Sunday, October 2, 2011

Bahagia Bukan Milikku 12

BAB 12

Iskandar melangkah ke ruang tamu selepas bangun dari tidur. Hampir pukul 10.00 pagi baru dia bangun selepas tidur semula usai Subuh tadi. Tanpa membasuh muka terlebih dahulu, Iskandar sudah duduk bersandar disofa.

Pagi itu Iskandar hanya duduk dirumah. Dia penat untuk keluar lagi. Biasanya dia hanya akan berada di rumah umi dan papanya hujung-hujung minggu begini. Sejak bernikah, dia tidak pernah lagi tidur di rumah kedua orang tuanya itu.

Dia menghidupkan suis televisyen. Tangannya mencapai remote control Astro diatas meja kopi. Ditekannya menu channel mencari rancangan sesuai untuk ditonton. Dia mahu berehat sepuas-puasnya hari ini. Sudah agak lama dia tidak duduk-duduk begini di kondonya.

Selebihnya, niatnya mahu memerhati segala gerak geri Zaira dirumah. Tidak pernah sekali pun dia lekat dirumah waktu hujung-hujung minggu begini. Dia ingin mengetahui apa yang dilakukan oleh Zaira dirumah miliknya itu.

Sedang dia leka, tiba-tiba terdengar suara seseorang menegurnya. Baru dia teringat yang dia bukan seorang didalam kondo itu.

"Encik, saya nak iron baju. Saya masuk bilik boleh?" Zaira meminta keizinan lelaki itu untuk masuk ke kamar tidurnya.

"Hurm." Iskandar hanya menggumam.

"Saya dah sediakan sarapan. Encik nak makan sekarang ke?" Soal Zaira.

"Biar dulu. Kau pergi buat kerja kau." Dingin suara Iskandar berbicara. Zaira mengangguk. Dia melangkah ke dalam semula untuk ke bilik Iskandar.

Zaira sedikit pelik kerana Iskandar ada dirumah hari ini. Selama dia berada dirumah ini, belum pernah sekali Iskandar akan bersenang-lenang dirumah pada hujung minggu. Mujur dia tidak menonong masuk ke bilik lelaki itu tadi. Kalau tidak pasti kena herdik punya.

Zaira mula mencapai baju-baju dan seluar yang bergantungan. Bila sudah penuh tangannya, dia membawanya ke biliknya untuk diseterika. Zaira tekun memulakan tugas menyeterikanya.

Sejam selepas itu, Zaira tersedar yang Iskandar masih belum bersarapan. Selepas menutup suis seterika, Zaira cepat-cepat melangkah ke ruang tamu. Dia melepas nafas lega melihat Iskandar masih tersandar disofa.

"Encik.." Zaira menegur. Iskandar yang agak terkejut berpaling.

"Encik tak nak makan ke? Saya sediakan ye?" Soal Zaira dengan rasa gusar.

"Hurm." Iskandar mengangguk.

Zaira melangkah ke meja makan. Bihun goreng yang disediakannya dicedok ke dalam pinggan. Jag air teh dsentuhnya. Sudah sejuk. Zaira melangkah ke dapur untuk menyediakan minuman lain buat Iskandar. Selesai membancuh teh dalam mug, Zaira membawanya ke meja makan.

"Encik nak makan dekat sini ke situ?" Zaira bertanya melihat Iskandar yang masih tidak berkutik dari sofa. Cerita apalah yang terlalu menarik sangat tu. Mata Zaira turut dihalakan pada TV buat seketika.

"Sini." Sepatah Iskandar membalas. Dia bangun ingin melangkah ke biliknya. Dia mahu membasuh muka dan memberus gigi. Zaira hanya memandang sehingga tubuh itu hilang dibalik dinding batu.

Iskandar melangkah semula ke ruang tamu. Zaira yang mengambil kesempatan menonton TV yang terpasang mula bersedia apabila mendengar derap langkah kaki suaminya itu.

"Jemput makan encik. Saya masuk dalam dulu." Zaira tidak tunggu lama. Dia terus berlalu ke bilik semula untuk menyudahkan kerja-kerja menyeterikanya.

Pukul 12.00 tengah hari Zaira melangkah ke dapur semula. Berniat untuk menyediakan makanan tengah hari mereka. Dilihat Iskandar masih mengadap peti TV yang menayangkan pelbagai drama. Zaira terus melangkah ke dapur apabila terperasan Iskandar memandangnya dari ekor mata.

