Friday, September 23, 2011

Bahagia Bukan Milikku 3

BAB 3

“Dia ikut Is balik rumah.” Iskandar berkata setelah mereka berempat melangkah keluar dari balai polis yang telah menyaksikan lafaz akad yang mengikat dia dan Zaira tadi. Jam sudah pun menunjukkan pukul 4.30 pagi.

“Is…” Puan Zaiton memegang lengan Iskandar. Langkah mereka berempat terhenti. Puan Zaiton menjatuhkan pandangannya pada menantunya, kemudian beralih kepada Iskandar semula.

“Umi nak kamu jaga Zaira sebaik-baiknya. Zaira dah jadi tanggungjawab kamu. Kamu kena faham semua tu. Lupakan apa yang sudah berlaku. Fikir kan masa hadapan kamu berdua. Umi doakan yang terbaik untuk anak umi. Jangan sia-siakan hidup Zaira.” Encik Habsyah disebelah sudah memaut bahu isterinya itu yang sudah terhenjut menahan tangis. Zaira tertunduk menekur lantai.

“Umi, Is dah ikut apa yang umi nak. Is tahulah nak uruskan hidup Is nanti.” Suara Iskandar masih tegang seperti tadi. Layanannya kepada Puan Zaiton dan Encik Habsyah mula dingin. Hatinya sakit dengan kerelaan uminya membiarkan Zaira untuk dikahwininya.

“Is nak balik. Please, adik beradik Is tak perlu tahu pasal ni.” Iskandar mengingatkan kedua orang tuanya berkenaan hal itu.

Dengan wajah dingin, Iskandar menyalami tangan kedua orang tuanya. Zaira juga menurut perlakuan suami yang baru dinikahinya itu. Kemudian Iskandar terus memboloskan diri ke dalam kereta bersama Zaira. Puan Zaiton dan Encik Habsyah hanya memandang sayu kereta anaknya berlalu.

"Kita redhakan sahaja apa yang berlaku Tun." Encik Habsyah memapah isterinya menuju ke kereta Perdana V6 yang diparkirnya di tempat parkir.

Di dalam kereta, Iskandar langsung tidak bercakap dengan Zaira. Hanya kebisuan yang menemani mereka. Zaira hanya mendiamkan diri menyimpan rasa kecut dengan cara pemanduan Iskandar yang menggila. Laju Honda CR-V Faceliftnya dilarikan diatas jalan raya.

Iskandar sudah mematikan enjin kereta. Kawasan parkir bertingkat kondominium Desa Damansara di Damansara Height sunyi sepi memandangkan hari sudah dinihari. Iskandar menghempas kuat pintu kereta setelah keluar darinya. Zaira masih diam didalam kereta. Keadaan itu membangkitkan kemarahan Iskandar yang sedia ada. Dia berjalan ke arah tempat penumpang dan membukakan pintu kereta.

"Kau tak reti nak keluar ke? Nak aku dukung sampai atas ke?" Iskandar menengking Zaira yang masih menekur ke lantai kereta. Perlahan-lahan Zaira melangkah keluar dari perut kereta. Sekali lagi bunyi hempasan pintu kereta membuatkan Zaira semakin takut. Apakah nasib dia sebentar lagi. Benar dia sangat takut saat itu.

Zaira berjalan membontoti langkah Iskandar ke pintu lif. Mujur Puan Zaiton ada memberinya sehelai selendang dan sepasang sandal tadi. Cukuplah selendang itu untuk menutup sebahagian tubuhnya walaupun masih banyak bahagian yang terdedah. Iskandar memandang Zaira dengan perasaan jelik. Berpura-pura baik depan aku. Iskandar mendengus kecil.

Pintu rumah dibuka kasar oleh Iskandar. Selepas Zaira melangkah masuk, Iskandar menghempas pintu itu kuat. Menggigil tubuh Zaira ketakutan. Iskandar perasan reaksi isterinya itu, namun tidak diendahkannya. Kemudian dia berlalu ke bilik tidurnya. Tubuh Zaira ditinggalkannya terkulat-kulat seorang diri didepan pintu tanpa membuka langsung lampu.

