~Salam & evening. Remember me? For those who still remember me n wait for my typing, so sorry bcoz buat u guys ternanti2.. maaf sebab tak ada tulisan terbaru dari saya.. buat seketika ni, enjoy dulu apa yg ada..disini saya selitkan karya yg tak seberapa ni. maybe ramai yg dah baca sebab pernah keluar di p2u..apa2 pun enjoy..syukur masih bernafas di bumi ALLAH ni... Peace no war..~
~L.O.V.E & F.A.I.T.H~
ad_deen
Sudah hampir tiga tahun Masnita Afeeda Binti Abdul Zaman bekerja di Sinar Holding (M) Sdn Bhd. Sebuah syarikat ukur di bandaraya Kuala Lumpur. Dua tahun pertama dia berkhidmat disitu hanyalah sebagai Draftwoman dan tahun berikutnya dia telah dinaikkan pangkat sebagai salah seorang Juruukur atau Surveyor disitu sehingga sekarang.
Masnita Afeeda mengeluh untuk kesekian kalinya. Dalam tempoh tujuh bulan dari sekarang, umurnya akan mencecah 27 tahun. Dalam usia begini dia masih ‘single and available’. Dia benci dengn status dirinya itu. Kawan-kawannya sudah ramai yang berkahwin dan dia sendiri cemburu melihat kebahagiaan mereka. Masnita Afeeda termenung lagi dikerusinya. Sudah hampir dua tahun dia memendam rasa mencintai lelaki yang bernama Annzarul Rasyidi Bin Razali, iaitu bosnya sendiri. Menungannya semakin panjang tanpa sedar.
“Hoi!” Jerkah satu suara memeranjatkan Masnita Afeeda yang sedang asyik mengelamun. Dia terkejut bukan kepalang. Mahu tercabut jantungnya tadi. Tiba-tiba terdengar kekekan ketawa dimuka pintu. Masnita Afeeda mengurut dadanya sambil menghadiahkan jelingan maut kepada pemilik tubuh bernama Khairul Azlan itu. Azlan masih tidak berhenti ketawa ketika merapati meja Masnita Afeeda.
“Kau ni nak bunuh aku ke?” Keras pertanyaan Masnita Afeeda kepada teman sepejabatnya itu.
“Dah tiga kali aku bagi salam, kau tak juga menyahut. Aku redah jelah. Tapi lawak gila muka terkejut beruk kau tu.” Azlan gelak lebih kuat dari tadi. Masnita Afeeda sudah mencebik geram.
Nasib baik kau kawan aku. Hantu betul kau Lan. Aku ni dahlah kus semangat. Ishh, geram betul. Kalau aku ni lelaki dah lama aku tumbuk-tumbuk muka kau tu. Cool Masnita, jangan keterlaluan. Kau tu perempuan ingat sikit. Jatuh saham kau kalau Encik Annzarul nampak kau berkasar macam lelaki karang. Masnita Afeeda menarik nafasnya dalam-dalam lalu dihembus perlahan cuba menenangkan dirinya.
“Tak habis lagi ke tak puas hati tu?” Azlan bersuara tenang dikerusi hadapan meja Masnita Afeeda. Tiada lagi gelakan dari lelaki itu. Namun bibirnya masih tersenyum-senyum.
“Apahal cari aku ni? Ada hutang?” Masnita Afeeda bertanya kasar. Masih marah dengan lelaki itu.
“Cuba senyum sikit.” Usik Azlan lagi. Masnita Afeeda menjeling tajam.
“Pasal projek dengan Bayu Laut macam mana? Kau dah melawat site? Apa progress?” Azlan bersuara serius kini.
“Dah, aku dah siapkan report. Nah, kau cuba semak dulu dan amends apa yang patut.” Masnita Afeeda menolak buku laporan diatas meja kehadapan Azlan. Lelaki itu mengambilnya lalu menyelak beberapa halaman.
“Anything else? Kalau takde apa-apa kau boleh buat kerja dekat tempat kau.” Masnita Afeeda bersuara apabila Azlan masih melekat dikerusi.
“Hurm marah lagi. Sorrylah pasal tadi. Takde niat pun nak buat kau terkejut macam tu.” Azlan cuba memujuk.
“Dah, dah. Jangan nak ayat aku. Nak pujuk belanja makan tengah hari ni.” Masnita Afeeda masih dengan egonya.
“Okay, boleh.” Pantas Azlan menjawab.
“Dan frasa kau yang seterusnya tu…” Masnita Afeeda sudah tersenyum sumbing. Masak dengan tingkah lelaki dihadapannya itu jika membuat sebarang kebaikan, pasti ada balasan untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Hehe tahu je kau kan. Bila report ni dah settle kau present dekat Mr. Tongue Killer tu ye. Aku malas nak bincang dengan dia. Kau tahulah kan...”Azlan sudah tersengih seperti kerang busuk
.
Masnita Afeeda hanya menggeleng. Sudah menjangkakan permintaan Azlan. Tidak tahu kenapa Azlan dengan Encik Annzarul tidak pernah sebulu dan sependapat. Ada sahaja yang mereka akan perdebatkan. Padahal Encik Annzarul tu bukan jenis pedulikan orang. Dia dengan halnya sendiri. Sudah banyak juga dia dengar komen daripada pekerja-pekerja disitu tentang bos mereka itu, terutamanya daripada pekerja perempuan. Encik Annzarul berhati batulah. Encik Annzarul takde perasaanlah. Encik Anzzarul itulah, inilah dan macam-macam lagi. Tapi pada dia, Encik Annzarul tu sangat cool. Dia suka melihat wajah kacak bosnya itu. Tapi, dia akui memang Encik Annzarul sangat dingin.
Kata-kata Encik Annzarul kepada sesiapa tidak pernah dengan nada marah. Cuma kata-katanya itu dirasakan tersangat kejam terutamanya bagi pekerja perempuan. Masnita Afeeda ingat lagi hari kedua Encik Annzarul di Sinar Holding. Kak Saerah telah diminta oleh Encik Annzarul untuk menyediakan kopi untuknya. Sememangnya itulah kerja Kak Saerah di Sinar Holding. Encik Annzarul melangkah keluar dari pejabatnya, dan merenung wajah pekerja-pekerjanya satu persatu.
“Siapa buat air kopi ni?” Tanya Encik Annzarul dengan wajah tenang.
“Err, saya encik.” Kak Saerah menyahut dari tepi pantri dengan suara tersekat-sekat.
“Tak sedap.” Kata Encik Annzarul pendek. Semua pekerja tercengang mendengar. Kak Saerah hanya menunduk. Selama dia bekerja disitu tidak pernah sesiapa pun yang komplen dengan air buatannya. Ini kali pertama. Dia malu.
“Siapa lagi pandai buat air?” Tanya Encik Annzarul ke arah pekerja-pekerjanya. Masing-masing memandang sesama sendiri.
“Erm, mulai hari ni saya nak setiap orang bergilir sediakan air untuk saya sampai saya jumpa yang betul-betul sedap. Dan selepas itu orang itu akan terus buat air untuk saya.” Arahan Encik Annzarul seperti mencekik semua pekerja.
Maka bermulalah pekerja-pekerja Sinar Holding menyediakan minuman kopi kesukaan Encik Annzarul setiap hari. Dan setiap hari wajah-wajah pekerja yang keluar dari bilik lelaki itu selepas menghantar kopi bertukar kecewa dan sedih. Pada hari ke sembilan, sampai giliran Masnita Afeeda pula. Dengan wajah takut-takut dia menghantar air ke bilik CEO Sinar Holding. Cepat-cepat dia berlalu kerana tidak mahu mendengar jawapan dingin Encik Annzarul selepas menikmati minumannya itu.
Sepuluh minit kemudian Encik Annzarul keluar dari biliknya dan tersenyum ceria memandang warga Sinar Holding. Semua pekerja terkejut dengan perubahan mendadak Encik Annzarul. Itulah kali pertama mereka lihat bos mereka tersenyum lawa kepada mereka.
“Nita, tahniah awak lulus. Mulai hari ini awak akan sediakan air kopi untuk saya setiap hari.” Encik Annzarul tersenyum ceria memberitahu Masnita Afeeda.
Dan Masnita Afeeda terasa kembang hatinya. Untuk pertama kalinya dia terasa hatinya berbunga-bunga melihat wajah Encik Annzarul. Tanpa sedar dia telah jatuh cinta penangan dari senyuman menawan bosnya itu. Dan sepanjang hari itu, warga Sinar Holding sangat gembira kerana Encik Annzarul sentiasa tersenyum. Mereka berterima kasih kepada Masnita Afeeda kerana telah berjaya membuatkan bos mereka itu gembira.
Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Begitulah perumpamaan yang boleh disamakan dengan situasi yang melanda semua warga Sinar Holding. Kegembiraan yang mereka kecapi tidak kekal lama kerana keesokannya Encik Annzarul kembali kepada sifat lamanya. Mengeluarkan ayat-ayat yang mencekik para pekerja. Sehingga hari ini Encik Annzarul tidak pernah tersenyum begitu lagi. Sekarang bos kesayangan mereka itu telah diberi gelaran baru di kalangan pekerja iaitu ‘Mr. Tongue Killer’.
"Satu lagi Nita aku nak minta tolong..." Masnita Afeeda hanya menjungkitkan sebelah keningnya memandang Azlan yang masih tidak berganjak dari ruang pejabatnya.
'Ada lagi mamat ni.' Sempat hatinya mengomel.
"Nanti kau tolong temankan Saufia jumpa aku ya malam ni. Aku ambil korang pukul 8.00 malam." Azlan senyum sampai ke telinga cuba meraih simpati Masnita Afeeda.
"Please...Kau faham-faham jelah dengan anak Imam Musa tu." Azlan merayu lagi.
"Yelah...Dah keluar." Masnita Afeeda mengalah akhirnya. Malas betul aku. Asal nak berdating je aku yang jadi mangsa. Kahwin terus je senang. Pelik aku dengan diorang ni.
