Friday, September 23, 2011

Bahagia Bukan Milikku 11

BAB 11
Zaira terjaga ketika azan Subuh berkumandang. Dia menggumam perlahan. “Allahuakbar, aku tertidur.”

Zaira meregangkan tubuhnya yang kesakitan kerana tidur dalam keadaan duduk. Wajahnya diraup berkali-kali. Selepas itu dia menapak ke bilik air bersama pakaian baru untuk dipakai selepas mandi nanti.

Tubuhnya terasa segar selepas membersihkan diri. Selesai mengemaskan diri dan bilik tidurnya, dia melangkah ke dapur untuk menyediakan sarapan buat Iskandar. Sempat jam yang tergantung didinding ruang tamu diteleknya. Sudah pukul 6.00 pagi. Masih banyak masa.

Suis lampu dapur dipetik bagi menerangkan isi rumah yang gelap. Selepas itu, dia mula membuka peti ais melihat bahan mentah sambil otaknya berfikir menu apa untuk sarapan pagi nanti. Zaira tersenyum. Ketulan daging dan paket sayur beku dikeluarkan dari peti ais membayangkan nasi goreng cina yang akan disediakan sebentar lagi.

Periuk nasi diambil lalu diisi dengan beras untuk menanak nasi. Selesai dengan kerja memasak nasi, dia melangkah ke sinki untuk memotong daging pula. Tekun Zaira melakukan kerja-kerja memotong daging dan bawang. Selepas itu dia menjerang pula air.

Sementara menunggu nasi sudah masak, dia mengambil majalah Saji yang tersusun kemas di rak kecil di atas meja. Kebanyakan menu masakan yang disediakannya selama dia tinggal di kondominium itu dibantu oleh resepi dari majalah Saji tersebut. Mungkin Iskandar menggunakan resepi-resepi dalam majalah tersebut untuk memasak semasa dia masih bujang dulu.

Setengah jam kemudian, Zaira mula menumis bawang. Harum semerbak aroma masakan memenuhi ruang dapur. Lima belas minit kemudiannya nasi goreng cina telah siap dimasak. Dia memasukkan nasi goreng ke dalam bekas dan dihidang diatas meja makan.

Tangannya lincah pula menyediakan air kopi didalam teko. Setelah siap semuanya, dia mengatur pinggan, sudu, garpu dan cawan dengan kemas diatas meja makan. Jam sudah menunjukkan pukul 7.10 pagi saat itu. Zaira tersenyum kecil.

‘Kejap lagi encik akan keluar untuk makan.’ Hati Zaira berkata sambil mata tertoleh sekali sekala ke arah jam dan laluan untuk ke bilik Iskandar.

Tidak sampai seminit terdengar keriukan pintu yang dibuka. Zaira tersenyum kecil mendengar derap langkah Iskandar ke meja makan.

“Assalamualaikum encik. Jemput makan.” Zaira menunduk tanda hormat pada lelaki itu. seperti biasa, dia akan menegur dengan ramah majikan a.k.a suaminya itu setiap pagi.

“Hurm.” Iskandar menggumam halus sebelum menarik kerusi untuk duduk.

Segera Zaira mengisi pinggan Iskandar dengan nasi goreng cina masakannya dan cawan kosong yang tertangkup dipenuhkan dengan air kopi yang masih berasap. Iskandar hanya diam memerhati.

Selepas semuanya tersedia, Zaira berniat melangkah meninggalkan meja makan. Namun langkahnya ditahan oleh panggilan Iskandar. “Tunggu.”

“Duduk makan.” Mendatar sahaja suara Iskandar mempelawa. Zaira sudah buat muka pelik. Apa dia silap dengarkah? Getus hatinya.

“Duduk. Kau tunggu apa lagi?” Iskandar menekan sedikit suaranya. Kelam kabut Zaira menarik kerusi. Jarak dia dengan Iskandar selang satu kerusi. Dalam pada itu benaknya masih tertanya-tanya dengan tingkah Iskandar. Mimpi apa Iskandar malam tadi?