Zaira terasa sedikit kekok didapur hari itu. Bukan apa, biasanya dia hanya seorang diri semasa memasak. Kali ini Iskandar berada dirumah. Sudahlah antara ruang dapur dan ruang tamu hanya dipisahkan dengan ruang kaunter. Terasa ekor mata Iskandar asyik merenung tajam dirinya yang sedang membuat kerja.

Zaira tidak senang duduk. Namun dia cuba bertenang dalam keadaan itu. Dia tidak mahu Iskandar mencari kesalahannya untuk dimarahi nanti.

Iskandar sekali-sekala menjeling ke ruang dapur. 'Cekap juga budak ni buat kerja.' Fikir Iskandar melihat Zaira yang tekun dengan kerjanya didapur. Tidak terdengar bunyi kelentang-kelentung langsung.

'Ah, yang aku fikir pasal dia kenapa? Baik aku pergi mandi.' Iskandar memarahi dirinya yang telah memuji gadis itu tadi. Kemudian dia menekan butang off pada remote control. Langkah kakinya dibawa untuk menuju ke kamar tidurnya. Dia mahu membersihkan diri yang mula terasa melekit.

Iskandar mengerjakan solat Zohornya sekali apabila kedengaran suara azan berkumandang selepas dia keluar dari bilik air tadi. Hampir setengah jam dia berendam didalam tab mandi tadi. Kelesuan yang menjalar ditubuhnya terasa berkurangan.

Selesai mengenakan sehelai t-shirt polos berkolar bulat dan seluar bermuda, dia melangkah semula untuk ke ruang tamu. Sudah siap memasakkah isterinya itu? Detik hatinya ingin tahu.

Kelibat Zaira tidak kelihatan dimeja makan atau dapur. Mungkin bersolat. Fikir Iskandar. Dia duduk disofa dan skrin TV yang gelap tadi mula memaparkan pelbagai warna. Remote control ditangan kanannya ditekan mencari channel menarik untuk ditonton.

"Boringnya." Terlepas rungutan itu dari bibir Iskandar. Dia melepaskan nafas yang terasa berat. Tangannya mencapai pula majalah yang terdapat dikabinet ditepinya. Laju tangannya menyelak.

Dia tetap merasa bosan. Majalah itu sudah berkurun dia baca. Terasa tiada benda yang hendak dibuat hari Ahad ni. Kosong sekali rasa jiwanya. Memikirkan itu, dia mula teringat rumah orang tuanya. Biasanya, hujung minggu begini dia akan menghabiskan masa dengan keluarganya itu.

Rindu sungguh dia dengan kenangan itu. Andainyalah keadaannya tidak seperti sekarang ini....

"Er, encik." Zaira cuba memanggil. Suaranya yang menyapa, menghalau lamunan panjang Iskandar pergi.

“Huh?” Balas Iskandar terkejut.

“Encik nak makan sekarang ke?” Zaira bertanya. Wajahnya tampak gusar. Iskandar diam berfikir.

Tadi baru sahaja dia makan pukul 11.00 pagi. Masih kenyang dirasakan perutnya. Takpelah petang-petang sikit baru makan. lagipun aku bukan nak ke mana.

“Tak payah lagi.” Iskandar membalas dingin. Matanya tetap dipakukan pada skrin TV. Zaira mengangguk dan akhirnya berlalu semula ke biliknya.

“Kau nak ke mana?” Iskandar menahan. Zaira berpaling semula. Wajahnya berubah kecut.

“Kau sapu, mop lantai ni semua.” Tangan Iskandar menunjuk ke sekeliling.

“Baik encik.” Zaira berpatah ke dapur untuk ke stor mencari batang mop dan peralatan lain. Sememangnya itulah kerjanya setiap hari Ahad dirumah Iskandar. Cuma Iskandar sahaja yang tidak tahu memandangkan lelaki itu tidak pernah lekat dirumah.

Tekun Zaira melakukan tugasannya. Dia menyapu dari dapur, ke ruang tamu. Bilik Iskandar dan biliknya juga disapu bersih. Malah, bilik tetamu yang tidak pernah dimasukinya turut dibersihkan setelah mendapat keizinan Iskandar.