Zaira hanya membatu didepan pintu. Dia masih menunggu Iskandar memberi arahan kepadanya. Dia tidak mahu perlakuan memandainya menimbulkan kemarahan Iskandar lagi. Setengah jam sudah berlalu namun kelibat Iskandar masih tidak kelihatan akan keluar dari biliknya. Kaki Zaira sudah naik lenguh berdiri umpama patung disitu.

Zaira tidak upaya lagi untuk berdiri. Dia duduk menyandar pada pintu rumah. Selendang tadi digunakan untuk menutup sebahgian kakinya yang terdedah. Sekali-sekala Zaira tersengguk-sengguk menahan kantuk yang hadir. Dia masih keseorangan disitu tanpa kehadiran Iskandar semula.

++++++++++++++++++++++++++++

Zaira menolak tubuh Fadhli yang cuba memeluk tubuhnya. Ketawa Fadhli yang semakin kuat menambahkan ketakutan Zaira. Air mata dipipi Zaira mengalir laju.

"Abang Fadhli, tolonglah jangan buat Zaira macam ni." Zaira merayu simpati Fadhli yang kelihatan semakin menggila itu.

"Kau cantik Zaira, takkan aku nak lepaskan kau macam tu saja." Fadhli sudah berjaya menangkap pergelangan tangan Zaira. Zaira meronta-ronta untuk melepaskan diri.

"Tolong! Tolong! Tolong!" Zaira cuba menjerit meminta bantuan. Fadhli makin kuat tertawa. Kebingitan bunyi muzik dari luar bilik yang malap itu itu membuatkan suara Zaira tidak didengari oleh sesiapa.

"Kau jeritlah macam mana pun sayang. Takde siapa yang akan dengar." Fadhli mengemaskan lagi pegangannya.

"Abang, tolong lepaskan Zaira. Zaira ni adik abang." Zaira masih cuba meraih simpati abang sepupunya itu.

"Rilekslah sayang. Lepas ni kerja kau pun melayan jantan-jantan kat luar sana. Kau jangan risau, lepas ni kau akan biasa buat semua ni. Sebelum jantan-jantan kat luar sana tu rasa tubuh kau, biar aku yang rasmikan kau dulu." Fadhli tersenyum nakal. Zaira agak terkejut dengan kata-kata Fadhli itu.

"Maksud abang?" Zaira bertanya dengan wajah terkejut.

"Sayang, perempuan macam kau hanya layak buat kerja macam yang mak kau biasa buat." Fadhli berkata dengan senyuman jahat tersungging dibibir.

"Mana tak tumpah kuah kalau tak ke nasi." Fadhli meledakkan ketawnya kembali. Air mata Zaira bertambah laju menuruni pipinya.

Tidak! Aku takkan buat kerja terkutuk tu. Mak aku buat semua tu pun bukan sebab kerelaan sendiri. Dia dipaksa dan terpaksa. Ini semua sebab lelaki. Jantan semua tak guna. Tak guna! Hati Zaira menjerit kuat. Dia bertekad tidak akan melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh arwah maknya dulu.

Dengan sekuat tenaga, Zaira menggigit lengan Fadhli sehingga berdarah. Kuat jeritan lelaki itu sambil menarik rambut Zaira menjauhkan cengkaman mulut gadis itu pada lengannya. Pegangan Fadhli terus terlepas dari tangan Zaira. Kesempatan itu diambil Zaira untuk bergerak ke pintu bilik kecil itu.

"Dasar anak haram!" Fadhli menjerit marah. Dia menerkam semula ke arah Zaira. Zaira menggigil. Golekan botol minuman diatas lantai menggamit matanya, lalu dicapai botol itu.

"Prang!" Botol kaca tadi terus berderai selepas dihentak dikepala Fadhli. Tubuh Fadhli terus rebah ke lantai. Zaira menggeletar melihat batang tubuh Fadhli yang tidak bergerak lagi. Dia menguis tubuh Fadhli untuk memastikan lelaki itu masih bernyawa. Namun tiada gerakan dari tubuh lelaki itu. Nadi dipergelangan tangan Fadhli diperiksa. Dia lega, masih berdenyut.