Masnita Afeeda sudah tahu sangat perihal pasangan kekasih itu. Saufia yang merupakan kawan serumahnya sudah hampir lima tahun bercinta dengan Azlan sejak dari zaman universiti lagi. Gadis itu sangat menjaga pergaulannya dengan Azlan takut menimbulkan fitnah. Apa-apa pun dia hormat dengan keperibadian Saufia. Cuma yang dia pelik kenapa lelaki yang macam Azlan tu boleh mendapat gadis sebaik Saufia. Semua kuasa ALLAH yang memberi rasa cinta kepada hamba-Nya. Astarghfirullahal-azim! Masnita Afeeda menyedarkan fikirannya yang mula tersasar jauh.
“Okeylah Nita, see you this afternoon…” Melayang pergi lamunan Masnita Afeeda. Azlan sudah berlalu ke pintu sambil melambai dengan buku laporan ditangannya. Masnita Afeeda hanya memerhati sehingga pintu biliknya tertutup kembali. Kemudian dia meneruskan kerja-kerjanya yang terbengkalai tadi.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Suatu hari Tuan Ramli dan Puan Wahidah berkunjung ke Sinar Holding menemui Encik Annzarul. Sedang Masnita Afeeda leka menyiapkan kerjanya, pintu bilik diketuk dari luar. Tersembul wajah Maiza, setiausaha Encik Annzarul merangkap sahabat baiknya memberitahunya bahawa bos mereka memanggilnya. Tanpa berlengah terus sahaja Masnita Afeeda melangkah ke bilik Encik Annzarul dengan senyuman. Teruja ingin memandang wajah lelaki itu.
Ketika dia memboloskan diri ke ruang bilik lelaki itu, kelihatan wajah Tuan Ramli dan Puan Wahidah tersenyum ke arahnya. Dia membalas senyuman keduanya dan masing-masing bertukar khabar. Sudah lama rasanya dia tidak melihat wajah kedua pasangan suami isteri itu datang ke Sinar Holding.
“Nita, tolong buat air.” Tiba-tiba suara Encik Annzarul mencelah diantara mereka. Masnita Afeeda sedikit pun tidak membantah dan terus meminta diri. Tuan Ramli dan Puan Wahidah sudah memandang sesama sendiri dengan situasi itu.
“Jemput minum Tuan, Puan.” Masnita tersenyum menghidangkan air kepada suami isteri itu. Tuan Ramli merupakan pemilik Sinar Holding dan tanggungjawab menguruskan syarikat itu diserahkan kepada Encik Annzarul, iaitu anak saudara mereka kerana mereka tidak mempunyai cahaya mata. Encik Annzarul satu-satunya waris yang mereka ada begitu juga sebaliknya. Kedua ibu bapa Encik Annzarul sudah meninggal dunia 20 tahun yang ketika Encik Annzarul berusia 10 tahun. Sehingga hari ini Tuan Ramli dan Puan Wahidahlah yang menjaga kebajikan anak saudara mereka itu.
“Kenapa Ann suruh Nita buat air?” Saerah buat apa?” Tuan Ramli bertanya kepada anak saudaranya. Setahu dia Saerah masih kekal sebagai tea lady di Sinar Holding. Atau anak saudaranya itu telah memberhentikan Saerah dan menyerahkan tugas tea lady kepada Nita? Fikir Tuan Ramli dalam diam.
“Kak Saerah buat air tak sedap.” Jawab Encik Annzarul tanpa nada dan tanpa riak diwajahnya. Cawan dihadapannya dicapai dan dia menghirup menikmati kopi yang enak itu. Tuan Ramli dan Puan Wahidah terusan terlopong mendengar jawapan dari mulut lelaki itu.
“Pak Su jangan risau. Kak Saerah masih kerja disini. Nita pun masih salah seorang surveyor kita. Cuma dia ada tugas tambahan. Buat air untuk orang.” Jawapan dari mulut Encik Annzarul seterusnya mencetuskan gelak ketawa dari bibir Tuan Ramli dan isterinya. Masnita Afeeda yang masih terpacak ditepi meja tertunduk menyimpul senyum.
“Ann, Ann…Pak Su tak sangka Ann cerewet macam ni.” Encik Annzarul masih berwajah seperti tadi. Tiada perasaankah dia? Omel Masnita Afeeda.
“You may go now Nita.” Encik Annzarul sudah mengarahkan Masnita Afeeda beredar. Mungkin malu agaknya. Sempat dihadiahkan senyuman kepada Tuan Ramli dan Puan Wahidah sebelum berlalu pergi. Dia berlalu ke pantri menghantar dulang sebelum meneruskan kerja semula dibiliknya.
Didalam bilik Encik Annzarul, lelaki itu hanya mendiamkan diri apabila ditanya oleh Pak Su dan Mak Sunya tentang apa yang telah berlaku. Dia tidak mahu menceritakan kepada mereka. Akhirnya Tuan Ramli mengalah dan tidak bertanya lagi. Namun didalam benaknya sudah tersenyum merencanakan sesuatu. Dia akan siasat segalanya nanti. Dan mungkin anak saudaranya itu ada apa-apa hubungan dengan Nita sampai gadis itu berjaya memuaskan hati anak saudaranya yang jarang bersuara itu. Tuan Ramli tersenyum lagi.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Kerana inginkan jawapan, Tuan Ramli menyiasat dalam diam perkara yang berlaku di dalam Sinar Holding yang diluar pengetahuannya. Melalui Maiza, dia merisik segala hal yang telah berlaku.
Tuan Ramli dan Puan Wahidah bergelak sakan diruang tamu rumah mereka. Tak sangka Tuan Ramli dengan cerita yang dikoreknya dari mulut Maiza seminggu sebelum itu.
“Tak sangka betullah anak saudara kita tu ya bang.” Puan Wahidah bersuara selepas penat ketawa.
“Abang pun sama. Setahu abang Ann tu tak pernah nak buka mulut nak komen apa-apa. Ini dekat pejabat hal sekecil tu pun dia boleh bertindak macam tu.” Tuan Ramli masih dengan sisa ketawanya.
“Ann tak pernah macam tu pun dekat rumah. Banyak yang kita tak tahu pasal anak saudara kita tu kan bang.” Suara Puan Wahidah sudah bertukar sayu.
“Ann memang macam tu Idah. Susah nak bergaul. Kesian juga abang dengan dia. Agaknya dia masih teringat dengan arwah Kak Long dan Abang Long.” Suara Tuan Ramli turut bergetar. Bimbang perihal anak saudara yang satu itu tidak pernah berubah sejak kecil.
Encik Annzarul menjadi murung selepas kematian kedua ibu bapanya. Selepas beberapa bulan, dia menjadi pendiam dan banyak menghabiskan masanya didalam biliknya. Sampai dah besar pun Encik Annzarul masih begitu. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Tuan Ramli dan isterinya untuk memulihkan kembali semangatnya.
Sampai anak saudaranya itu pernah dihantar ke London untuk berubat dengan pakar disana. Menurut Doktor Hayley yang merawat Encik Annzarul, lelaki itu mengalami kemurungan akibat trauma kehilangan kedua orang tuanya. Doktor Hayley telah mengesyorkan pendekatan psikologi untuk merawat kemurungan yang dialami Encik Annzarul. Lelaki itu perlu selalu diberi perhatian dan kasih sayang.
Memang kasih dan sayangnya suami isteri hanya tertumpah untuk lelaki itu seorang, namun anak buahnya itu tetap dirasakan jauh dengan mereka. Tuan Ramli hanya mampu berdoa semoga anak buah kesayangannya itu akan berbahagia dan akan melupakan peristiwa pahit itu untuk selamanya suatu hari nanti.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Setelah merisik latar belakang Masnita Afeeda, akhirnya kata sepakat telah diambil. Hujung bulan itu setelah genap sebulan peristiwa di pejabat Encik Annzarul, Tuan Ramli dan Puan Wahidah menghantar rombongan meminang ke rumah orang tua Masnita Afeeda di Johor Bahru.
Masnita Afeeda yang sememangnya menyukai dan mencintai bosnya itu, terus sahaja menerima pinangan bakal ibu dan bapa saudaranya itu. Kedua belah pihak bersetuju untuk menikahkan teruna dan dara itu secepat mungkin, al-maklumlah umur si dara tu tak lama lagi akan mencecah 27 tahun.
Sebulan selepas pinangan itu, Masnita Afeeda dan Annzarul Rasyidi selamat dinikahkan di rumah orang tua pengantin perempuan. Sepanjang tempoh pertunangan mereka, Encik Annzarul masih melayan tunangnya itu seperti dipejabat. Mereka tidak pernah berbual mesra atau keluar berdating seperti pasangan yang lain. Malah semua pekerja juga tidak tahu yang mereka sudah bertunang. Seminggu lagi majlis baru warga Sinar Holding mendapat kad jemputan.
Terkejut beruk mereka semua mendapat perkhabaran itu. Tak ada hujan tak ada ribut tiba-tiba bos mereka akan menamatkan zaman bujangnya dengan Masnita Afeeda. Yang bertambah-tambah terkejut pastilah Azlan. Lelaki itu masih tidak percaya walaupun dia sendiri yang bertandang ke majlis dikedua-dua belah pihak. Masnita Afeeda langsung tidak mengulas lanjut apabila ditanya oleh lelaki itu tentang perkahwinannya dengan bos mereka itu.
Malam itu, setelah selesai kenduri di rumah Tuan Ramli dan Puan Wahidah, Encik Annzarul dihalau oleh Mak Su nya supaya segera naik ke bilik. Masnita Afeeda sudah lama berdiam diri didalam bilik menanti kedatangan suaminya. Hampir sepanjang minggu itu mereka keletihan. Selang tiga hari di Johor Bahru, kenduri di belah pihak lelaki pula. Malam itu, segalanya sudah selesai. Masnita Afeeda menarik nafas lega.
“Assalamualaikum.” Encik Annzarul memberi salam setelah mengetuk pintu biliknya tadi.
“Waalaikumussalam.” Masnita Afeeda menjawab kecil. Tubuhnya masih melekat diatas kerusi meja solek dengan sudah lengkap memakai baju tidur. Annzarul cepat-cepat melangkah ke penyidai untuk mengambil tuala. Lalu, tubuhnya laju dibawa ke bilik air. Masnita sedikit geli hati dengan perlakuan suaminya itu.