Dalam hati Zaira, dia memuji dekorasi bilik tetamu itu. Tampak kemas dan cantik. Entah kenapa, gatal pula tangannya mahu membuka pintu almari gelongsor yang berwarna perak itu. Timbul tanda tanya dihatinya melihat beberapa pakaian wanita didalam almari tersebut.

“Baju siapa pulak ni?” Soal Zaira sambil tangannya masih memegang baju-baju pelbagai warna dan rekaan yang bergantungan. Sekali-sekala matanya melingas ke pintu, berjaga-jaga takut Iskandar datang menjenguk. Benaknya mula memikirkan kemungkinan baju-baju tersebut adalah milik kekasih hati Iskandar.

‘Biarkanlah. Rumah dia, hak dia.’ Bisik hati Zaira menyenangkan jiwanya sendiri. Selepas habis berkemas dan menyapu, dia mopkan lantai pula. Sehingga berkilat dikerjakannya setiap sudut lantai ruang kondominium tersebut.

Iskandar sedari tadi hanya merenung tajam tingkah Zaira yang ke sana ke sini sekeliling rumah. Persis lipas kudung yang ligat ke sana ke mari. Sambil itu, benaknya berfikir apa lagi yang mahu dikerahnya isterinya itu.

Dua jam kemudian, Zaira menyimpan kembali peralatan-peralatan yang digunakan tadi ke dalam stor. Sedikit basah bajunya bermandikan peluh. Nafasnya termengah-mengah. Zaira mencium sedikit bajunya.

“Euww, busuknya.” Zaira mengomel sendiri. Dia menepuk-nepuk lengan baju yang terlekat habuk sambil berjalan ke sinki untuk mencuci tangan. Selepas itu dia bergerak ke ruang tamu untuk mendapatkan Iskandar yang masih enak berbaring disofa menghadap televisyen.

“Encik, ada apa-apa lagi?” Soal Zaira bersama perasaan gementarnya.

“Aku nak makan. Pergi hidangkan.” Iskandar memandang sekilas wajah isterinya sebelum mengalihkan anak mata. Terasa lucu melihat wajah Zaira yang kelihatan serabai.

“Er, encik..” Suara Zaira tersekat-sekat membuatkan Iskandar merenung tajam wajahnya.

“Boleh saya mandi dulu tak? Badan saya busuk sangat ni.” Zaira siap membuat gaya muka menahan bau memegang bajunya. Iskandar menahan tawanya. Terasa lucu melihat reaksi spontan Zaira. Dia cuba menahan diri dari ketawa. Wajah Zaira yang kelat dipandangnya tepat.

“Cepat mandi. Tak selera pula aku nak makan nanti.” Keras Iskandar berkata. Zaira mengangguk. Tanpa menunggu lagi dia terus menuju ke biliknya.

Iskandar tersenyum sendiri. Gelak yang ditahan tadi dilepaskan perlahan. Entah apa yang lucu hanya dia seorang yang tahu. Kepalanya tergeleng kecil mengenangkan wajah terkulat-kulat Zaira. Gadis itu kelihatan begitu innocent. Dia masih tersenyum walaupun Zaira sudah lama bertapak di bilik air.

++++++++++++++++++++++++++

"Kejap lagi kau siap." Iskandar berkata tanpa langsung memandang wajah Zaira. Suapan Zaira terhenti. Dia terpinga-pinga mendengar arahan lelaki itu.

"Er, nak pergi mana encik?" Zaira menelan liur. Ini kali kedua mereka duduk semeja untuk makan.

"Kau jangan banyak tanya boleh tak?" Iskandar menaikkan suaranya. Matanya yang merenung tajam membuatkan Zaira tertunduk.

"Baik encik." Pantas Zaira mengangguk. Suapannya sudah tidak selancar tadi. Dilihat Iskandar masih berselera dengan makanan dihadapannya.

Iskandar tersenyum didalam hati. Puas melihat Zaira yang langsung tidak berani membantah kata-katanya. Terbalas rasa marahnya buat gadis itu. Dia meneruskan suapannya. Sekali sekala matanya menjeling wajah terkulat-kulat Zaira. Bibirnya tersungging senyuman mengejek.

Sepuluh minit kemudian, Iskandar sudah menyudahkan suapan terakhirnya. Jarinya menguis sisa nasi yang masih terlekat pada jari. Matanya memandang Zaira memberi isyarat. Zaira yang mengerti segera menghulurkan bekas air basuh tangan kepada suaminya itu.