Gigilan tangan Zaira masih tidak berhenti. Tiba-tiba dia terfikirkan untuk melarikan diri. Ya, ini peluang yang dia ada. Tanpa berfikir panjang, dia segera memboloskan diri dari bilik kecil itu. Ingin segera meninggalkan tempat bingit itu. Dia ingin meninggalkan dunia yang pernah dijejaki oleh arwah ibunya dulu. Zaira berlari kuat sehingga kasut tumit tingginya tercabut entah ke mana. Dalam fikirannya hanya terbayang jalan keluar dari dunia gelap itu. Zaira berlari tanpa menoleh ke belakang lagi.

++++++++++++++++++++++++

Iskandar menguis tubuh Zaira yang tersandar dihadapan pintu menggunakan kakinya. Zaira masih terjerit kecil sambil menangis. Iskandar merapatkan wajahnya pada wajah Zaira. Mata gadis itu masih tertutup, namun mulutnya tidak henti-henti menjerit kecil.

"Lepaskan Zaira bang. Tolong bang." Tangan Zaira tergapai seolah menolak seseorang. Iskandar melutut disebelah Zaira.

Apa kena pulak dia ni sampai terjerit-jerit meracau macam ni? Pipi gadis yang masih basah itu diperhatikannya. Iskandar mendengus kecil. Bahu Zaira digoncang perlahan untuk membangunkan gadis itu. Zaira masih meronta-ronta dengan mata tertutup.

"Zaira!" Panggilan dan goncangan Iskandar yang kuat membuatkan Zaira membukakan matanya. Saat terpandang wajah Iskandar disisinya terus dia mengengsot ke sudut dinding. Tangisannya kuat semula.

"Tolong lepaskan Zaira. Jangan buat Zaira macam ni bang." Zaira memandang wajah Iskandar yang disangkanya Fadhli untuk meminta simpati. Iskandar mendekat. Perbuatan Iskandar itu membuatkan Zaira semakin mengerengkot ke dinding. Dia masih nampak Fadhli. Dia benar-benar takut.

"Zaira." Iskandar cuba memegang tangan gadis itu yang menolak dadanya.

"Jangan buat macam ni pada Zaira abang." Zaira merintih lagi untuk kesekian kalinya. Tangannya cuba dilepaskan dari pegangan bayangan Fadhli itu.

"Zaira, ini aku. Iskandar. Kau kenal tak?" Iskandar cuba menyedarkan Zaira yang disangkanya masih mengalami mimpi buruk. Zaira masih meronta-ronta.

"Lepaskan Zaira abang Fadhli. Tolong Zaira." Zaira meronta makin kuat. Iskandar mendengus kasar. Rasa kasihannya tadi melihat keadaan Zaira, hilang berganti dengan perasaan marah.

"Zaira, aku Iskandar. Bukan Fadhli!" Iskandar menggoncang bahu Zaira lebih kuat dengan satu tolakan menyebabkan gadis itu tersandar di dinding dengan mata terkebil-kebil. Ratapannya tadi mula bertukar menjadi sendu perlahan.

Zaira mula sedar. Selendang yang berada dihujung kakinya dicapai untuk menutup pahanya yang terdedah luas. Iskandar mula bangun dari duduknya. Dia berlalu semula ke dalam bilik tidurnya.

Apa hal perempuan tu tadi? Iskandar berfikir sendiri. Menungannya didalam bilik tadi terganggu dengan jeritan seorang perempuan. Matanya tidak mampu lelap memikirkan hidupnya yang akan berubah seratus peratus selepas ini. Dengan statusnya yang bergelar seorang suami. Selepas diamati, dia pasti suara itu datang dari luar bilik. Segera dia berlari keluar mencari tubuh Zaira.