“Eh, abang pulak yang takut lebih-lebih. Terbalik pulak kita ni. Hehe..” Masnita Afeeda bercakap perlahan. Bibirnya tersenyum simpul. 20 minit kemudian Encik Annzarul telah keluar dari bilik air. Masnita Afeeda yang sedia menanti menyerahkan kain pelikat ke tangan suaminya.
“Er, thanks.” Encik Annzarul memandang sekilas wajah isteri yang baru dinikahinya itu.
“Welcome. Lamanya abang mandi. Tak takut kena paru-paru berair ke?” Masnita Afeeda cuba menghilangkan rasa gugup antara mereka. Bibirnya tersenyum nipis memandang wajah suaminya.
Encik Annzarul hanya mendiamkan diri. Selepas menyangkut tuala dia berlalu ke katil dan berbaring disitu. Masnita Afeeda memandang gelagat suaminya itu dengan membulat mata.
‘Biar betul Encik Annzarul.. Err laki aku ni? Dia buat tak tahu je dekat aku? Habis first night kita macam mana? Abang tidur sorang-sorang tinggal ayang macam ni je? Eee..tak suka tau.’ Masnita Afeeda mengomel sendirian. Lalu dia melangkah ke katil dan berbaring disebelah lelaki itu.
Wajah lelaki yang terpejam disebelahnya itu dipandangnya lama. Setiap inci wajah menjadi tatapannya. Anak rambut yang basah berjuntai didahi. Alis matanya yang tebal, tambah-tambah bulu mata juga melentik lawa. Bibir nipis suaminya itu ditatap lama. Terasa ingin dicium segenap wajah itu. Ishh abang ni, buat ayang geram tau. Takpe ayang bagi chance kat abang malam ni je. Abang tidur puas-puas. Masnita Afeeda tersenyum dengan fikiran nakalnya.
Masnita Afeeda merapatkan tubuhnya pada tubuh Encik Annzarul. Dengan berhati-hati dia merebahkan kepalanya diatas dada suaminya itu. Encik Annzarul tersedar dan terus membuka mata.
“Eh, apa ni?” Soal Encik Annzarul terkejut.
“Erm..Nita mengantuk ni.” Masnita Afeeda tetap mengeraskan dirinya. Tubuh lelaki itu dipeluk kuat tidak membenarkan tangan lelaki itu menjarakkan tubuh mereka.
“Nita…” Panggil Encik Annzarul lagi tidak selesa.
“Syhh, just sleep dear. Nita mengantuk.” Masnita Afeeda tetap memejamkan matanya. Wajahnya disembam ke dada suaminya yang hanya berbalut dengan t-shirt berkolar bulat. Encik Annzarul membiarkan juga akhirnya. Dalam hatinya turut senang dengan suhu panas tubuh isterinya itu. Mereka tertidur dengan Masnita Afeeda mendakap tubuhnya erat.
Malam itu mereka tertidur tanpa mengharungi malam pertama seperti kebanyakan pasangan suami isteri yang lain. Walaupun sedikit terkilan, namun hati Masnita Afeeda sedikit terpalit rasa syukur kerana dia sendiri masih takut-takut untuk menyerahkan jiwa raganya kepada Encik Annzarul.
Selang seminggu selepas bercuti di rumah Tuan Ramli dan Puan Wahidah, pagi itu Tuan Ramli telah mengusulkan sesuatu untuk Masnita Afeeda dan Annzarul.
"Kenapa Pak Su?" Encik Annzarul sedikit pelik mendengar permintaan bapa saudaranya itu yang meminta dia membawa isterinya berpindah ke rumah banglo dua tingkat yang dihadiahkan oleh bapa saudaranya itu.
"Pak Su tahu Ann dengan Nita mesti nak privasikan. Kesian Nita tak dapat nak bebas bila ada dengan kami." Tuan Ramli lembut berbicara. Masnita Afeeda sedari tadi hanya setia menjadi pendengar. Tidak berani menyampuk perbualan keluarga suaminya itu.
"Ann tak kisah pun." Encik Annzarul masih tenang menyuap bihun goreng masakan Mak Uyum, pembantu rumah yang telah berkhidmat di rumah itu sejak 25 tahun dahulu.
"Nita mesti tak selesa. Lagi pun Ann dengan Nita mesti nak berdikari uruskan rumah tangga. Jadi kalau Ann dengan Nita pindah lebih baik." Tuan Ramli menambahkan lagi rencah dalam bicaranya.
"Pak Su, Mak Su Nita tak kisah pun tinggal dekat sini. Pak Su dan Mak Su pun keluarga Nita juga." Masnita Afeeda mula bersuara kerana serasakan perlu. Dia tahu kedua orang tua itu mesti berat untuk melepaskan Encik Annzarul memandangkan mereka tidak mempunyai anak sendiri.
"Pak Su faham Nita. Tapi Pak Su dan Mak Su dah berbincang. Kami rasa ini yang terbaik buat korang berdua. Jangan risau, rumah ni sentiasa menerima kehadiran Ann dan Nita serta anak-anak." Tuan Ramli cuba menghilangkan perasaan serba salah di hati anak menantunya itu.
"Angggaplah ni hadiah perkahwinan dari Pak Su dan Mak Su." Puan Wahidah pula bersuara.
Akhirnya Encik Annzarul dan Masnita Afeeda hanya mampu mengangguk tanda setuju. Keputusan sudah dibuat. Mungkin benar juga kata-kata Tuan Ramli itu. Kalau dirumah sendiri lebih privasi untuk mereka suami isteri. Masnita Afeeda tersenyum memikirkan fikiran nakalnya itu. Gatal!
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Sebulan sudah mereka menjalani hidup berumah tangga di rumah banglo hadiah Tuan Ramli dan Puan Wahidah itu. Namun perhubungan mereka masih seperti majikan dan pekerja.
Layanan Masnita Afeeda sahaja yang mesra terhadap suaminya. Balasan suaminya masih sama seperti sewaktu di pejabat. Masnita Afeeda mula rasa runsing kerana sepertinya dia seorang yang mengharap dan menagih kasih suaminya itu.
‘Abang ni kenapa? Langsung buat tak tahu dekat aku? Aku pakai seksi-seksi pun takkan tak bernafsu? Ke dia ni sakit tak? Isyhh kenapa abang buat ayang gini?’ Masnita Afeeda leka memandang tubuh Encik Annzarul yang khusyuk menonton tv.
‘Tengok tu aku pakai wangi-wangi ni pun langsung dia tak toleh. Apa takde nafsu ke apa dia ni?’ Mulutnya tidak habis mengomel sendirian. Tangannya masih ligat menyediakan sarapan buat suami tercinta.
Yang berubah pada diri Encik Annzarul hanya bahasanya yang membahasakan dirinya 'orang' dengan Masnita Afeeda. Mungkin kerana merasakan Masnita Afeeda sebahagian daripada ahli kelarganya membuatkan Encik Annzarul menggelar dirinya begitu seperti dia berbicara dengan Tuan Ramli dan Puan Wahidah.
“Abang, jom makan.” Masnita Afeeda menatang dulang yang disediakan tadi ke tempat duduk suaminya. Encik Annzarul dengan riak biasanya memandang sekilas isteri yang sudah duduk disebelahnya.
Encik Annzarul diam menyambut huluran gelas kopi oleh isterinya. Wajahnya kelihatan teruja melihat cawan yang terisi kopi yang berasap itu. Roti bakar yang dihulur disambut selamba. Masnita Afeeda yang tersenyum disebelah sedikit pun tidak mengganggu hidupnya.
Masnita Afeeda merenung lama wajah suaminya itu dari sisi. ‘Haish, kenapalah ayang sayang sangat kat abang. Abang buat macam ni pun ayang still sayang tau. Abang tak kesian ke buat ayang macam ni?’ Masnita Afeeda menggumam halus.
Mujur Encik Annzarul tidak mendengarnya. Masnita Afeeda akhirnya leka termenung disitu. Sedikit pun Encik Annzarul tidak menunjukkan riak terhadap dirinya. Masnita Afeeda ingat lagi peristiwa kereta MyVinya yang rosak tengah jalan sewaktu pulang bekerja haritu. Gadis itu menelefon kepada suaminya untuk meminta pertolongan.
Selang 30 minit kemudian, Encik Annzarul tiba dengan menaiki motosikal Kawasaki Ninja 250R dengan sebuah helmet ditangan. Masnita Afeeda yang melihat kedatangan suaminya itu tercengang tidak percaya.
Takkan dia nak membonceng dibelakang suaminya itu dengan baju kurung begini. ‘Mengarut betullah abang ni. Kalau ye pun pinjamlah kereta pejabat tu ke atau apa-apa ke. Tu pun tak boleh fikir ke. Isyhh kenapalah abang ni buat ayang geram je!’ Masnita Afeeda mengomel.
"Tak nak naik ke?" Pertanyaan bersahaja Encik Annzarul menambahkan kegeraman hati Masnita Afeeda.
"Nak naik macam mana dengan baju kurung ni. Tempat duduk dahlah muat bontot abang sorang je!" Masnita Afeeda berkata geram.
"Habis orang nak datang naik apa?" Encik Annzarul memandang Masnita Afeeda pelik. Wajahnya kelihatan bingung.
"Abang ni. Dahlah pergi balik. Orang balik sendiri." Masnita Afeeda sudah berlalu meninggalkan suaminya keseorangan. Dia menahan teksi ditepi jalan. Encik Annzarul tercengang dengan tindakan isterinya itu. Dia yang tergamam melihat tubuh isterinya berlalu pergi itu mula tersedar. Nombor mekanik dihubunginya untuk mengambil kereta milik isterinya itu untuk dibaiki.
Sampai dirumah Kawasaki Ninja 250R milik Encik Annzarul sudah tersadai digaraj. Geram Masnita Afeeda dengan motor kepunyaan suaminya itu.
“Isyh sebab kau lah abang tinggal aku macam tu je. Kau tak guna!” Masnita Afeeda melepaskan geram. Kakinya menendang geram motosikal kesayangan Encik Annzarul. Tanpa disangka-sangka motor itu jatuh terlentang. Pucat wajah masnita Afeeda selepas itu.
“Kenapa?” Wajah Encik Annzarul yang sudah terjongol dibalik pintu membuatkan Masnita Afeeda bertambah pucat. Mati aku lepas ni!