"Cepat sikit makan tu. Aku takde masa nak tunggu kau." Iskandar mengangkat punggung. Terdengar kuat bunyi kaki kerusi yang bergesel dengan lantai. Kalut-kalut Zaira laju menyuap nasi ke dalam mulut.

Zaira melepaskan nafas yang tertahan. Kenapalah lelaki itu tidak pernah sekalipun mahu bersuara lembut dengannya. Dia dah sudi ajak aku makan dengan dia sekali dah cukup baik Zaira. Hati Zaira berbisik. Dia sudah berpuas hati dengan perubahan kecil layanan suaminya itu terhadapnya. Segera rasa tidak puas hati yang bersuara tadi ditolak ke tepi. Sudah diberi betis mahu paha pula.

Cepat-cepat Zaira mengangkat pinggan-pinggan kotor ke sinki. Makanan-makanan dimasukkan semula Selesai mengelap dan mengemas meja, dia menuju ke sinki untuk membersihkan pinggan mangkuk yang berlonggok. Lima belas minit dia mengambil masa disinki.

Selepas itu dia menapak ke biliknya untuk menukar baju. Dia tidak mahu Iskandar tertunggu-tunggu dia nanti. Mujur dia masih dalam tempoh bercuti. Selesai mengenakan sehelai t-shirt lengan panjang dan seluar jeans, dia menapak ke ruang tamu. Mujur Iskandar masih dibiliknya.

Dikesempatan itu, Zaira ke dapur bagi memastikan tiada sebarang kecacatan yang ditinggalkannya. Segala suis sudah dipastikannya bertutup. Makanan-makanan tadi juga sudah disimpan elok didalam peti ais.

Ah, tiba-tiba da teringat pakaian-pakaian yang bersidaian dibelakang. Zaira melangkah laju ke balkoni tepi bilik air. Saat dia berselisih dengan Iskandar yang baru keluar dari biliknya, sempat dia memberitahu. "Saya angkat kain kejap encik."

"Cepat sikit." Iskandar menegangkan muka sambil terus menapak ke ruang tamu.

Selesai Zaira dengan kerjanya, dia segera mendapatkan Iskandar. Tubuhnya sudah berdiri tegak ditepi meja makan sambil memandang wajah keruh Iskandar yang duduk disofa.

Iskandar bangun menuju ke pintu. Sandalnya didalam almari kasut dikeluarkan. Zaira dibelakang turut mencari sandalnya didalam almari itu. Iskandar sekadar memerhati dari luar pintu grille.

Setelah Zaira keluar, Iskandar mengunci grille dan memasang mangga. Zaira diam menanti. Kemudian Zaira mengekor dibelakang tubuh Iskandar yang sudah berjalan ke lif. Mereka hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan menuju ke kereta.

Didalam kereta pun kedua-duanya senyap sahaja. Benak Zaira masih tertanya-tanya ke mana Iskandar mahu membawanya. Langsung tidak dinyatakan tujuannya. Pakaian santai yang dikenakan oleh Iskandar langsung tidak memberi klu kepada Zaira untuk menebak ke mana mereka akan pergi. Dia hanya mengikut tanpa suara.

'Oh pergi Tesco rupanya.' Desis hati Zaira semasa CR-V yang dipandu Iskandar memasuki kawasan parkir di Tesco Mutiara Damansara.

Dari tadi Iskandar hanya diam. Keluar dari kereta pun lelaki itu langsung tidak bersuara. Alihnya, Zaira hanya menurut langkah Iskandar dihadapannya itu.

Langkah kaki Iskandar terus dibawa ke bahagian barangan dapur. Dia sudah mengarahkan Zaira menolak sebuah troli tadi. Iskandar berhenti dibahagian barang keperluan asas.

Dua paket gula, dua paket garam dan pek beras Jati seberat 10kg sudah diangkatnya masuk ke dalam troli. Botol sos cili, sos tomato, kicap dan sos tiram pula diambil. Zaira hanya menjadi pak turut. Mengekor ke mana sahaja Iskandar pergi. Diarahkan berhenti, dia berhenti. Disuruh ambil, dia ambil. Begitulah keadaan mereka sepanjang diruangan besar Tesco itu.