Racauan kuat dari bibir Zaira sambil menangis menimbulkan tanda-tanya di benak Iskandar. Tambah membuat dia tidak senang apabila mendengar Zaira menyebut 'abang'. Secepat itu Zaira mahu memanggilnya abang. Pelik. Persoalannya terjawab apabila akhirnya gadis itu menyebut nama seorang lelaki. Fadhli. Ya, siapa Fadhli dalam hidup Zaira? Iskandar berbaring diatas katil memikirkannya. Tubuh Zaira yang masih tersedu ditinggalkannya sendirian lagi dihadapan pintu.

Simpati sedikit hadir dihatinya. Dia tahu gadis itu ketakutan tadi dengan mimpi buruk yang dialaminya. Bukan dia tak kesian. Dia sendiri merasa gigilan tubuh Zaira saat memegang bahunya tadi. Namun Iskandar menghalau rasa simpati yang singgah dihatinya itu memikirkan nasib dirinya yang terpaksa mengahwini gadis yang bernama Zaira itu.

Iskandar mengalih kepalanya memandang jam loceng yang berada diatas meja tepi katil. Iskandar segera bangun mencapai tuala untuk mandi apabila melihat jarum jam sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Subuh akan menjelma tidak lama lagi, namun matanya masih belum rasa mengantuk. Otaknya sudah penat memikirkan hal yang berlaku dalam hidupnya dalam sekelip mata itu.

Iskandar melangkah keluar dari kamarnya pada pukul 6.30 pagi. Dia hanya berseluar jeans dengan t-shirt berkolar berwarna biru laut. Hari in dia tidak akan ke pejabat. Bosnya akan diberitahu nanti yang dia akan mengambil cuti. Zaira yang berdiri di tepi pintu langsung tidak dihiraukannya. Iskandar ke dapur mencari air didalam peti sejuk. Jus oren didalam botol diteguknya sehingga tinggal separuh.

Iskandar duduk disofa untuk menyarung stoking. Selesai sahaja dia terus membuka pintu rumah dan menyarung kasut. Zaira masih menekur lantai saat Iskandar melepasi tubuhnya. Iskandar berpaling semula mencari wajah Zaira.

"Kau jangan sesekali keluar dari rumah ni." Amaran keras dari Iskandar itu hanya diangguk kecil oleh Zaira. Kalau tidak diberitahu pun memang dia tak akan ke mana-mana. Dia langsung tak tahu dimana dia berada sekarang, apatah lagi mahu membuat sesuatu tanpa arahan lelaki itu.

Iskandar menutup pintu rumah dengan kasar. Zaira yang terkejut mengurut dadanya perlahan. Dia mengeluh kecil sebelum duduk tersandar dipintu itu semula.

Zaira melata pandangannya ke seluruh ruang rumah yang mula diterangi oleh cahaya matahari dari luar yang berjaya menerobos dicelah-celah langsir berona krim itu. Sofa yang berwarna oren lembut itu direnungnya. Tentu best kalau dapat berbaring disitu. Dapat baring atas tilam lagi bagus. Zaira mengeluh kecil dengan angan-angan kosongnya itu. Untuk duduk diatas lapik kaki yang menjadi alasnya sekarang pun dia rasa tidak layak, inikan pula nak rasa tidur diatas tilam empuk dalam rumah itu.

Zaira memandang ke dada langit yang semakin cerah disebalik cermin tingkap. Subuh sudah hampir habis tapi dia masih belum menunaikan kewajipannya itu. Tidak sempat Zaira bertanya pada Iskandar tadi. Bagaimana dia mahu solat dengan berpakaian begitu dan tanpa telekung. Zaira terasa ingin menangis semula. Dia mula terfikirkan tentang hidupnya kelak. Bagaimana dia akan teruskan hidupnya nanti.

Benarkah dia tidak layak memiliki bahagia itu? Benarkah jalan hidupnya hanya untuk merasa derita? Benarkah dia hanya seorang manusia yang tidak layak mengecap walau sepicing gembira? Zaira memaut lututnya rapat ke muka. Dalam keadaan sunyi itu, terdengar tangisan kecil dari bibir Zaira Zalika yang terluka untuk kesekian kalinya.

No comments:

Post a Comment