Tanpa bunyi, Zaira menceduk sesenduk nasi goreng cina ke dalam pinggannya. Selepas mengaminkan doa didalam hati dia terus menyuap nasi goreng masuk ke dalam mulut. Perlahan sahaja tingkahnya kerana masih bingung dengan perubahan yang dipamerkan oleh Iskandar.

Iskandar menghulurkan pinggannya. Tidak keluar sebarang bunyi pun dari mulut lelaki itu. Zaira yang faham segera menyenduk nasi goreng cina ke dalam pinggan Iskandar. Selepas itu mereka meneruskan suapan tanpa timbul sebarang perbualan diantara keduanya. Sekali sekala Zaira mencuri pandang wajah Iskandar yang tetap kelihatan dingin dengannya.

Iskandar sudah selesai makan. Air kopi yang sudah suam dihirupnya tertib. Jarum jam dipergelangan tangannya ditelek. Sesudah mengelap mulutnya dengan tisu yang berada diatas meja, dia bingkas bangun untuk ke pejabatnya memandangkan jarum jam sudah menunjukkan pukul 7.45 pagi.

“Ambil beg aku dengan stoking dalam bilik.” Zaira yang mengerling curi-curi dari tadi tersentak apabila terdengar suara Iskandar memberi arahan. Pantas dia berjalan laju ke bilik tidur Iskandar.

Selepas dapat apa yang diingini, laju Zaira melangkah ke ruang tamu semula. Stoking dan briefcase Iskandar dihulur kepada lelaki itu yang sedang duduk diatas sofa. Zaira hanya memerhati Iskandar yang sedang menyarung stoking dikaki.

Selesai sahaja, Iskandar menapak ke pintu rumah. Zaira yang berdiri kaku ditepi sofa tadi dipandang.

“Kalau ada dengar bunyi loceng, jangan buka pintu.” Pesan Iskandar sambil tangannya sudah memulas tombol pintu. Zaira hanya mengangguk.

“Kau jangan ke mana-mana. Kunci pintu ni.” Kata Iskandar lagi. Zaira pantas berdiri dihadapan pintu.

Iskandar memasang mangga pada pintu pagar. Zaira hanya memerhati. Selepas Iskandar hilang dari pandangan, terus pintu rumah  itu dirapatkan dan punat pada tombol itu dipulas.

Zaira melagkah ke meja makan semula untuk menghabiskan nasi goreng cina dipinggannya tadi. Berseorangan begitu, Zaira berani untuk menambah beberapa senduk lagi nasi goreng ke dalam pinggannya. Bibirnya tersenyum seorang diri.

+++++++++++++++++++++++++

Sampai di pejabat, Iskandar terus menghenyakan tubuhnya di kerusi empuk miliknya. Fikirannya mula melayang ke peristiwa pagi tadi dirumah. Dia sendiri tidak sangka dia boleh mengajak Zaira untuk makan sekali.

Niatnya tadi hendak bertanyakan pada Zaira keadaan gadis itu. Dia juga mahu bertanya kenapa gadis itu boleh mengalami mimpi buruk begitu. Siapa Fadhli. Banyak yang dia hendak tanya. Namun lidahnya jadi kelu. Pengakhirannya, dia hanya membisu sepanjang dimeja makan.

“Huh.” Iskandar melepaskan keluhannya. Nafasnya dihembus kasar.

Selepas menenangkan diri, Iskandar mula mempersiapkan diri untuk memulakan tugasnya. Diari harian kepunyaannya diambil dari laci. Huh banyaknya kerja hari ni nak kena settle. Bisik hati Iskandar perlahan.

Iskandar mula melakukan kajian tentang kes yang dikendalikannya. Dia mula sibuk dengan tugasan-tugasannya bagi memastikan pihak plaintif yang diwakilinya menang dalam perbicaraan nanti.