"Dah tolak pergi kaunter." Arah Iskandar. Troli sudah penuh dengan pelbagai barangan. Cukup stok untuk sebulan mungkin.

Zaira cuba menolak troli. Sedikit sahaja tayar troli bergerak. Terlalu berat untuk digerakkan. Memang berat pun. Zaira mencuba sekali lagi. Kali ini dia berjaya. Tapi gerakannya perlahan sahaja. Ikut pada kudratnya, memanglah dia tidak mampu menolak troli yang hampir dua kali ganda beratnya itu.

"Sinilah." Iskandar yang memerhati dari tadi menolak Zaira ke tepi. Dia pula yang mengambil alih menolak troli ke kaunter.

"Kau tak cukup makan ke? Nak tolak troli ni pun tak larat?" Tanya Iskandar dengan sinis. Matanya sengaja dilarikan dari atas ke bawah pada batang tubuh Zaira disisinya.

"Er, berat encik." Zaira tetap menjawab. Memang itu yang dia rasa.

"Aku cakap tu menjawab." Iskandar memberi amaran. Zaira tunduk menikus. Akhirnya mereka senyap semula sambil berjalan ke kaunter.

Iskandar sekali lagi menolak troli tadi setelah selesai membuat bayaran. Ketika melintasi bahagian pakaian, gerakan Iskandar terhenti. Tubuh Zaira ditepinya dikerling atas bawah.
“Kau pergi tengok baju-baju tu. Ambil mana kau nak.” Arah Iskandar.

“Er, encik..” Zaira tidak tahu mahu berkata apa. Bibirnya kelu. Wajah Iskandar dipandangnya hairan.

“Kau dengarkan apa yang aku cakap?” Getar nada yang kedengaran keras itu akhirnya membuatkan Zaira cepat-cepat merapati baju-baju perempuan yang bergantungan.

Takut-takut sahaja tindakan Zaira. Matanya sekejap-sekeiap memandang wajah Iskandar. Dilihat lelaki itu hanya memandangnya dengan wajah selamba.

“Cepatlah.” Gesa Iskandar lagi.

Tangan dan kaki Zaira bergerak pantas bila digesa begitu. Dia mencapai sehelai t-shirt lengan panjang  berwarna coklat bercorak abstrak. Setelah puas hati dengan saiz yang hanya dipadankan ditubuh tanpa mencubanya, Zaira mendekati Iskandar semula.

“Itu je? Baju tidur kau tak nak?” Soal Iskandar. Zaira mengangguk takut-takut. Dia ke rak pakaian semula.

Dua pasang baju tidur lengan panjang sudah berada didalam tangan. Apabila dia menoleh pada Iskandar, lelaki itu mengisyaratkan matanya pada bahagian seluar pula. Zaira menurut. Dicapai sehelai seluar slack berwarna putih. Seperti tadi, dia hanya mengacu pada tubuhnya sahaja. Kemudian dia mendapatkan Iskandar semula.

“Kenapa kau tak cuba dulu?” Zaira menelan liur. Kenapalah lelaki itu terlalu garang dengannya.

“Cepat try. Nanti tak muat membazir pulak. Duit kau ke?” Perli Iskandar.

“Baik encik.” Cepat Zaira berlalu mencari fitting room. Siapalah dia hendak membantah kata-kata Iskandar. Cukup baik Iskandar mahu menyaranya.

Setelah selesai mereka berjalan ke kaunter bayaran. Mata Zaira sedikit terbuntang melihat jumlah yang tertera pada mesin wang. RM 156.90? Tidak pernah dia berbelanja sebanyak itu. Desisnya didalam hati.

Iskandar hanya menjeling apabila menyedari riak wajah Zaira begitu. ‘Itu kau baru tengok sedikit. Cuba kau tengok harga baju kau yang sebelum ni, mahu jatuh rahang kau tu.’ Hatinya mendongkol geram.

Selepas itu, mereka mula melangkah keluar ke tempat parkir. Iskandar tidak mahu berlama-lama disitu. Bimbang juga kalau terserempak dengan orang yang dikenalinya.

Usai memasukkan barang-barang ke dalam kereta, Iskandar memecut laju CR-Vnya membelah jalan raya. Dan antara mereka tidak pernah ada sebarang perubahan. Hanya suara-suara dari corong radio yang ke udara. Mereka hanyut dalam sepi yang menemani.

1 comment: