahkan telekung itu pada Zaira. Gadis itu menyambutnya dengan mata bersinar.

Zaira mengucap syukur didalam hati. Sungguh dia benar-benar terharu. Syukur ya ALLAH memberi kesempatak kepadaku untuk menunaikan kewajipanku pada-Mu.

'Benarkah apa yang aku lihat ni? Ya ALLAH jauhkan aku dari terpedaya dengan tipu daya permpuan ni. Kau tunjukkanlah kebenarannya.’ Doa Iskandar didalam hati. Hatinya sedikit kembang melihat reaksi riang gadis itu tadi. Sedikit sebanyak hatinya sebagai seorang suami menjadi sejuk mempunyai isteri yang tunduk pada ALLAH. Itupun jika benarlah. Iskandar melepaskan nafas kecil.

“Nanti kau kemas dekat luar.” Iskandar segera keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu tertipu. Mungkin itu semua lakonan Zaira.

Langkah kakinya terus dibawa ke meja makan. Nasi ayam yang dibelinya tadi dimasukkan ke dalam pinggan. Dia membawa pinggan dan segelas air masak ke ruang tamu. Berniat untuk makan sambil menonton tv.

Siaran yang kurang menarik membuatkan Iskandar kebosanan. Pinggan nasinya tadi masih berbaki sedikit. Tak lalu dia nak habiskan kerana perutnya masih kenyang. Kepalanya menoleh ke pintu bilik Zaira. Langsung takde tanda-tanda gadis itu akan keluar.

‘Ish perempuan ni. Buat apa dalam bilik tu. Banyak benda aku nak cakap ni boleh pulak dia berkurung dalam tu.’ Rungut Iskandar.

Matanya semakin mengantuk. Iskandar melangkah ke bilik Zaira untuk memanggil gadis itu. Sampai sahaja didepan pintu, dia tidak jadi memulas tombol pintu. Sayup-sayup kedengaran suara halus mengalunkan ayat suci Al-Quran. Iskandar melekapkan telinganya pada pintu. Suara itu diamatinya. Dia dapat menangkap surah Yassin yang dibaca lancar dari dalam.

Zaira cuba mengawal air mata yang mengalir dipipinya. Bacaan Yassin masih diteruskannya walaupun tanpa senaskhah Yassin menjadi panduannya. Alunan suaranya melagukan bacaan berselang seli dengan bunyi sendu yang kecil.

Wajah arwah ibu dan makciknya terlakar dimata. Usai mengaji, Zaira menadah tangan berdoa. Kemaafan untuk kedua wanita yang telah pergi itu dimohon bersungguh-sungguh kepada ILAHI. Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang yang soleh dan solehah. Kesejahteraan buat hidupnya juga dipinta dari Yang Maha Berkuasa. Air matanya masih lebat membasahi pipi.

Zaira duduk berteleku ditikar sejadah selepas mengaminkan doa.

“Zaira, maafkan makcik selama mana kau hidup dengan makcik.” Zaleha menarik nafas. Berat sekali dirasakannya.

“Zaira yang patut mintak ampun makcik. Maafkan Zaira selama ni menyusahkan hidup makcik.” Zaira menangis teresak. Tangan layu Zaleha masih digenggamnya erat.

“Kau tak salah Zaira. Aku yang bersalah dengan kau, dengan mak kau.” Zaleha masih cuba menaikkan suara dalam keadaan sakit itu.

“Jangan cakap macam tu makcik. Zaira tak pernah marahkan makcik. Arwah mak pun tak pernah berdendam dengan makcik.” Rintih Zaira. Dada Zaleha yang berombak diusapnya perlahan.

“Ampunkan aku Zaira. Dah tiba masanya aku ikut mak kau.” Suara Zaleha perlahan. Matanya merenung ke suatu sudut. Seolah melihat sesuatu disitu.

“Mengucap makcik. Cukup lah. Makcik jangan bercakap lagi. Makcik kan tengah sakit ni.” Zaira membetulkan tubuh Zaleha yang terbaring diatas tilam kusam itu.

“Ingat pesan aku ni Zaira. Jangan sesekali kau ikut laluan yang pernah aku dan mak kau lalui ni. Keluar lah kau dari sini. Tinggalkan tempat ni.” Zaleha cuba menuturkan kata walaupun dadanya terasa perit.

“Mengucap makcik. Ingat ALLAH. Ikut Zaira makcik.” Zaira mendekatkan bibirnya pada telinga wanita itu.

“Laila haillallah…Muhammadar rasulillah..” Perlahan Zaira menuturkannya ditelinga Zaleha. Wanita I tu memejam matanya. Bibirnya masih tertutup.

“Aku tak layak mengucapkannya. Aku kotor.” Zaleha melengking kuat. Nafasnya turun naik.

“Keampunan itu milik ALLAH makcik. Makcik ikut Zaira ya.” Zaira menyeka air mata dipipinya.