Mata Encik Annzarul membuntang galak melihat Ninja kesayangannya sudah terbaring diatas marmar. Wajah isteri dan motornya dipandang selang seli.
“Nita tak tahu macam mana boleh jatuh.” Gagap-gagap Masnita Afeeda membela diri. Kalau cakap dia yang tendang tak tahu apa yang Encik Annzarul akan buat nanti. Dulu waktu dapat kopi tak sedap pun dah macam kena serang zombie je office tu. Seram aku.
Encik Annzarul sudah melutut untuk mengangkat Ninja kesayangnnya. Tengok tu, dia lebih pentingkan si Ninja tu. Dia tak tanya pun aku balik macam mana. Meluat tau dengan abang! Hati Masnita Afeeda menjerit lantang.
Semenjak kejadian itu, hubungan mereka suami isteri menjadi lebih dingin. Encik Annzarul berjauh hati kerana Ninja kesayangannya itu tercalar sedemikian rupa.
Mujur sekarang ni Encik Annzarul mahu bercakap dengannya semula. Kalau tak dia duduk rumah tu macam duduk kat penjara. Malam je Encik Annzarul tidur dekat bilik bacaan dia. ‘Sedih Nita tau tak berbantalkan abang lagi waktu tidur.’ Masnita Afeeda terus berbisik didalam hati sambil merenung wajah sang suami yang sedang bersarapan itu.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Masnita Afeeda sampai ke pejabat dengan wajah yang kelat pagi itu. Habis Maiza dan Azlan yang menegurnya tadi didalam lif dimarahinya. Sampai dibiliknya dia terus mencampakkan handbagnya diatas kerusi. Dalam hatinya tidak putus-putus merungut.
“Bongok! Ingat aku ni apa? Perempuan murah? Eeee sakitnya hati. Kenapa aku kahwin dengan kau! Langsung takde perasaan. Buat malu aku je susah payah goda kau, sikit pun kau tak pandang aku. Arghhh tension!” Mulut Masnita Afeeda masih membebel dengan nada yang perlahan. Bimbang juga didengari oleh warga Sinar Holding, mulalah menular cerita panas satu bangunan nanti.
Fikiran Masnita Afeeda mula terlayang mengingati kejadian malam tadi. Dia memakai baju tidur jarang paras paha berwarna putih gading yang dihadiahkan oleh Maiza semasa majlis perkahwinan dia dan Encik Annzarul dulu.
Baju itu yang hanya bertali halus dan berenda dibahagian dada yang jarang pasti akan menggugat hati lelaki yang memandangnya. Masnita Afeeda masih membelek dirinya itu dalam bilik air.
Segan juga nak keluar begini menghadap suaminya. Namun bila difikirkan yang suaminya itu masih berhutang malam pertama dengannya menambahkan keberaniannya. Perlahan-lahan Masnita Afeeda melangkah keluar dari pintu bilik air.
Encik Annzarul yang sudah berbaring di atas katil tidak sedikit pun membuka matanya. Masnita Afeeda memanjat katil penuh hati-hati. Dada bidang suaminya yang berlapik dengan t-shirt rona oren dipegangnya. Terasa degupan jantung Encik Annzarul yang berdetak tenang ditapak tangannya bertukar nada. Jantung lelaki itu berombak laju dan tiba-tiba lelaki itu mencelikkan mata.
Masnita Afeeda menghadiahkan senyuman manis buat tatapan suaminya itu. Encik Annzarul berkalih dari baringannya. Terkejut dia melihat tubuh isterinya yang hanya tersarung kain jarang paras paha. Encik Annzarul cepat-cepat mengalihkan anak matanya. Debaran dihati kian mengencang dengan naluri lelaki yang tiba-tiba mengusik fikirannya.
"Abang...." Masnita Afeeda memanggil Encik Annzarul penuh menggoda. Encik Annzarul menelan liurnya berkali-kali. Apa aku nak buat ni? Kenapa malam ni dia berubah macam ni pulak ni. Fikiran Encik Annzarul buntu untuk mengelak dari isterinya itu untuk kesekian kalinya.
“Nita orang mengantuk ni.” Encik Annzarul cuba mengeraskan suaranya. Sungguh dia tergoda dengan pemandangan indah dihadapannya itu.
“Abang ni, awal lagilah.” Masnita Afeeda mengusap pula pipi suaminya. Encik Annzarul menepis perlahan. Kemudian jemari runcing isterinya itu beralih pula ke dadanya. Tersentak jantungnya menerima sentuhan lembut itu walaupun berlapik baju. Pantas jemari itu ditangkap kemas. Wajah nakal isterinya itu ditatap tajam.
“Nita, jangan macam ni lah.” Encik Annzarul sudah melompat turun dari katil.
“Tidurlah, orang nak buat kerja lagi.” Encik Annzarul bergerak ke pintu ingin meninggalkan kamar yang mula terasa berbahang itu.
“Abang...abang...” Panggilan Masnita Afeeda langsung tidak disambut oleh Encik Annzarul. Lelaki itu berlalu begitu sahaja tanpa menoleh kepadanya. Kemudian Masnita Afeeda menghempas keras tubuhnya diatas tilam. Sakit hatinya dibiar terkapai-kapai begitu.
“Abang buat ayang macam ni ye? Takpe siaplah. Lepas ni abang tahulah apa ayang nak buat. Benci, benci, benci!” Masnita Afeeda menjerit kecil didalam bilik. Biarlah kalau suaminya itu dengar pun.
Encik Annzarul yang berbaring disofa katil dibilik bacaannya keresahan tak tentu arah. Memang diakui isterinya itu begitu mempesona. Isterinya itu cukup cantik. Dia sendiri hampir tergoda tadi. Dia sedar lama-lama dia tidak akan mampu mengelak lagi jika digoda saban hari oleh isterinya itu.
Bukan dia tidak faham dengan permintaan isterinya itu. Tapi mengenangkan wajah Azlan dia tidak sampai hati melukakan keduanya. Dia tahu Masnita Afeeda dan Azlan masing-masing saling menyayangi.
Encik Annzarul pernah ternampak Azlan dan Masnita Afeeda keluar bersama. Sudah acap kali dia terserempak dengan mereka berdua. Kadang-kadang dengan seorang lagi gadis, dan kadang-kadang hanya mereka berdua. Malah di pejabat juga Azlan dan isterinya itu kelihatan begitu akrab sekali. Waktu lunch pun mereka selalu makan berdua.
Dia akui sewaktu mula mengambil alih Sinar Holding dulu, dia tertarik dengan Masita Afeeda. Malah dia sendiri tahu Masnita Afeeda merupakan gadis pertama yang mendapat layannnya, walaupun layanannya itu tersangatlah dingin. Sewaktu diluar negara dulu dia tidak pernah berkawan dengan mana-mana perempuan pun. Dunianya hanyalah melepak dalam bilik bersama gadjet kesayangannya atau keluar memandu motosikal kesayangannya seorang diri.
Melihatkan keakraban Masnita Afeeda dan Azlan itu yang membuatkan Encik Annzarul yakin dengan telahannya. Mungkin perkahwinan ini diluar kerelaan Masnita Afeeda. Sangkanya gadis itu hanya mahu membalas jasa kedua ibu dan bapa saudaranya.
Namun sebenarnya itu hanya tanggapannya seorang. Diluar pengetahuannya, Masnita Afeeda juga menyimpan rasa cinta yang ikhlas buatnya.
Encik Annzarul mengeluh lesu. Dia tidak mampu memejamkan mata. Terbayang tubuh gebu isterinya tadi. Entah bila lelaki itu terlelap jua dengan bayangan wajah isterinya yang tersenyum menggoda.
+++++++++++++++++++++++++++++
Masnita Afeeda menarik nafas dalam, kemudian melangkah laju ke pantri untuk menyediakan air bagi menghilangkan mood marahnya pagi itu. Sedang dia leka membancuh milo kegemarannya, Mun si gadis receptionist yang pantang tak bergosip sudah tersengih disebelahnya.
“Kau ni kenapa jual kerang busuk pagi-pagi ni Mun? Tak lalu aku nak beli.” Masnita Afeeda menghadiahkan sebuah jelingan ke arah Mun. Gadis itu hanya mencebik. Ditulikan telinganya dengan sindiran Masnita Afeeda, asalkan dia dapat mendengar cerita hot pagi-pagi ni.
“Pagi-pagi lagi dah macam ribut taufan, tsunami kat rumah ke?” Mun cuba mengorek. Masnita Afeeda membuka peti ais, membiarkan suhu panas badannya yang makin bertambah dengan kesibukan minah gosip tak bertauliah Sinar Holding dineutralkan oleh suhu sejuk peti ais.
“Pagi-pagi kalau kau tak sibuk hal orang tak boleh ke? Kenyang ke kau duk jaga tepi kain orang ni?” Masnita Afeeda menutup pintu peti ais. Wajahnya cuba dimaniskan supaya Mun tidak terkesan dengan mood garangnya. Mun sedikit pun tidak tercuit dengan kata-kata Masnita Afeeda.
“Aku tanya sebab prihatin. Bukan macam budak-budak yang lain tu langsung buat tak tahu je.” Mun bangga berkata. Masnita Afeeda menahan sabar. Serasa ingin dilempangnya wajah Mun yang dilihat semakin kecil itu.
“Kau tak payah nak samakan yang lain tu dengan kau. Kau tu pantang kalau tak memburukkan hal orang kat satu bangunan ni.” Masnita Afeeda menarik kerusi lalu duduk menenangkan diri disitu. Mun turut sama mengambil tempat disebelah Surveyor muda itu yang kini naik pangkat menjadi isteri majikannya.
“Eh, tak baik kau cakap macam tu. Aku ikhlas nak tolong kau. Aku tahu kau ada masalah. Kau jangan risau kau boleh ceritakan dekat aku.” Mun masih lagi cuba memujuk Masnita Afeeda supaya bercerita. Masnita Afeeda menghirup milo ditangan. Wajah meluatnya disembunyikan disebalik cawan.
“Aku pelik dengn kau laki bini ni. Duduk dah serumah, tapi tak pernahnya datang atau pergi kerja sama-sama. Kau tak sakit hati ke macam tu? Aku wonderlah, macam mana lah life kau dengan ‘Mr. Tongue Killer’ tu kan?“ Mun sengaja bertanya itu ini.
“Puan Maimun, lelaki yang kau sebut tu suami aku. Suka hati kau je nak mengata. Tak sayang mulut nampak. Suka ke kalau aku mengata suami kau pulak?” Masnita Afeeda meninggikan suara. Geram dengan kerenah Mun yang tak habis-habis menaikkan darahnya.
‘Tongue Killer' pun laki aku. Sesedap kau je nak mengata dia. Kalau aku backhand karang bertambah ketotlah kau. Hishh mulut takde insuran. Hey, dia laki akulah. Mestilah aku back up dia. Maruah dia maruah aku juga.’ Masnita Afeeda sudah berura-ura mahu berlalu dari pantri ketika Mun menahan dengan kata-katanya.
“Eh, tu kenyataan. Semua orang tahu Encik Annzarul tu macam tu. Satu lagi nama aku bukan Maimun.” Mun cuba mempertahankan diri.
“Kau dah sedia nak menganggur ke Munah? Kalau ye baguslah, takdelah aku susah-susah nak pikir nak campak mana telefon buruk dalam office ni. Kejap lagi aku bagitahu laki aku tu kau dah tak nak kerja sini ye Munah.” Masnita Afeeda cuba menakut-nakutkan ibu beranak dua itu. Sengaja dia memanggil gadis itu dengan nama Munah. Puas hati.
“Eh, telefon kat depan berbunyilah. Aku pergi dulu.” Mun cepat-cepat mencipta alasan dan berlalu pergi. Bimbang juga mendengar ugutan isteri majikannya itu. Memang mudah sangat kalau Masnita Afeeda mahu menyingkirnya. Kalau dia diberhentikan, apa yang ingin diberi kepada dua anak kecilnya makan? Nak harapkan dengan gaji suaminya yang tak seberapa tu, kebulurlah mereka anak beranak. Mun memuncung menuju ke mejanya kerana berita sensasi yang dicarinya tidak dapat diperolehi.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Encik Annzarul melangkah ke dalam Sinar Holding dengan helmet kesayangannya ditangan. Mun yang baru tiba dari pantri cepat-cepat menghadiahkan senyuman buat bosnya itu. Teringat dengan kata-kata Masnita Afeeda tadi. Encik Annzarul seperti biasa hanya memandang sepi wajah yang menyapanya.
Maiza menginterkom Masnita Afeeda ketika Encik Annzarul menyuruhnya memanggil isterinya itu. Masnita Afeeda yang sudah menjangkakan tujuan Maiza langsung tidak mengangkat panggilan gadis itu. Sengaja dipekakkan telinga.
‘Tak habis-habis nak kopi. Kat rumah kopi, kat office kopi, kalau boleh nak tidur pun dengan kopi jugak agaknya. Aku ni dia simpan buat apa tak tahu. Benci aku.’ Masnita Afeeda merungut lagi.
“Puan Nita, bos dah panggil awak tu.” Maiza terus berkata laju ketika menjengah di pintu bilik Masnita Afeeda. Langsung tidak diketuknya terlebih dahulu.
“Awak tak boleh ketuk dulu ke pintu tu?” Masnita Afeeda cuba menutup kegugupannya tadi. Nasib baik wajah Maiza yang tersembul, kalau suaminya…
“Sorry, kenapa tak angkat tadi? Suami awak minta air kopi dia.” Maiza sekejap-kejap menoleh ke luar bilik. Takut Encik Annzarul mencarinya diluar pula mahukan kopi favouritenya.
“Tak nak. Saya takde mood nak buat air untuk dia.” Masnita Afeeda menarik muka dengan gaya rajuk.
“Awak… Please jangan rosakkan mood suami awak tu pagi-pagi ni. Kalau ada problem, settle dekat rumahlah ye. Cepatlah, bos dah tunggu air dia.” Maiza menunjukkan kegelisahannya. ‘Alah kenapalah pulak laki bini ni. Janganlah nak gaduh kat office ni pulak. Dahlah laki awak tu macam tu Puan Masnita Afeeda oi.’ Omel Maiza perlahan.
“Awak lebih pentingkan air kopi tu dari saya Maiza? Sampai hati awak..” Masnita Afeeda bersuara sayu.
“Puan Nita, saya tak lebihkan kopi awak tulah. Saya tak nak suami kesayangan awak tu tarik muka dengan kita semua pulak. Awak tak kesiankan ke kat kita semua nanti?” Maiza sudah beralih disebelah kerusi isteri majikannya itu.
“Dia dah minum kopi dia tadi dekat rumah, cukuplah tu.” Masnita Afeeda masih berdegil.
“Sayang, awak tahukan kegemaran dan kesukaan lelaki kesayangan awak tu. Takde siapa yang boleh tandingi air kopi buatan isteri cantik dia ni. Kalau tak minum air kopi awak tu, ibarat tak lihat wajah awak. Rindu.” Maiza cuba menarik tangan sahabatnya itu untuk ke pintu.
“Huwaaa…kenapa saya tak kahwin dengan awak je.” Masnita Afeeda sudah memukul kecil bahu teman baiknya itu. ‘Kenapa Encik Annzarul tak bermulut manis macam Maiza? Kenapa Maiza bukan lelaki? Encik Annzarul, jadilah romantik macam setiausaha awak ni. Sobsob….’
“Okey-okey, jom buat air dulu. Kejap lagi kita cerita ya.” Maiza memujuk Masnita Afeeda. Bahu gadis itu dipaut ke dalam rangkulannya sambil mereka seiringan menuju ke pantri.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Dia ada cakap apa-apa tak?” Masnita Afeeda menginterkom Maiza selepas setengah jam air kopi yang dibancuhnya selamat sampai ke bilik suaminya.
“Cakap apa?” Maiza bertanya kehairanan.
“Pasal air dia.” Masnita Afeeda berbisik. ‘Hep, nak bisik apa. Maiza je pun yang dengar. Bukan ada siapa-siapa dalam bilik aku ni.’ Masnita Afeeda menukar semula nadanya.
“Kenapa? Takde apa-apa pun?” Maiza pula berbisik. Masnita Afeeda hanya menggeleng.
“Awak tunggu dia komen macam dulu-dulu ke?” Maiza menebak hati isteri majikannya itu dengan suara yang perlahan.
“Mengarut. Dahlah!” Masnita Afeeda cepat-cepat memutuskan talian. Geram! Sengaja Maiza mengingatkannya dengan peristiwa yang tak mungkin dia kecapi lagi untuk selama-lamanya itu. Marahnya masih berbaki untuk suaminya itu.
‘Siot. Aku buat air kopi takde gula pun dia tak perasan. Ke dia tahu aku tengah hot dengan dia? Tahu ke dia nak perasan tu semua? Tak ada logika. Atau lidah dia dah sebati dengan air kopi aku. Kalau aku buat tak sedap pun dia tak rasa kelainannya. Kalau macam tu kan bagus. Maknanya dia sayang aku macam dia suka kopi tu. Bestnya kalau macam tu. Ah jangan berangan Puan Masnita.’ Masnita Afeeda cepat-cepat menyedarkan dirinya yang hampir terlupa dengan tujuan asalnya.
Petang itu, setelah sampai dirumah Masnita Afeeda tidak menunggu kepulangan suaminya seperti kebiasaannya. Dia terus melangkah ke bilik tidur dan tubuhnya direbahkan mencium kelembutan tilam.
Selang 30 minit berangan diatas katil, terdengar deruman motosikal MV Agusta 675cc F3 terbaru milik suaminya diluar rumah. Pelik betul, lelaki itu terlalu berminat dengan motosikal berkuasa tinggi. Motor Kawasaki Ninja 250R yang sudah digunakan sejak mula bekerja dulu telah dijual dan suaminya itu membeli motosikal baru pula. ‘Ingatkan lepas kahwin nak tukar beli kereta, hurm haram aku tunggu.’ Masnita Afeeda bersungut kecil.
Tersedar dari lamunan. Masnita Afeeda segera bersedia. Baju kurung Pahang moden yang tersarung ditubuhnya, ditanggalkan kainnya. Tubuhnya yang hanya bertutup separas lutut dilontarkan kembali keatas katil. Sengaja dia berbaring dalam keadaan yang sedikit seksi atau boleh dikatakan ‘menggedik’ itu. Bahagian bawah kurungnya diselak sedikit bagi menampakkan pahanya yang putih bersih. Takpelah untuk laki sendiri, tak salah pun kan. Masnita Afeeda tersengih sendiri.
Encik Annzarul melangkah masuk ke dalam rumah. Dia pelik kerana kepulangannya tidak disambut dengan senyuman mesra dari isterinya seperti selalu. Malas memikirkan hal remeh itu, Encik Annzarul terus melangkah ke bilik tidur utama rumah tersebut.
Dia sedikit terkejut melihat tubuh isterinya yang seksi terbaring diatas katil. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju. ‘Ah bala apa pulak ni. Nita, awak jangan buat macam ni. Hish!’ Encik Annzarul cepat-cepat berlalu ke bilik air. Takut memandang isterinya yang berkeadaan begitu. Nanti lain pulak yang jadi.
Dirasakan perlakuan isterinya sangat pelik semenjak pagi tadi. Waktu dipejabat lagilah isterinya itu buat perangai. ‘Ada ke patut sediakan air kopi untuk suami takde gula. Malas aku nak komplen, nanti kecoh satu Sinar Holding tu pulak. Ish, naya-naya.’ Encik Annzarul berbisik sendirian di dalam bilik air. Memikirkan telatah pelik isterinya sepanjang hari ini.
Selesai mandi Encik Annzarul terus beredar ke bilik bacaan peribadinya. Isterinya yang masih terbaring dikatil tidak disapanya. Sebenarnya dia tidak mahu lama-lama disitu. Takut dia bertindak lebih jauh terhadap gadis yang sedang terbaring diatas katil itu. Memanglah halal, tapi kalau dia tak suka macam mana. Huhu..nanti bertambah marah Masnita Afeeda kepadanya.
Masnita Afeeda mendengus kasar setelah Encik Annzarul menutup rapat pintu bilik tidur mereka. Tengok tu langsung dia buat tak tahu je dekat aku. Isyh, geramnya dapat suami macam awak ni! Nampak gayanya kena proceed plan ni. Itu yang dia fikirkan semenjak Encik Annzarul meninggalkan dia malam semalam. Dalam kepalanya dia tidak mahu lagi kelihatan terhegeh-hegeh kepada suaminya itu. Fikir Masnita Afeeda sendirian. Dia kemudiannya melangkah malas menuju ke bilik air bersama tuala yang tersangkut dibahu.
+++++++++++++++++++++++++++++++
Selesai mengerjakan solat maghrib, Masnita Afeeda langsung tidak turun ke dapur. Dia nekad menjalankan rancangannya. Laptop diatas meja dibuka dan dia terus bermain tanpa tujuan disitu. Encik Annzarul sejak keluar dari bilik tadi langsung tidak menjengahnya disitu. Pasti lelaki itu sudah bersolat di bilik bacaan peribadinya.
Tepat pukul 9.30 malam pintu bilik terkuak dari luar. Masnita Afeeda berpura-pura sibuk dengan laptopnya. Encik Annzarul takut-takut menyapa isterinya itu.
“Ehem..” Encik Annzarul berdehem kecil. Mata Masnita Afeeda masih melekap di skrin laptop.
“Tak masak ke malam ni?” Perlahan suara Encik Annzarul bertanya.
“Tak.” Masnita Afeeda menjawab pendek. Wajah suaminya masih tidak dipandang.
“Habis nak makan apa?” Soalnya lagi.
“Tak lapar.” Ringkas jawapan Masnita Afeeda.
Encik Annzarul menggaru kepala. ‘Macam mana ni? Habis perut aku lapar ni nak makan apa? Kenapa dia ni pulak hari ni. Tak pernah-pernah dingin macam ni. Huhu macam mana aku nak suruh dia masak untuk aku ni. Waaa Mak Su, ni yang buat orang rindu masakan Mak Su.’ Encik Annzarul berkeluh-kesah didalam hati.
“Err, buatkan kopi boleh?” Dengan berani Encik Annzarul bersuara.
‘Gulp!’ Dia menelan liur. Terkejut dengan jelingan maut dari anak mata isterinya. Tanpa berlengah Encik Annzarul terus berlalu dari situ. Takut dia dengan reaksi isterinya itu. Huhu sejak bila Nita boleh bertukar macam tu sekali. Apa yang aku buat? Encik Annzarul berlalu ke bilik bacaannya semula dengan wajah yang keliru.
Masnita Afeeda ketawa geli hati didalam bilik. Rancangannya berjaya untuk malam ni. Encik Annzarul takkan berani minta kopi dia lagi. ‘Pandai pulak awak nak rasa kecut ye Encik Annzarul. Hurm tu baru jeling dah gugup macam tu. Kalau bersuara sikit tadi mesti dah menggeletar kepala lutut. Haha… Tapi kesian juga tengok muka dia tadi. Alahai suami aku. Kalau sakit esok padan muka aku sebab tak bagi laki makan.’
Malam itu, Encik Annzarul tidak berani untuk tidur bersama isterinya seperti selalu. Dengan perut yang lapar tubuhnya mengerengkot diatas sofa katil di bilik bacaannya. Masnita Afeeda pula terasa tidurnya tidak selena selalu kerana tidak berbantalkan dada tegap suaminya. Masing-masing keresahan ditempat tidur yang berasingan.
+++++++++++++++++++++++++++
Sudah genap sembilan hari Masnita Afeeda melancarkan perang dingin dengan Encik Annzarul. Dia langsung tidak mahu bercakap dengan suaminya. Dipejabat sebolehnya dia mengelak dari berurusan dengan Encik Annzarul. Suaminya itu pula seperti faham, langsung tidak meminta air kopi kegemarannya samada dirumah ataupun dipejabat. Terpaksalah dia menikmati air kopi buatan Kak Saerah yang sangat tidak sedap baginya.
Cerita-cerita mengenai rumah tangganya mula kedengaran di dalam bangunan Sinar Holding. Masnita Afeeda hanya memekakkan telinga. Dia tahu siapa punya angkara. Malas mahu layan kerenah rakan-rakan sekerjanya. Dia sudah tidak peduli lagi.
‘Huh ingatkan dia nak pujuklah aku. Sampai hari ni dia boleh buat bodoh je. Ingat aku tunggul kayu ke? Kenapa susah sangat nak faham Encik Annzarul? Sayang abang ni minta dipujuk. Wuhuuu...’ Masnita Afeeda berkeluh kesah buat kesekian kalinya.
Selepas waktu makan tengah hari, Masnita Afeeda membawa sehelai kertas ke bilik yang tertera nama Annzarul Rasyidi Bin Razali dipintunya. Encik Annzarul yang baru selesai menjamah makanan tengah harinya di dalam bilik terkejut dengan kedatangan mengejut isterinya itu. Masnita Afeeda meletakkan kertas ditangannya di atas meja Encik Annzarul. Berkerut dahi lelaki itu dengan situasi itu.
“Apa ni?” Soal Encik Annzarul kaget.
“Baca.” Wajah Masnita Afeeda sedikit tegang bersuara.
Tangan Encik Annzarul memegang ‘Borang Permohonan Cuti Tahunan’ yang diserahkan oleh isterinya tadi. Wajahnya berkerut membaca isi kandungannya. ‘Seminggu dia mohon cuti? Nak pergi mana? Isyh kenapa aku dah rasa tak best ni.’ Encik Annzarul beteka-teki sendirian.
“Nak pergi mana? Lamanya apply cuti?” Encik Annzarul bertanya ingin tahu.
“Peribadi.” Pendek sahaja jawapan Masnita Afeeda.
“Please sit down first Masnita Afeeda.” Encik Annzarul berkata lembut. Serasanya mereka berdua perlu berterus terang sekarang. Sudah sembilan hari hidupnya tak keruan dengan layanan dingin isterinya itu. Mungkin dia telah menyakitkan isterinya tanpa sedar. Dalam diam dia rindukan keletah manja isterinya itu ketika dirumah. Dan yang paling dirinduinya, air kopi buatan isterinya yang cukup sedap di alam semesta. Masnita Afeeda menarik kerusi lalu dilabuhkan punggungnya kasar.
“Did I missed something important recently ?” Tanya Encik Annzarul dengan nada yang tenang. Hati-hati dia berbicara. Masnita Afeeda dihadapannya ditenung penuh lembut. Isterinya itu masih dengan reaksinya sembilan hari yang lalu. Masam dan mencuka.
“Did I hurt you anywhere?” Soal Encik Annzarul lagi dengan wajah tanpa riaknya.
“Yes!” Pantas jawapan Masnita Afeeda. Encik Annzarul mengeluh perlahan. Kepalanya tertunduk lemah.
“Can you forgive me for that?” Masnita Afeeda terpempan mendengarnya. Bukan itu yang dijangkanya keluar dari mulut suaminya. Kenapa tak nak pujuk? Macam tu je minta maaf? Arghh kenapa susah sangat Encik Annzarul? Wajah Masnita Afeeda bertukar merah. Rasa ingin disembur kemarahannya tatkala itu juga.
“Nita nak balik JB.” Masnita Afeeda berdiri. Nafasnya ditarik sedalam mungkin cuba menenangkan diri. Encik Annzarul merasa lebih pelik dengan tingkah isterinya itu.
“Wait. Kita tak habis lagi. Pasal cuti ni orang tak rasa boleh lulus. Five days is too long Nita.” Awak tak boleh buat orang menyalah gunakan kuasa orang.” Encik Annzarul memberitahu.
Masnita Afeeda tidak mampu membendung perasaannya lagi. Tanpa bicara, air matanya menitis di pipi. Encik Annzarul menjadi semakin kaget dengan keadaan itu. Ah kenapa dia menangis pulak. Apa ni, aku tak fahamlah.
“Nita, what’s wrong?” Tangisan Masnita Afeeda semakin kuat dengan pertanyaan tidak bersalah suaminya itu. Encik Annzarul menjadi semakin tidak faham. Apa aku nak buat ni? Can anyone help to handle her? Arghh!
“Maiza, please come to my room now and lock the door.” Encik Annzarul bercakap ditelefon dengan setiausahanya namun matanya masih tajam memerhati gerak tubuh Masnita Afeeda. Tidak sampai lima saat Maiza sudah berada diantara mereka didalam bilik itu.
“Maiza, please talk to her. I don’t know why she’s crying.” Encik Annzarul gelisah melihat tingkah isterinya itu. Maiza tercengang-cengang melihat pasangan suami isteri itu. ‘Aduh, kenapa aku pulak terlibat dalam kancah rumah tangga kalian berdua ni.’ Maiza mengeluh kecil.
“Do what ever you can. I leave her to you.” Encik Annzarul melangkah keluar dari bilik. Sempat dia locked pintu. Dia tidak tahu apa yang dia harus buat. Tidak pernah dia menghadapi situasi sebegitu. Tubuhnya pantas dibawa ke pantri. Mata-mata warga Sinar Holding yang memandang langsung tidak dihiraukannya.
“Ehem, buat kerja masing-masing.” Encik Annzarul menegur tegas apabila terdengar ada diantara mereka mula bergosip antara satu sama lain.
Didalam bilik Encik Annzarul, Maiza lantas mendekati tubuh langsing isteri majikannya yang sedang menangis. Tubuh itu diraih kedalam pelukannya kejap. Masnita Afeeda membalas.
“Nita, kenapa ni? Awak bergaduh dengan bos ke?” Lembut suara Maiza bertanya. Tangannya tidak henti menggosok belakang tubuh rakannya itu.
“Dia tinggalkan saya macam ni je? Boleh dia suruh awak pujuk saya. Waaa….” Masnita Afeeda menekup wajahnya dibahu Maiza. Rembesan air matanya kian laju bila mengetahui dirinya ditinggalkan bersama Maiza.
“Cuba cerita satu-satu. Saya tak fahamlah. Kenapa boleh jadi sampai macam ni?” Maiza masih keliru.
Hampir satu jam Encik Annzarul resah menanti di pantri. Sekali sekala pintu biliknya ditoleh untuk memerhati kalau-kalau Maiza dan isterinya sudah keluar dari biliknya. Tiga cawan air kopi yang tidak habis diteguk terdampar di atas meja. Macam mana nak habis, dah tak sedap.
“Lah macam tu ke? Sampai macam tu sekali bos layan awak?”Kata Maiza yang setia mendengar cerita Masnita Afeeda dari tadi.
“Kenapa awak senyum? Awak ingat saya main-main ke?” Marah Masnita Afeeda apabila melihat Maiza yang tersenyum kecil.
“Tak..takde.. Tapi kelakarlah Encik Annzarul tu. Kesian wife dia ni.” Maiza berwajah serius kini.
“Kenapa saya tak kahwin dengan awak je Maiza? Huhu..” Masnita Afeeda mahu menangis lagi.
“Isyh, kita mana boleh kahwin sayang. Dahlah tu. Nanti awak ajarlah bos tu pelan-pelan. Mungkin life dia sebelum ni tak macam ni. Jangan salahkan dia sayang.” Maiza mengesat air mata dipipi rakannya itu.
“Sekurang-kurangnya prihatinlah sikit dengan perasaan saya. Saya ni isteri dia tau.” Masnita Afeeda menepuk dadanya perlahan. Maiza hanya mengangguk.
“Saya tahu. Awak bersabarlah macam mana pun. You have to handle him slowly okay. I’m sure he will know that you really love him soon. Saya doakan awak bahagia sayang.” Maiza berkata sambil memeluk tubuh Masnita Afeeda sekali lagi.
“Dah, pergi basuh muka. Nanti apa pulak kata diorang semua dekat luar tu. Suami awak tu pun saya tak tahu dah pergi mana. Dah ye sayang. Sabar banyak-banyak.” Maiza memujuk lagi. Masnita Afeeda melangkah ke bilik air yang terdapat diruang bilik itu. Mujur tandas didalam, kalau tidak masak dia untuk menempuh warga Sinar Holding diluar sana tu.
“Saya nak balik terus. Awak cakap dengan bos awak tu saya dah takde mood nak kerja.” Masnita Afeeda memberitahu. Maiza hanya mengangguk setuju.
Setelah 15 minit berlalu, Masnita Afeeda dan Maiza melangkah keluar dari bilik Encik Annzarul. Kedua-duanya cepat-cepat berlalu ke tempat masing-masing. Pandangan mata pekerja-pekerja lain langsung tidak dihiraukan. Encik Annzarul yang berada di pantri menarik nafas lega. Lantas dia cepat-cepat mendapatkan Maiza.
“Dia dah okey?” Soal Encik Annzarul kalut.
“She’s fine. Isteri bos nak balik terus tu.” Maiza cuba menyembunyikan senyum. Geli hati dia mendengar cerita isteri lelaki itu tadi. Biarlah rahsia itu antara dia, dan mereka suami isteri sahaja. Bos..bos.. Encik Annzarul berwajah tenang semula selepas mendengar jawapan Maiza.
“Bos tak nak balik sekali ke?” Soal Maiza cuba memancing reaksi bosnya itu.
“Erm..untuk apa? Kalau dia menangis macam tadi macam mana? Apa kata awak je ikut dia balik?” Encik Annzarul bersuara perlahan. Maiza menepuk dahi. Betullah kata-kata Masnita Afeeda sebentar tadi mengenai perangai lelaki itu yang tidak prihatin.
“Bos pujuklah dia. Isteri bos tu perlukan bos bukan saya.” Maiza bersuara sedikit tegas. Encik Annzarul terdiam berfikir.
“Takpelah saya pergi tengok dia kejap.” Encik Annzarul berlalu ke bilik isterinya. Maiza hanya memerhati. Mata-mata warga Sinar Holding turut sama memandang. Selepas majikan mereka itu hilang dari pandangan, berduyun-duyun mereka ke tempat Maiza untuk mendapatkan cerita. Maiza buat bodoh langsung tidak melayan.
Sedang Masnita Afeeda berkemas, terdengar bunyi ketukan dipintu. Dia hanya menoleh seketika apabila terlihat wajah suaminya tersembul dibalik pintu.
“Awak baliklah dulu.” Suara Encik Annzarul perlahan.
“Nita nak balik JB terus.” Masnita Afeeda mencapai handbagnya.
“Err.. Tak boleh tunggu esok? Balik sendiri ke?” Soal Encik Annzarul kalut.
“Habis abang nak hantar?” Suara Masnita Afeeda bertukar serak. Dia menggigit bibir menahan tangis. Mungkin ada peluang mendengar pujukan Encik Annzarul.
“Erm takpelah. Kirim salam dekat ibu dengan abah nanti.” Encik Annzarul berpesan. Mendengarkan itu perasaan Masnita Afeeda bertambah parah. Marah ada sedih pun ada. Sampai hati tak nak pujuk ayang. Abang memang hati batu. Huhu.. Masnita Afeeda merintih didalam hati.
“Assalamualaikum.” Pantas Masnita Afeeda berlalu pergi tanpa menyalam tangan suaminya seperti selalu. Encik Annzarul meneruskan kerjanya seperti biasa dibiliknya. Hatinya langsung tidak terdetik untuk memujuk isterinya itu.
++++++++++++++++++++++++++++++++
Selepas Maghrib Masnita Afeeda sampai dirumah keluarganya di Johor Bahru. Ibu dengan abah terkejut dengan kepulangan mengejut anaknya itu. Dengan wajah yang masam Masnita Afeeda terus berkurung dibiliknya selepas membersihkan diri. Waktu ibu panggil untuk makan malam pun dia tidak keluar. Ibu dan abah langsung tidak berani bertanya pada anak perempuan mereka itu.
“Kak Ngah balik bila bu?” Soal Asyril Afeeq yang baru pulang dari masjid dengan kawannya tadi. Ada majlis bacaan Yassin yang dianjurkan oleh sekolahnya.
“Lepas Maghrib tadi sampainya. Abang Ngah kau tak ikut sekali tu.” Jawab ibu yang sedang melipat baju di ruang tamu. Abah yang khusyuk menonton tv tadi bersuara.
“Eloklah anak awak tu. Bergaduh je lari balik sini. Tak boleh selesai elok-elok.” Kata abah.
“Mana tahu bergaduh abahnya? Ish pandai-pandai je.” Ibu mengomel.
“Tengok muka cemberut dia tu pun dah tau. Itu ikut perangai awaklah tu. Asal bergaduh je nak lari balik rumah mak.” Abah mengejek.
“Nasib baik lari balik rumah mak. Kalau lari pergi mahkamah Syariah lagi naya.” Ibu pula berkata pedas. Geram dengan kata-kata abah. Asyril Afeeq yang tadi hanya mendengar mencelah pula perbalahan kedua orang tuanya itu.
“Ibu dengan abah pulak nak bergaduh. Habis ibu nak lari rumah siapa malam ni. Nek Wan kan dah takde.” Tersengih Asyril Afeeq. Abah juga turut ketawa. Ibu bertambah masam.
“Dah kau pergi masuk tidur adik. Esok nak sekolah.” Ibu menyeringai marah. Asyril Afeeq menyalami kedua orang tuanya sebelum berlalu ke biliknya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++
Dua hari selepas Masnita Afeeda berangkat ke JB, Encik Annzarul mengambil keputusan untuk berulang alik ke pejabatnya dari rumah ibu dan bapa saudaranya di Taman Midah, Cheras.
Tuan Ramli dan Puan Wahidah tidak berkata apa-apa pada mulanya. Setelah hampir seminggu Encik Annzarul tidak menunjukkan tanda-tanda ingin pulang akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bertanya pada tuan badannya sendiri.
“Nita dah lama balik JB?” Tanya Puan Wahidah suatu malam semasa menghantar segelas kopi buat Encik Annzarul dibiliknya.
“Seminggu dah.” Jawab Encik Annzarul sepatah. Matanya masih tidak dilarikan dari menghadap laptopnya.
“Bila Nita balik sini?” Puan Wahidah cuba mengorek rahsia.
“Entah.” Encik Annzarul mengangkat bahu.
“Ann ada masalah ke?” Puan Wahidah berhati-hati bertanya.
“Kenapa Mak Su tanya macam tu?” Encik Annzarul sudah berpaling menghadap ibu saudaranya yang sedang duduk disofa dalam ruang biliknya.
“Mak Su nak tanya betul-betul ni dan Mak Su harap Ann jawab jujur ye?” Puan Wahidah cuba berdiplomasi dengan lelaki itu. Encik Annzarul mengangguk.
“Ann dengan Nita macam mana?”
“Okey.”
“Kenapa Ann tak ikut Nita balik JB?”
“Kan Ann kerja.”
“Ann tak telefon Nita?”
“Hurm.” Kepala Encik Annzarul sedikit mengangguk.
“Nita merajuk dengan Ann ke?”
Encik Annzarul tidak menjawab pertanyaan ibu saudaranya itu. Matanya terarah ke dinding, namun fikirannya melayang jauh mengingatkan isterinya.
“Ann…Ann pujuklah Nita elok-elok.” Puan Wahidah bersuara selepas seketika. Tubuhnya sudah mendekati duduk Encik Annzarul. Pergelangan tangan anak buahnya itu dipegang lembut.
“Orang ada buat salah ke Mak Su?” Encik Annzarul mendongak memandang wajah Puan Wahidah.
“Mungkin Ann tak sedar Nita ada terasa hati dengan Ann. InsyaALLAH kalau Ann pujuk Nita baik-baik dia akan balik pada Ann.” Puan Wahidah tersenyum. Tahulah kini isteri anak buahnya itu merajuk dengan anak buahnya.
“Orang nak buat macam mana?” Tanya Encik Annzarul seperti orang bodoh.
“Ann pergilah cari Nita kat JB.” Ya ALLAH dia ni tak tahu pujuk perempuan ke. Kesian anak saudara aku ni. Sempat Puan Wahidah mengomel didalam hati.
“Esok orang pergi JB.” Encik Annzarul membuat keputusan setelah agak lama berdiam diri. Puan Wahidah mengangguk dengan senyuman mekar. Kepala Encik Annzarul diusapnya penuh kasih.
