Wednesday, October 26, 2011

Bahagia Bukan Milikku 17

BAB 17

Aryuni masih sibuk di kliniknya walaupun jam sudah pun menunjukkan pukul 11.00 malam tika itu. Klinik sudah lama ditutup sejak pukul 8.00 malam tadi. Sahabatnya Ryan dan dua pembantu mereka juga sudah lama balik.

Hanya dia seorang saja yang tinggal kini. Ralit dia mahu menghabiskan kerja-kerja mengemaskini dan menyusun fail-fail laporan kesihatan yang tidak bersusun. Turun naik dia melalui tangga kecil untuk menyimpan fail di atas rak.

Sedang dia sibuk dengan tugasannya, tiba-tiba iPhone diatas meja berbunyi kuat. Cepat-cepat Aryuni mengambilnya.

“Asslamualaikum mi.” Aryuni gelisah menyambut panggilan uminya itu. Pasti uminya kerisauan sebab waktu sekarang dia masih belum pulang lagi.

“Waalaikumussalam. Kamu dekat mana ni Yuni? Pukul berapa dah ni?” Suara umi sedikit tinggi. Bercampur kerisauan memikirkan keselamatan anak daranya yang sudah berusia 30 tahun itu.

“Umi, Yuni ada kerja lagi ni mi.” Aryuni melunakkan suara.

“Esokkan boleh buat. Dah malam ni? Mana umi tak risau.” Tekan Puan Zaiton dengan nada penuh bimbang.

“Yuni tak pergi mana pun. Still dekat klinik. Sikit je lagi mi.”

“Ryan ada tak tu?”

“Err, Yuni sorang je ni.” Wajah Aryuni terkulat-kulat. Tadah telingalah lepas ni. Getusnya dalam hati.

“Ya ALLAH, kamu ni kenapa Yuni? Boleh kamu tercanguk sorang-sorang kat klinik tu? Kalau jadi apa-apa tu macam mana?” Tinggi suara Puan Zaiton. Terkejut dengan kenyataan anaknya itu.

"Alah mi... Yuni kan ada black belt." Aryuni mempertahankan kewajaran tindakannya itu.

"Geram betul dengan kamu ni Yuni. Kamu tu kalau dah bersuami takdelah umi ni nak risau sampai macam ni." Leter Puan Zaiton lagi. Aryuni dah buat muka bosan. Acapkali benar uminya itu mengungkit soal nikah kahwin dengannya.

"Umi nak Yuni balik cepat ke tak ni?" Aryuni mengugut.

"Bertuah betul budak ni. Dah cepat siapkan kerja tu. Nanti terus balik." Tukas Puan Zaiton dengan nada tegang.

"Okay, kalau ada apa-apa Yuni terus call umi. Jangan risau tau. Tahulah Yuni jaga diri." Pujuk Aryuni lembut. Puas hati Puan Zaiton tidak jadi membebel panjang.

"Hurm yelah. Call umi. Sedia telefon tu." Pesan Puan Zaiton.

"Okay. Assalamualaikum umi." Aryuni menutup bicara. Selepas menekan butang merah, dia melepaskan nafas lega. Haish, terlepas telinga ni dari leteran umi. Omelnya perlahan. Dia meneruskan kerja-kerjanya semula.

Aryuni mengilas jam ditangan sekali lagi. Kali ini dia terpempan melihat jam yang sudah terarah pada nombor dua belas jarum pendeknya. Macam mana langsung tak tersedar ni. Rungutnya. Dia mempercepatkan gerakannya mahu menyiapkan segera.

Selendang yang terlilit dikepalanya sudah tidak betul kedudukannya. Dia langsung tak menghiraukan untuk membetulkannya. Yang penting sekarang ni, kerja dia selesai cepat. Muka dah macam belacan belakang kira.

Akhirnya tepat pukul 1.00 pagi, Aryuni sudah siap dengan segala tugasnya. Ruang bilik yang selama ini berselerakan sudah tiada lagi. Aryuni tersenyum tanda puas hati dengan susah payahnya. Berbaloi dia peruntukkan waktu untuk melakukan semua itu.

“Huh penat betul.” Aryuni menepuk-nepuk bajunya yang sedikit berhabuk.

“Argh penatnya.” Dia menggeliat sepuas hati bagi meregangkan segala otot tubuh. Hanya dia seorang disitu jadi dia tidak perlu gusar memikirkan ada yang melihatnya.

iPhone dicapai sekali lagi. Dia mencari nombor telefon Maklong yang tinggal serumah dengannya untuk memberitahu perihal dirinya yang tak dapat balik ke rumah.

“Assalamualaikum maklong.” Sapa Aryuni.

“Dah tidur ke? Sorry kacau..” Aryuni menggigit hujung bibir bila mendengar suara serak maklong menyambut salamnya.

“Taklah. Maklong tak tidur lagi.” Tergelak Puan Zannah membuang rasa bersalah pada hati anak saudaranya itu.

“Yuni tak nak balik lagi ke ni?” Sambung Puan Zannah. Adiknya ada membebel mengenai Aryuni tadi.

“Umi dengan papa dah tidur ke maklong?” Soal Aryuni curiga.

“Entah, maklong dekat bilik ni. Nak cakap dengan umi ke?”

“Eh, tak nak.” Tolak Aryuni.

“Maklong tolong cakap dengan umi nanti yang Yuni tak balik tau malam ni. Yuni pergi tidur rumah Is je. Penat nak drive malam-malam.” Aryuni memberitahu panjang lebar.

“Oh, kalau macam tu pergi terus ke sana. Dah jauh malam sangat ni. Nanti maklong cakap dengan umi kamu.” Balas Puan Zannah.

“Thank you maklong. Sayang maklong.” Aryuni lega. Tak perlu dia menelefon uminya memberitahu. Kalau tidak kena bebel lagi.

“Okay, ada-ada je anak maklong sorang ni. Nanti kirim salam dekat Is.” Pesan Puan Zannah.

“All right maklong. Yuni pergi dulu, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Kedua-duanya menekan butang merah serentak. Kemudian Aryuni menekan butang message berniat menghantar pesanan SMS kepada Iskandar pula.

+ Is, akak nk tido umh ko mlm ni. Don’t worry akak ada kunci. Ko smbg la tido. +

Selesai menekan butang ‘send’, Aryuni mengemas serba sedikit meja kerjanya. Selepas berpuas hati dia terus mencapai handbagnya diatas kerusi dan melangkah ke pintu. Lampu bilik dipadamkannya dan pintunya dikunci dari luar.

Dia berjalan ke dinding yang terdapat suis yang banyak. Selepas memadamkan semua suis lampu, air cond dan sebagainya, dia berjalan ke pintu utama klinik. Pintu itu dikunci kemas dari luar dan pintu besi klinik ditarik dan dimanggakannya.

Selepas itu dia mendapatkan kereta Honda Jazznya yang diparkir didepan klinik tersebut. Enjin kereta dihidupkan. Tanpa membuang masa, dia memecut laju keretanya untuk ke rumah Iskandar. Balasan message dari adiknya itu masih tidak diterima. Mungkin sahaja adiknya itu sudah tertidur lena.

Zaira masih tidak dapat memejamkan mata. Mata yang mengantuk berusaha ditahannya supaya tidak terlelap. Ketakutan masih membelenggu jiwa. Kalau boleh dia memang tidak mahu tidur. Bimbang Iskandar balik tiba-tiba dan memperlakukannya seperti tadi.

Toto yang terbentang ditarik sedikit menutup kaki yang kesejukan. Dia menyandar ke dinding dengan dibaluti selimut. Malam ni sejuknya lain macam. Kelajuan kipas sudah pun dikurangkannya, namun kesejukan tetap mencengkam hingga ke tulang hitam.

Lima belas minit memandu, akhirnya Aryuni sampai ditempat parkir pelawat kondominium yang didiami oleh Iskandar. Selepas mengunci pintu kereta, dia berjalan laju menuju ke pintu lif untuk ke rumah adiknya. Jalannya dipercepatkan tidak mahu sebarang kemungkinan terjadi.

Hati-hati Aryuni membuka grille dengan kunci pendua yang dipegangnya. Daun pintu kayu juga dikuaknya penuh hati-hati. Dia menarik nafas lega selepas dapat masuk ke dalam rumah. Terasa selamat kini.

Keadaan dalam rumah yang gelap gelita menandakan penghuninya sudah nyenyak ditempat tidur. Aryuni menapak ke bilik tetamu. Tidak langsung menjengah bilik Iskandar. Pasti lelaki itu sudah lena. Nanti menganggu pula.

Aryuni memetik suis lampu selepas menutup pintu bilik tetamu. Bilik yang selalu digunakannya jika mahu menumpang tidur di rumah Iskandar. Malah baju-bajunya turut berada disitu. Dia bergerak ke almari mencari baju tidur untuk dipakai.

Tanpa mandi atau mencuci muka terlebih dahulu, Aryuni terus meloncat ke atas katil. Lampu sudah pun dipadamkannya. Dia benar-benar mengantuk. Esok sahaja mandi. Malam ini pula terlalu sejuk. Tak tahan dia nak membasahkan tubuh dengan air dingin.

Tak sampai beberapa minit, Aryuni sudah tertidur pulas. Keletihan mengemas klinik tadi membuatkan dia tidak sedar apa-apa kini.

Zaira dibiliknya masih tersengguk-sengguk. Cuba tidak mahu tidur. Dia takut dia akan bermimpi buruk lagi jika matanya terpejam walau untuk sesaat pun. Dia sedar akan hakikat itu sejak berkali-kali dia terjaga dengan wajah tegang Iskandar yang menghiasi pandangannya.

Zaira tidak tahan lagi. Dia bingkas dari duduknya. Badannya digeliatkan sepenuh hati bagi menghilangkan kantuk yang menguasai diri. Kakinya masih berkira-kira samada mahu keluar dari biliknya itu atau tidak.

Dia tekad. Pintu biliknya dibuka perlahan. Kepalanya dijenguk ke luar berwaspada. Kegelapan yang menguasai ruang rumah memberi keyakinan pada hatinya yang Iskandar mungkin tidak pulang ke rumah atau barangkali sudah tidur nyenyak di ruang peraduannya.

Dengan langkah berjaga-jaga, Zaira memberanikan diri melangkah keluar. Dia bergerak dengan perlahan ke ruang depan. Jam didinding sempat dilihatnya. Sudah pukul 3.30 pagi. Dengan langkah yang mash perlahan, Zaira menapak ke ruang dapur.

Sejak Iskandar tinggalkan dia dibilik tadi, baru sekarang dia keluar dari biliknya. Perut yang lapar langsung tidak diendahkannya. Yang penting keselamatannya terjaga. Zaira menghembus nafas perlahan.

Dia berjalan ke kabinet. Deretan botol air masak yang penuh terisi diambilnya satu. Lalu dituangnya memenuhi gelas yang diambil dirak tadi. Dia kehausan. Hampir tiga gelas air masak dihabiskannya. Memang benar-benar dahaga.

Kemudian dia menarik kerusi tinggi didepan meja kaunter. Duduk termenung disitu, fikirannya mula memikirkan perjalanan hidupnya yang nampak suram. Untuk mengeluh, dia tidak berani lagi. Dia tahu sejak berkahwin dengan Iskandar, bibirnya itu tidak henti-henti mengeluh dengan takdir ALLAH. Sebagai manusia biasa, dia tahu dia kadang-kadang terlupa. Kesedaran yang bertunas, membuatkan dia tidak mahu terus membuka jalan syaitan untuk menyesatkan dirinya.

Pesanan dan tunjuk ajar Ustazah Umairah yang menjadi teman rapatnya di sekolah rendah dulu melekat dijiwa saat ini. 

'Apa khabar ustazah sekarang ye? Dah ada anak ke?' Monolog Zaira didalam hati mengingatkan guru agamanya semasa di sekolah rendah dulu.

Pelbagai kisah yang dikongsinya bersama wanita yang dikaguminya itu. Ustazah Umairah pernah memberitahunya, yang dia dan suami masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah lapan tahun berumah tangga. Mungkin wanita itu sudah mempunyai keluarga besar memandangkan sudah enam tahun mereka tidak berjumpa.

Kali terakhir dia berhubung dengan Ustazah Umairah masa darjah enam. Tamat sahaja sekolah rendah, dia langsung terputus hubungan dengan wanita itu. Kedua tangannya diangkat perlahan ke hadapan wajah. Al-Fatihah disedekahkan buat wanita dan keluarganya, serta tidak lupa untuk ibu dan makciknya. Usai sahaja, wajahnya diraup mengaminkan doa.

Zaira meletakkan kepalanya diatas meja. Cuba mengosongkan kepalanya dari sebarang perkara. Entah bila, dunianya akan cerah dan penuh dengan warna ceria. Selagi dia tidak terlupa, selagi itulah dia berdoa agar ALLAH membuka jalan bahagia buatnya.

Dalam keadaan tanpa sedar itu, Zaira terlena juga berbantalkan lengannya diatas meja kaunter diruangan dapur yang gelap itu.

+++++++++++++++++++++++++++

Aryuni terjaga dari tidurnya saat iPhone dibawah bantalnya bergetar dengan alarm yang disetkannya. Tangannya memisat-misat mata yang masih keletihan. Permukaan iPhone yang bercahaya direnungnya lama.

Kebingungan akibat terjaga dalam keadaan terkejut beransur hilang. Dia mula sedar yang Subuh sudah pun masuk waktunya. Dengan malas dia bingkas bangun dari katil yang dirasakan sangat empuk untuk diulit waktu dinihari dingin begini.

Mulutnya tidak henti-henti menguap. Suis lampu ditepi pintu dipetiknya. Matanya ditenyeh berkali-kali akibat kepedihan menahan cahaya lampu yang terang. Dengan langkah longlai, dia membuka almari gelongsor mencari tuala mandi. Jumpa sahaja, dia terus mencapainya dan berjalan ingin ke bilik air di luar.

Sementara Zaira didapur, terjaga dari tidur apabila mula terasa kebas pada tangan dan kakinya. Mana tidaknya tidur dalam posisi begitu. Dia duduk lama bagi menghilangkan kebas yang menjalar.

Hilang sahaja rasa kebas, dia bangun membawa gelas yang digunakannya ke sinki. Gelas itu dibersihkan lalu disimpan semula ke rak. Perlahan-lahan, dengan mata yang masih mengantuk dia bergerak ke bilik tidurnya berniat mahu membersihkan diri memandangkan azan Subuh sudah pun berkumandang tadi.

Mata Aryuni masih kuyu semasa bergerak ke bilik mandi. Zaira dari dapur juga sama. Masing-masing masih tidak menyedari kehadiran diri masing-masing didalam kondominium milik Iskandar itu.

Aryuni sudah hampir sampai ke bilik air. Zaira juga begitu hampir dengan laluan yang akan mempertemukan mereka secara tidak sengaja itu.

Sama-sama masih melangkah dengan langkahan yang longlai dan dalam keadaan mengantuk. Tiba-tiba....

"Makkkkkkkkk!!" Kedua-duanya terjerit serentak membuatkan kedua gadis itu serentak berpaling melindungi wajah dengan kedua telapak tangan.

Hati mereka sama-sama berdegup kencang akibat terkejut dengan pertembungan itu. Selepas beberapa saat, serentak mereka berpaling.

"Siapa kau?" Aryuni pantas memulakan pertanyaan bersama jari telunjuk yang menuding ke arah wajah yang tidak dikenalinya itu. Matanya membulat merenung tubuh Zaira dari atas ke bawah dalam kesamaran cahaya itu. Hilang terus mengangtuknya tadi.

Zaira sudah resah. Dia berdiri terpacak tanpa berani mengeluarkan suara. Dalam hati tetap tertanya-tanya siapa gerangan gadis dihadapannya. Dalam masa yang sama dia kalut memikirkan kemungkinan yang pernah menerjahnya benaknya dulu semasa melihat pakaian-pakaian wanita dalam bilik tetamu yang baru beberapa kali dimasukinya.

"Siapa kau?" Soal Aryuni sekali lagi dengan tegas. Tangannya mula meraba mencari suis didinding. Mata keduanya tertutup buat beberapa saat bila cahaya terang mula menerangi laluan selebar lima kaki itu.

Mata Zaira terkebil-kebil memandang wajah cantik Aryuni. Dengan tersekat-sekat Zaira cuba memperkenalkan diri.

"Sa... saya..." Zaira kehilangan kata. Teringat peringatan Iskandar dengan kedua orang tuanya dulu supaya merahsiakan perkahwinan mereka.

"Baik kau cakap cepat. Kalau tidak aku telefon polis!" Aryuni mula berang. Entah siapa gadis dihadapannya ini. Dia berlari laju ke bilik tetamu semula mahu mengambil iPhonenya. Dapat sahaja dia berdepan semula dengan Zaira yang masih ketakutan.

“Cakap kau siapa. Kalau tak aku call polis!” Ugut Aryuni lagi. Kali ni tangannya sudah mahu menekan butang mendail nombor 999.

“Saya… saya..." Zaira masih tidak berani. Mana Iskandar saat ini? Tidak dengarkah dia dengan suara mereka yang kuat diluar ni.

"Iskandar!" Aryuni menjerit memanggil nama adiknya. Mungkn tidur mati dikatilnya.

"Is!" Laung Aryuni lagi. Dia mengundur mendekati pintu bilik Iskandar. Matanya tetap ditala pada wajah gadis tidak dikenalinya itu sebagai langkah waspada.

"Is!" Pintu bilik Iskandar ditolak kuat. Suis ditepi pintu dipetiknya dari luar. Terpinga-pinga dia melihat tiada sesiapa didalam bilik tidur adiknya.

"Mana adik aku? Kau siapa?" Aryuni pandang wajah dihadapannya dengan tajam. Memerah wajahnya bertanya. iPhone lantas dilekapkan ke telinga menanti butir bicara dari talian bantuan yang dihubunginya.

Zaira kalut melihat gadis dihadapannya dengan telefon ditangannya. Mungkin sedang menghubungi polis. Macam mana nanti? Fikirannya mula kalut. Dengan bibir terketar-ketar dia cuba bersuara.

"Hello..." Ucapan dari bibir Aryuni membuatkan Zaira segera memotong.

"Saya isteri Iskandar.” Terluah juga dari bibir Zaira bersama kesalan. Lepas ni apa yang jadi nasiblah.

"What?" Ternyata Aryuni terkejut dengan kata-kata yang baru didengarinya sehingga menyebabkan iPhonenya terlepas dari tangan. Zaira tertunduk mendengar suara lantang Aryuni.

"Isteri Iskandar?" Soal Aryuni semula. Dadanya masih tidak berhenti berdegup laju. Sudahlah terkejut dengan kemunculan gadis misteri ini, sekarang ditambah lagi dengan kenyataan gadis itu pula. Bila adiknya berkahwin?

Lemah sahaja anggukan dari kepala Zaira mengiakan pertanyaan gadis yang masih tidak diketahui namanya itu.

"Mana Iskandar pergi?" Soal Aryuni tidak puas hati. Dia mahu mendengar sendiri dari adiknya pula. Mana pula lelaki bertuah itu pergi.

"Saya tak tahu cik." Zaira masih menunduk memandang marmar putih dikakinya.

"Siapa nama kau?" Aryuni soal dengan nada keras. Masih ragu-ragu.

"Zaira."

Aryuni membungkam. Otaknya mula diasak dengan perlbagai persoalan. Tanda tanya tentang kejanggalan perhubungan antara kedua ibu bapanya dengan adik lelakinya itu seperti terjawab. Benarkah?

Pantas Aryuni menunduk mencapai iPhonenya semula diatas lantai. Mujur tidak berderai. Dia mencari nama Iskandar dalam senarai Phone Book. Lelaki itu harus dihubungi segera.

Aryuni mula kegeraman bila tangannya berkali-kali mendail nombor adiknya itu. Namun masih tidak berjawab. Melampau pula Iskandar ni tidur. Takkan langsung tak sedar! Gerutunya didalam hati.

Aryuni mencuba sekali lagi. Kali ini dia merasa lega. Suara serak Iskandar menyapa telinganya. Adiknya itu terus disembur agar pulang segera. Mata Aryuni masih tidak lepas memandang pada gadis yang mengaku sebagai adik iparnya itu. Langkah berhati-hati masih diambilnya demi keselamatan diri. Sekarang dia hanya menanti Iskandar muncul untuk memberi penjelasan pada persoalan yang timbul dipagi hari ini.

6 comments:

  1. Yey jd commenter petama..alahai br nk masuk watak is dah abis..wkend ni samb lg ye

    ReplyDelete
  2. wahhh...cpt2 smbng...
    rhsia dh nk t'bongkar dh ni.....

    ReplyDelete
  3. sambung cepat pls..tak sabar nak tau apa jawapan iskandar pasal zaira..;)

    ReplyDelete
  4. hope yuni boleh satukan is dan zaira..

    ReplyDelete
  5. oh hope yuni akan jadi tulang belakang zaira nti.

    ReplyDelete