Dia akui masa makciknya itu telah sampai. Wanita itu juga akan pergi meninggalkannya. Seperti mana arwah ibunya meninggalkannya dulu. Ya ALLAH kau permudahkanlah jalan makcikku ini. Rintih Zaira kecil.

Dada Zaleha makin berombak laju. Zaira tidak henti-henti membisikkan kalimah syahadah pada telinga wanita itu. Genggaman kedua tangan mereka makin erat seperti tidak ingin melepaskannya. Menangis Zaira melihat akan kesakitan Zaleha.

“Mengucap makcik. Laila haillallah…” Seru Zaira lagi.
“Ampunkan aku.” Zaleha membuntang matanya memandang anak saudaranya itu. Genggaman tangannya diperkemaskan pada tangan lembut gadis itu.

Zaira yang sudah tidak mampu berkata apa-apa hanya mengangguk. Tak lama selepas itu dada Zaleha berhenti berombak. Matanya terbuka menala ke suatu sudut. Seolah memanang sesuatu disitu. Zaira melepaskan juga tangisnya yang ditahan-tahan tadi.

“Innalillahi wainna ilaihi ra’jiun..” Ucap Zaira perlahan. Wajah Zaleha diraupnya untuk menutupkan  mata yang terbuka itu.

Tangan Zaleha dikiamkan ditempatnya. Zaira tunduk menciumi dahi Zaleha buat kali terakhir. Walaupun wajah Zaleha terdapat bintik-bintik nanah akibat penyakit Aids yang dihidapinya, namun Zaira tidak merasa geli melekatkan bibirnya pada wajah wanita yang menjadi pengganti ibunya itu. Kain selimut yang terburai dikaki ditariknya menutup sehingga ke kepala Zaleha. Kemudian dia bangun melangkah ke bilik air untuk mengambil wudhu. Naskhah Yassin diatas almari kecil diambilnya. Dia duduk disebelah jenazah dan lembut mengalunkan bacaan Yassin buat arwah Zaleha.

Zaira meraup wajahnya yang basah. Ingatannya pada arwah ibu dan makciknya melayang pergi. Sepotong Al-Fatihah dibacakannya buat keduanya. Zaira bangun membuka telekung yang tersarung pada tubuhnya. Telekung itu digantung kemas seperti tadi.

Iskandar didalam bilik tidak mampu melelapkan mata. Otaknya masih ligat memikirkan apa yang didengarnya tadi. Hatinya masih tidak dapat menerima lagi setiap perlakuan Zaira. Dia masih sangsi dengan isterinya itu.

“I can’t belive it. That’s not her.” Iskandar bersuara perlahan kepada dirinya. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air yang terdapat didalam biliknya. Pili air dibuka dan dia membasahkan wajahnya rakus. Wajah basahnya yang terbias didalam cermin dipandang. Fikirannya tidak disitu. Dia masih ligat memikirkan tentang Zaira, gadis yang dinikahinya itu.

Zaira melangkah keluar dari biliknya. Kelibat Iskandar yang tiada diruang tamu dan dapur melegakan hatinya. Dia mengambil pinggan dan gelas yang ditinggalkan oleh suaminya diatas meja kopi dan dibawa ke sinki. Bungkusan makanan yang terdapat diatas meja makan menggamitnya. Zaira tersenyum kecil melihat isi pembungkus itu.

Tangan yang sudah dibasuh diangkat membaca doa makan. Dengan cermat Zaira menikmati keenakan nasi ayam dihadapannya. Hatinya bersyukur tak terhingga. Tak putus-putus dia mengucapkan Alhamdulillah.

Zaira sudah selesai mengemaskan ruang dapur. Segala pinggan mangkuk tidak ditinggalkannya walau satu. Setelah berpuas hati dia melangkah ke ruang tamu pula. Majalah dibawah meja kopi disusunnya teratur. Kusyen kecil diatas sofa diletak elok memastikan cantik dipandangan mata. Zaira tersenyum senang melihat keadaan rumah yang tampak lebih kemas.

Setelah berpuas hati, Zaira menutup suis lampu didapur dan diruang tamu. Kemudian dia menapak ke bilik tidurnya semula. Ingin merehatkan badan yang begitu letih dirasakan. Zaira tidak lupa mengambil wudhu dahulu sebelum tidur. Begitulah yang selalu dilakukannya. Ajaran Ustazah Umairah yang mengajarnya dalam darjah tiga itu masih diingati dan diamalkannya. Sepotong Al-Fatihah disedekahkan untuk kesejahteraan gurunya itu walau dimana jua dia berada.

Zaira menjadikan beberapa helai baju yang dibeli oleh Iskandar tadi sebagai alas kepalanya. Selendang pemberian Puan Zaiton dijadikan selimutnya. Walaupun begitu, Zaira cukup berpuas hati. Memikirkan orang lain yang lebih daif darinya menyedarkan dirinya. Selepas membaca doa tidur, Zaira terus memejamkan mata. Mulutnya mengalunkan zikir ALLAH selagi kantuknya tidak hadir. Entah bila dia sudah terlelap dipembaringan keras dan sejuk itu.

No comments:

Post a Comment