Sedang dia sibuk dengan kerjanya, tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar.

“Masuk.” Arah Iskandar dari dalam.

“Encik Is..” Terjengul kepala Asyikin, budak kerani di firma guaman itu.

“Ada apa?”

“Ada tetamu nama Cik Aryuni nak jumpa Encik Is.”

“Dia ada dekat luar?” Tanya Iskandar dengan wajah kecut. Asyikin hanya mengangguk.

‘Ah, kenapa Kak Yuni ni cari sampai ke pejabat pulak? Ish kusutlah macam ni.’ Gerutu hati Iskandar.

“Bring her in.” Iskandar akhirnya menyuruh Asyikin membawa kakaknya masuk ke bilik.

Tak lama kemudian, wajah kakaknya sudah menjenguk disebalik pintu. Wajah Iskandar masam menyapa kakaknya itu. semasa bersalam pun tangan kakaknya itu tidak dicium seperti selalu. Sengaja menunjukkan protes.

“Kak Yuni ni kenapa sampai cari dekat office. Call jelah.” Iskandar bersuara selepas Aryuni melabuhkan punggungnya dikerusi dihadapannya.

“Eh, Kak Yuni nak jumpa adik sendiri pun tak boleh ke?” Sinis jawapan Aryuni. Geram pula dengan adiknya itu.

“Orang busylah kat office.”  Mendatar suara Iskandar.

“Ada apa Kak Yuni datang cari sampai ke sini ni?” Sinis kedengaran soalan Iskandar.

“Malam Sabtu ni, akak dah arrange buat majlis kau dekat rumah.” Selamba sahaja nada Aryuni. Protes yang ditunjukkan adiknya langsung tak terkesan dihati.

“Eh, kenapa akak tak tanya Is dulu?” Mata Iskandar sedikit terbeliak.

“Dah cakapkan haritu? Lupa ke? Kan akak dah cakap hujung minggu ni. Jangan kau nak cakap tak boleh. Kak Yuna dah setuju nak balik rumah dengan abang Qayyum.” Tegas Aryuni berkata.

“Kak Yuni, lain kali bincang dengan Is dulu.” Iskandar mengeluh lemah.

“Eh, mana boleh bincang dengan kau dulu. Tak supriselah nanti.” Aryuni mengangkat sebelah kening memandang adiknya. Iskandar hanya mencebik. Tangannya sibuk membelek kertas-kertas diatas meja.

“Lah datang jelah. Kak Yuni dah arrange dah. Janganlah tak jadi. Kesian umi dengan papa nanti.” Pujuk Aryuni lembut. Iskandar tetap mendiamkan diri.

“Is busylah kak.” Iskandar masih memberi alasan.

“Please Is. Setahun sekali je. Before ni okay je kenapa pulak tahun ni tak boleh.” Geram pula Aryuni dengan perangai adiknya. Banyak pulak alasan dia tahun ni. Selalu dia yang teruja kalau orang buat party untuk dia. Hati Aryuni bersoal jawab.

“Nantilah Is bagi tahu macam mana.” Iskandar pira-pura menyibukkan dirinya dengan kertas-kertas ditangan.

“Umi mesti suka.” Aryuni senyum.

“Hurm.” Gumam Iskandar lemah.

“Takde apa-apa dah kan? Is sebuk ni.” Iskandar menyindir. Sengaja menyuruh kakaknya cepat-cepat berlalu.

“Ingat Is, make sure kau datang malam Sabtu. Tidur rumah okay.” Aryuni sudah berkira-kira untuk bangun.

“Tengok nanti. InsyaALLAH kalau takde apa-apa.” Mendatar suara Iskandar tanpa memandang kakaknya.

“Tak naklah tengok-tengok. You have to come. Umi tu dah rindu sangat dengan kau dik.” Pujuk Aryuni lagi. Degil pulak adik aku ni. Gumamnya perlahan.

“Yelah. Nanti orang datang.” Akhirnya Iskandar terpaksa menyetujui. Bimbang kakaknya makin memanjangkan cerita. Samada dia benar-benar mahu pergi, akan difikirkan sekali lagi.

“Good, macam tu lah adik akak.” Aryuni senyum sampai ke telinga. Iskandar mencebir.

“Okaylah. Kak Yuni gerak dulu nak pergi klinik.” Aryuni mula meminta diri.

“Hurm.” Balas Iskandar sambil mengangkat kepala memandang kakaknya yang sudah berdiri.
Huluran tangan Aryuni disambutnya. Kali ini tangan kakaknya itu dicium tanda hormat.

“Make sure you come before 6.00 p.m dik.” Pesan Aryuni lagi. Iskandar hanya mengangguk. Pen ditangan dimain-mainkannya.

“Okay, bye. Assalamualaikum.” Aryuni melambai sebelum hilang disebalik pintu. Iskandar menjawab salam tadi perlahan sebelum mengeluh kecil.

Setelah seketika dia meneruskan kerjanya semula. ‘Hal itu tolak ke tepi dulu. Pasal kes ni lebih penting.’ Bisik hatinya.

+++++++++++++++++++++++++

Seperti yang dijanjikan, Iskandar ke rumah umi dan papanya hujung minggu itu. Desakan kakaknya saban hari melalui panggilan telefon begitu merimaskannya. Dengan hati yang berat, dia memandu ke Ampang petang itu selepas Asar.

Iskandar memarkir keretanya diluar pintu pagar rumah banglo dua tingkat milik orang tuanya. Selepas mengunci pintu kereta, dia berjalan ke pintu pagar. Dia tidak mahu menggunakan kunci pendua pintu pagar yang dimilikinya untuk masuk.

"Assalamualaikum." Laung Iskandar memberi salam sambil tangannya menekan loceng.
Tak lama selepas itu dia ternampak wajah seseorang terjengul dipintu rumah.

"Waalaikumussalam. Dah sampai Is?" Qayyum, suami kakaknya Aryuna Purnama menapak ke pintu pagar. Iskandar melemparkan senyum.

Selepas pintu pagar kecil terbuka, Iskandar masuk dan menyalami tangan abang iparnya itu.

"Abang Qayyum sihat?" Soal Iskandar sekadar berbasi-basi.

"Sihat Is. Kau sihat? Lama abang tak nampak kau." Qayyum memaut bahu Iskandar mesra. Mereka seiringan menapak ke dalam rumah.

"Siapa bang?" Aryuna yang baru tiba dipintu bertanya suaminya.

Aryuna tersenyum melihat wajah adiknya disisi suami tercinta. Bibirnya tersenyum. Huluran salam tangan Iskandar disambutnya mesra.

"Lama tak nampak Is." Aryuna menampar lembut lengan adiknya. Adik kembarnya sudah memberitahu tentang kejarangan Iskandar bertandang ke rumah umi dan papa mereka.

"Busy kak." Jawab Iskandar pendek.

"Dahlah yang, cuba ajak Is ni masuk rumah. Bersembang depan pintu ni kenapa?" Qayyum menegur isterinya yang langsung tidak sabar-sabar untuk berbual. Aryuna hanya tersengih.

"Jom masuk Is, abang." Ujar Aryuna. Matanya dijegilkan sedikit semasa menyebut nama panggilan suaminya. Qayyum hanya menggeleng sebelum mengikut langkah isteri dan iparnya itu.

Iskandar melabuhkan tubuhnya disofa. Qayyum juga turut serta pada sofa bertentangan. Manakala Aryuna menghilang entah ke mana. Dapur agaknya. Fikir Iskandar sendiri.

"Umi dengan papa mana bang?" Soal Iskandar. Sejak tadi dia tidak melihat kelibat orang tuanya itu.

"Diorang keluar dengan Yuni tadi." Balas Qayyum. Iskandar hanya mengangguk.

"So, sekarang tengah handle kes apa?" Tajuk perbualan mula bertukar soal kerja masing-masing.

"Pasal satu kes rogol bang. Penat sikit la buat research sebab takde saksi untuk kes tu." Iskandar seolah mengeluh.

"Oh, kau pihak defenderlah ni?" Iskandar hanya mengangguk.

"Zaman sekarang ni kes rogol, membunuh ni dah macam hal biasa je dalam masyarakat kita." Qayyum memberi pendapat.

"Betul tu bang. Orang Malaysia sekarang ni makin dah hilang manners." Tambah Iskandar.
Kedua-duanya mula rancak bercerita. Topik perbualan berkisar tentang soal isu semasa.
Masing-masing mengemukakan pendapat sendiri. Langsung tidak sedar sudah setengah jam mereka berbual sehinggalah Aryuna mencelah dengan dulang ditangan.

"Jemput minum bang, Is." Aryuna menuang teh ke dalam cawan. Pinggan berisi cucur udang juga diletak atas meja kopi. Setelah itu dia berlalu semula ke dapur bersama dulang kosong.

"Minum Is." Qayyum lembut mempelawa. Iskandar mengangguk. Mereka sama-sama mengambil cawan yang berasap tipis dan dirapatkan ke bibir.

Tidak lama selepas itu, tepat jam pukul 6.30 petang terdengar bunyi deruan kereta yang masuk ke garaj. Iskandar dan Qayyum sama-sama memandang ke pintu.

"Diorang dah baliklah tu." Qayyum tersenyum. Manakala Iskandar menelan liurnya kelat. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kedua orang tuanya itu.

Salam yang dilaung dimuka pintu dijawab dalam hati oleh Iskandar. Tubuh papa dan uminya yang masuk ke dalam rumah dipandang dengan ekor matanya.

Dalam pada itu.Iskandar tetap bangun dan bersalaman dengan kedua orang tuanya itu. Namun keadaan diantara mereka kekok sahaja. Masing-masing terasa janggal.

"Dah lama kau sampai Is?" Aryuni yang masuk selepas itu bersama barang ditangan menyoal adiknya tatkala Iskandar bersalaman dengannya.

"Hurm." Balas Iskandar.

Puan Zaiton dan Aryuni berlalu ke dapur meninggalkan Qayyum, Iskandar dan Encik Habsyah bertiga diruang tamu. Suasana diruang tamu senyap. Sekali sekala Encik Habsyah mencuri pandang wajah anak lelakinya. Qayyum turut terperasankan itu.

“Papa, Andi tu bila habis belajar?” Qayyum memecahkan kesunyian yang bertamu. Pelik juga dia melihat kesenyapan antara bapa mertua dan adik iparnya itu.

“Entah, tak silap papa dia ada lagi setahun rasanya.” Encik Habsyah membalas.

“Tapi, insyaALLAH bulan sebelas ni dia balik bercuti.” Sambung Encik Habsyah.
Qayyum mengangguk. Bermakna dalam dua bulan lagi dapatlah dia berjumpa dengan adik bongsu isterinya, Arian Andika.

“Macam mana dengan syarikat kamu tu Qayyum?” Encik Habsyah mula ingin merancakkan suasana. Iskandar disitu hanya setia menjadi pendengar.

“Boleh tahan papa. Alhamdulillah dah dapat dua projek. Tapi kecil-kecil jelah.” Balas Qayyum.

“Erm, okaylah tu. baru mula nak bertapak. Esok-esok maintainlah.” Encik Habsyah memberi kata-kata semangat. Bangga dia dengan menantunya itu yang baru menubuhkan syarikat kejuruteraan.

“InsyaALLAH papa.” Qayyum mengangguk setuju.

“Pa, saya ingat dalam hujung bulan ni nak buat family gathering sikit.” Qayyum membuka topik perancangannya yang diusulkannya pada isterinya haritu.

“Oh, Yuna ada cakap dengan papa haritu.”

“So macam mana? Papa semua boleh ikut?”

“InsyaALLAH. Papa dengan umi kamu takde masalah. Tak ajak family sebelah kamu sekali ke?”

“Ajak sekali rasanya. Papa tak kisah ke?” Soal Qayyum takut-takut.

“Hish apa pulak nak kisah? Diorang tu kan besan papa juga.” Encik Habsyah ketawa kecil. Qayyum jadi malu sendiri.

“Er, okaylah kalau macam tu.” Qayyum menggosok belakang tengkuknya. Matanya beralih pada Iskandar pula yang diam sejak tadi.

“Is pulak macam mana? Boleh join?’ Soal Qayyum.

“Join apa ni bang?” Iskandar terpinga-pinga.

“Eh, Kak Yuna tak cakap dengan Is ke?”

“Takde pun.” Iskandar menjungkit bahu.

“Ni abang Qayyum dengan Kak Yuna kamu ni rancang nak buat family gathering hujung bulan ni dekat Langkawi.” Encik Habsyah menyampuk.

“Hurm…” Iskandar diam berfikir.

“Bolehlah Is. Join sekali. Kita pergi empat hari tiga malam je.” Qayyum menggesa Iskandar supaya setuju.

“Tengok dululah. Takut Is tak dapat cuti je.” Iskandar berdalih.

“Kau mintaklah cuti awal. Kita pergi 30 hari bulan ni.” Gesa Qayyum lagi.

“Ikut sekalilah Is. Lagipun bukan selalu family kita ada jumpa-jumpa begini.” Encik Habsyah menyaran anak lelakinya itu turut serta.

“Nanti Is cuba minta cuti.” Ungkapan akhir Iskandar itu melegakan hati Qayyum dan Encik Habsyah. Mereka sama-sama tersenyum.

Malam itu, masuk waktu Maghrib mereka sekeluarga berjemaah bersama. Sekali-sekala berjumpa begini memang itu yang sering mereka lakukan. Sayangnya Arian Andika pula tiada. Usai berjemaah, mereka membaca surah Yassin beramai-ramai. Suasana malam itu terasa syahdu sekali.

Solat Isya’ juga dilakukan secara berjemaah selepas itu. Sebentar lagi, acara makan-makan sempena hari lahir Iskandar pula yang akan berlangsung. Kebiasaannya, memang mereka akan mengadakan solat Jemaah dan bacaan Yassin apabila menyambut hari kelahiran dalam keluarga mereka.

Bagi Encik Habsyah dan Puan Zaiton, cara itu lebih afdal. Lebih baik. Bukan dengan mengadakan parti-parti gaya orang Yahudi. Encik Habsyah dan Puan Zaiton memang amat pantang jika anak-anak mereka berpelakuan begitu.

Makan malam keluarga malam itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Qayyum. Tiada tetamu yang dijemput hadir, cuma ahli keluarga sahaja. Begitulah selalunya.

Masing-masing teruja dengan hidangan yang tersedia diatas meja. Makanan kegemaran setiap orang disediakan oleh Puan Zaiton, Aryuna dan juga Aryuni. Semua kelihatan ceria. Kecuali Iskandar yang mempamerkan wajah selamba. Encik Habsyah dan isterinya menyedari kelakuan anak lelaki mereka itu. Hanya mereka berdua yang tahu mengapa.

Selesai makan malam, acara potong kek pula. Iskandar hanya mengikut arahan kakak-kakaknya. Semua yang diaturkan diikutkan sahaja. Dia cuba berpura-pura ceria untuk ahli keluarganya itu. namun jauh didasar hati, dia rindu untuk bermanja dengan kedua orang tuanya. Dia tidak suka keadaan mereka yang kekok begitu.

“Malam ni tidur sini ye Is?” Aryuna bertanya semasa menghulur gelas air pada adiknya itu.

“Eh, tak kot.” Iskandar sedikit tersentak.

“Tidur jelah. Lagipun kau dah lama tak bermalam dekat sini.” Aryuni yang duduk disebelah uminya mencelah.

“Is bukan tak nak…” Iskandar keberatan.

“Esokkan cuti. Apa salahnya.” Aryuna memotong.

“Memanglah cuti. Tapi Is kena kerja. Banyak kes tak settle lagi.” Iskandar bersuara.

“Kau kan dah lama tak tidur sini. Apa salahnya? Malam ni je pun. Esok kau nak balik pun takpe.” Suara Aryuna kedengaran kecewa.

“Tidur sini jelah Is. Dah lama kita tak jumpa-jumpa macam ni.” Qayyum menyokong saranan isteri dan kembarnya itu.

Encik Habsyah dan puan Zaiton sedari tadi diam. Dalam hati mereka, memang ingin sangat Iskandar bermalam dirumah mereka. Mak ayah mana yang tidak rindukan anak. Lagipun banyak yang mereka ingin tanya pada Iskandar.

“Tak boleh. Is memang kena settlekan malam ni. Esok nak kena jumpa client. Apa pun tak prepare lagi ni.” Iskandar bertegas.

“Jangan dipaksa adik tu.” Puan Zaiton mula menyampuk. Ditegaskan sedikit suaranya seperti memarahi anak kembarnya yang memaksa Iskandar. Masing-masing mata terarah ke arah umi mereka kini. Kebisuan mula menyapa.

“Sudahlah tu. Lain kali pun Is boleh tidur sini kan.” Encik Habsyah juga memainkan peranan.

Wajah Qayyum dan Aryuna kelihatan hampa. Akhirnya mereka mengangguk juga. Cuma Aryuni yang kelihatan tidak puas hati. Tidak pernah dia melihat papa dan uminya menyokong adiknya begitu. Perkara yang tak logik macam ni pulak tu.

‘Ni mesti ada rahsia diorang ni. Dari haritu aku tengok pelik je umi dengan abah ni bila cakap pasal Is. Apa benda ye? Is pun banyak senyap je bila jumpa dengan umi dan papa? Apa sebenarnya yang berlaku ni?’ Minda Aryuni masih berteka-teki. Dia akan cuba mencari jawapannya nanti. Nekad hatinya.

“Is…” Puan Zaiton memanggil anaknya saat hanya mereka berdua diruangan dapur tatkala itu. Sengaja Puan Zaiton mengambil kesempatan itu untuk mengekori anaknya itu. Dia ingin berbicara sendirian dengan pemuda itu.

Iskandar menoleh ke arah uminya. Riak dingin dan serius dipamerkan diwajahnya.

“Umi minta maaf atas apa yang berlaku.” Sayu suara Puan Zaiton menuturkannya. Sedikit sebanyak hati keras Iskandar tersentak sendiri. Terasa bersalah hingga menyebabkan uminya perlu merendahkan diri meminta keampunan padanya yang hanya bergelar anak.

“Umi dengan papa cuma lakukan yang terbaik untuk Is.” Rintih Puan Zaiton lagi. Iskandar mengeraskan hatinya. Dibuang jauh-jauh rasa tersentuhnya.

“Macam mana Is sekarang? Zaira sihat?” Puan Zaito meneruskan bicara walaupun tiada balasan dari Iskandar.

“Hurm..” Itu sahaja jawapan Iskandar. Puan Zaiton sudah berasa lega.

“Is cubalah hidup baik-baik dengan Zaira. Umi percaya dia jodoh kamu nak.” Puan Zaiton memandang wajah Iskandar penuh megharap.

“Cukuplah umi. Is tak nak dengar apa-apa lagi. Hidup Is biar Is yang tentukan. Cukuplah apa yang umi dah buat selama ni.” Iskandar membentak dalam nada perlahan.

Sayu hati Puan Zaiton mendengar kemarahan anaknya itu. Kata-kata maaf dipohon sekali lagi. “Umi minta maaf.”

Genangan air mata ditubir matanya diseka perlahan. Iskandar membuat wajah keras melihat kesedihan uminya walaupun dia cukup tersentuh atas perlakuan kasarnya. Entahlah, buat masa ini dia tidak dapat menerima segalanya lagi.

Aryuni yang berjalan ke dapur pelik melihat tingkah umi dan adiknya. “Umi, Is buat apa dekat dapur ni?” Soalnya pelik.

“Takde apa, Is ni mintak umi buatkan kopi panas untuk dia.” Puan Zaiton cepat-cepat menyembunyikan hal sebenar.

“Hurm, jomlah ke depan. Bersembang dekat dapur buat apa.” Aryuni berlagak selamba walaupun dalam hatinya membuak-buak perasaan ingin tahu. Dia rasa dia tidak tersalah pandang tadi bening air mata pada mata tua uminya. Keadaan itu menambahkan syak wasangkanya lagi terhadap orang tuanya dengan adiknya.

“Pergi duduk dulu Is. Kejap lagi umi bawakkan kopi kamu.” Puan Zaiton membelakangi kedua anaknya. Iskandar hanya mengangguk dan berlalu.

Aryuni masih berpura-pura mencuci tangan disinki. Dia cuba mencuri pandang wajah uminya.

“Yuni nak air kopi juga ke?” Puan Zaiton cuba berlagak ceria.

“Er, tak naklah.” Cepat-cepat Aryuni menggeleng. Terkejut dia dengan teguran uminya tadi.

“Yuni pergi depan dulu ye umi.” Aryuni mempamit diri. Puan Zaiton hanya mengangguk dan terus membancuh kopi buat Iskandar.

Tepat jam 10.30 malam, Iskandar mula meminta diri untuk pulang. Aryuna dan Aryuni masih cuba memujuk Iskandar untuk bermalam dalam diam. Takut didengari oleh kedua ibu bapa mereka nanti.

Puan Zaiton, Encik Habsyah dan Qayyum hanya menghantar pemergiannya dimuka pintu. Hanya kakak kembarnya yang mengikut hingga ke kereta.

“Tak boleh kak. Esok-esok jelah.” Iskandar tetap bertgeas dengan keputusannya.

“Kau ni Is. Tak faham akak tau.” Aryuna menampar perlahan bahu adiknya itu.

“Entahkan.” Aryuni turut setuju.

“Okaylah Is balik dulu.” Iskandar tunduk menyalami tangan kedua-dua kakaknya.

“Jaga umi dengan papa baik-baik.” Pesan Iskandar pada Aryuni kerana hanya gadis itu yang selalu tinggal dirumah orang tua mereka. Walaupun masih marah, namun sebagai anak dia tetap menyayangi kedua orang tuanya itu.

“Kau tu jaga diri elok-elok.” Pesan Aryuni pula.

“Ye, okaylah. Assalamualaikum.” Iskandar memboloskan tubuhnya ke dalam CRV.
Aryuna dan Aryuni menjawab salam perlahan. Tangan mereka terus melambai pada Iskandar sehingga CRV milik lelaki itu hilang dari pandangan. Kemudian terus mereka seiringan melangkah ke dalam rumah. ada rasa kecewa dalam hati masing-masing.

Dalam pada itu, minda Aryuni tetap ligat memikirkan tentang umi, papa dan Iskandar. Rasa ingin tahunya begitu kuat menganggu jiwanya. ’Apakah rahsia mereka bertiga?’ Tanyanya sendiri.

No comments:

Post a Comment