+++++++++++++++++++++++++++++++
Tujuh hari berada di JB, Masnita Afeeda bertambah tenang. Masalah rumah tangganya sedikit sebanyak dapat dilupakan kerana melayan kerenah ahli keluarganya. Ibu pula bertambah risau melihat anak keduanya itu masih bersenang lenang dirumahnya.
“Lama kau cuti angah?” Tanya ibu sewaktu Masnita Afeeda membantunya didapur untuk menyediakan makan tengah hari mereka.
“Seminggu.” Jawab gadis itu pendek. Tangannya sibuk mengupas bawang.
“Ni dah cukup seminggu, bila nak balik KL?” Soal ibu lagi.
“Malaslah. Angah nak sambung cuti.” Balas Masnita Afeeda lagi.
“Kau sebenarnya kenapa angah? Bergaduh dengan Zarul?” Soal ibu prihatin. Menantunya itu senang dipanggil Zarul. Kata ibu Ann tu macam lagu Doraemon, An an an, Tottemo daisuki, Doraemon. Ada-ada je ibu ni.
“Mana ada.” Masnita Afeeda mencapai daun sawi pula untuk dipotong.
“Ibu ni dah makan garam lagi lama dari kau angah. Cuba cerita dengan ibu apa sebenarnya berlaku.” Ibu menarik kerusi duduk berhadapan dengan anaknya itu. Bersedia untuk mendengar cerita anak itu.
“Tak gaduh pun bu. Tapi abang Zarul tu langsung tak nak faham angah. Sedih angah tau bu.” Masnita Afeeda memuncungkan bibirnya. Batang sawi yang tidak digunakan dicincang lumat melepaskan geram.
“Sabarlah angah. Cuba berbincang elok-elok dengan suami kamu tu. Hati orang ni lain-lain. Nak jumpa yang sama dengan kita memang susah. Itulah yang kena bertolak ansur. Nama pun suami isteri.” Ibu memberi petua.
“Memanglah angah bertolak ansur. Tapi sampai bila angah je nak kena mengalah? Dia?” Masnita Afeeda berkata penuh perasaan.
“Adat berumah tangga ngah. Kau kenalah banyak bersabar.” Ibu masih lembut menasihati anaknya yang seorang tu.
Sedang asyik mereka bersembang didapur, tiba-tiba terdengar bunyi deruman kereta diluar rumah. Ibu dan Masnita Afeeda memandang sesama sendiri.
“Siapa pulak datang rumah ni bu?” Soal Masnita Afeeda kurang senang.
“Laki kau kot.” Ibu berseloroh. Masnita Afeeda hanya mencebik. Ibu terus ke depan untuk melihat gerangan tetamunya.
“Kau balik dengan siapa dik?” Tanya ibu kepada anak bongsunya tatkala melihat lelaki itu turun dari kereta Toyota Altis silver yang berhenti di laman rumahnya.
“Ibu dah tak kenal menantu ibu ke?” Asyril Afeeq mengusik ibunya.
“Assalamualaikum ibu.” Encik Annzarul terus menyalami ibu mertuanya lepas turun dari perut kereta.
“Kau Zarul. Ibu ingat siapa tadi. Mari masuk. Adik, kau tolong bawa masuk beg abang ngah kau tu.” Arah ibu kepada Asyril Afeeq sambil menjemput menantunya masuk ke dalam rumah.
“Duduklah Zarul. Isteri kau ada dekat dapur tu. Ibu pergi panggil kejap.” Ibu sudah berlalu ke dapur semula tatkala Encik Annzarul melabuhkan punggungnya di atas sofa diruang tamu.
“Hah panjang umur suami kau tu. Baru sebut je dah sampai.” Ibu berkata kepada Masnita Afeeda yang masih leka berangan dikerusinya tadi.
“Betul ke bu?” Terkejut Masnita Afeeda mendengar perkhabaran ibunya. Biar betul laki aku ni. Nak pulak dia datang sini cari aku. Kejap, dengan kereta? Kereta siapa pulak dia rembat tu? Mesti kereta Pak Su. Masnita Afeeda berfikir sendirian.
“Muka ibu ni nampak macam bergurau ke? Dah kau pergi layan laki kau tu, ibu nak masak ni.” Ibu mengarah.
“Ibu pergilah. Angah nak masak ni.” Masnita Afeeda cepat-cepat membawa sayur yang dipotongnya ke sinki untuk dibersihkan.
“Angah, tak baik macam tu. Kalau ye pun pergilah jumpa dia dulu. Buatkan air untuk dia ke.” Ibu berkata dalam nada tegas. Geram dengan sikap anaknya itu. Tak pernah dia mengajar begitu.
“Yelah-yelah. Ibu jangan kacau. Biar situ. kejap lagi angah nak masak.” Masnita Afeeda berkata sambil mengelap tangannya yang basah di tuala kecil yang tersangkut di peti ais. Lantas kakinya berat melangkah ke ruang tamu untuk bertemu suaminya.
Masnita Afeeda berjalan mendekati Encik Annzarul yang tersandar disofa. Encik Annzarul menghulurkan tangannya apabila isterinya menghulurkan tangan untuk bersalam. Wajah gadis itu masih tidak berubah. Masam dan mencuka.
“Err Nita..buatkan kopi ye.” Pinta Encik Annzarul tatkala Masnita Afeeda ingin berlalu semula ke dapur.
“Mana ada orang minum kopi panas tengah hari merembang macam ni.” Masnita Afeeda menekan.
“Angah ni, abang ngah dah minta tu buatkan jelah.” Asyril Afeeq yang berada disitu menyokong abang iparnya. Encik Annzarul tersenyum lega memandang adik iparnya itu. Masnita Afeeda menyeringai marah memandang adik bongsunya. Selepas berjelir mereka adik-beradik, Masnita Afeeda berlalu semula ke dapur.
“Kau buat air apa ngah?” Tanya ibu melihat Masnita Afeeda mengambil teko dan cawan.
“Kopi.” Balas Masnita Afeeda.
“Kau merepek apa buat air panas tengah hari buta ni?” Ibu bertanya terkejut. Biar betul anak aku ni.
“Ibu pergi tanya menantu ibu tu sendiri.” Tangan Masnita Afeeda kasar membancuh air kopi. Ibu tidak bersoal lagi. Terus meninggalkan Masnita Afeeda seorang diri di dapur. Mungkin ke depan berbual dengan menantunya.
Selepas menuang air kopi untuk Encik Annzarul, lelaki itu pantas mencapai cawannya dan menikmati kopi panas dengan wajah yang gembira. Masnita Afeeda memandang pelik. Macam dah tak minum kopi setahun, fikir Masnita Afeeda. A’ah pun kan. Dah berminggu-minggu dia tak minum kopi aku. Haha.. Masnita Afeeda ketawa didalam hati. Matanya melingas mencari dua tubuh manusia lagi yang berada disitu. Matanya pelik melihat ketiadaan ibu dan adiknya bersama-sama Encik Annzarul diruang tamu.
“Mana ibu dengan adik?” Soal Masnita Afeeda.
“Ibu ajak adik pergi mana entah.” Encik Annzarul menjungkit bahu. Dia lebih fokus menikmati air kopi isterinya yang terlalu dirindui itu.
“Kereta siapa tu?” Tanya Masnita Afeeda sambil memegang dulang ditangan
“Err, kereta oranglah.” Balas Encik Annzarul.
“Sejak bila ada kereta? Mana pergi motor kesayangan awak tu?” Sindir Masnita Afeeda geram.
‘Aik, dia ni dah tukar panggilan pulak? Kenapa tak panggil orang abang? Rindu tau.’ Hati Encik Annzarul merintih kecil.
“Erm, ada dekat rumah.” Encik Annzarul cuba tersenyum. Masnita Afeeda hanya menjeling tajam sebelum melangkah semula ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari mereka.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Nita nak balik KL tengah hari ni.” Kata Masnita Afeeda tegas kepada Encik Annzarul ketika lelaki itu leka menonton tv bersama Asyril Afeeq.
“Eh kenapa pulak?” Encik Annzarul bertanya terkejut.
“Cuti Nita dah habis.” Jelas Masnita Afeeda lagi. Asyril Afeeq yang mula nampak kekeruhan diantara suami isteri itu mula membawa diri. Tak mahu dia masuk campur dengan masalah laki bini tu.
“Orang kan boleh tambah cuti lagi. Tinggallah dulu. Orang baru sehari dekat sini.” Encik Annzarul bersuara.
“Tak mahu. Banyak kerja dekat office. Nanti cuti tahunan habis pulak. Awak nak duduk sini duduklah. Nita tak larang pun.” Masnita Afeeda bertegas. Tak mahu berlembut lagi dengan lelaki dingin dihadapannya itu.
“Tapi….” Encik Annzarul masih ragu-ragu untuk membenarkan.
“Nita dah buat keputusan.” Kata Masnita Afeeda tegas kemudian berlalu dari situ. Terkebil-kebil Encik Annzarul memerhati tubuh isterinya yang makin menjauhi.
“Abang ngah, buat apa sorang-sorang dekat sini?” Afeeq menegur abang iparnya tatkala melihat lelaki itu sedang mengelamun di pangkin bawah pokok mangga tepi pagar.
“Dah pukul berapa dik?” Soal Encik Annzarul yang tersedar.
“Dekat pukul 12.00 tengah hari dah ni.” Kata Asyril Afeeq sedang matanya masih tepat memandang jam ditangan
“Hah? Alamak..” Encik Annzarul bersuara gelisah. Dia terus bangun berdiri.
“Kenapa abang ngah?” Soal Asyril Afeeq ikut sama terkejut.
“Angah dah nak balik KL. Macam mana abang ngah nak buat ni?” Encik Annzarul berkata perlahan.
“So, abang ngah ikut sekali ke tak?” Soal Asyril Afeeq. Encik Annzarul hanya berdiam.
“Abang ngah janganlah balik. Baru je sampai dah nak balik.” Afeeq memuncungkan mulutnya.
“Abang ngah pun tak nak balik. Tapi tadi angah bagitahu dia memang nak balik.” Kata Encik Annzarul lemah. Dia duduk semula diatas pangkin diikuti oleh adik iparnya.
“Abang ngah cakap jelah tak boleh. Habis cerita.” Asyril Afeeq memberi cadangan.
“Err macam mana..” Encik Annzarul tayang wajah takutnya.
“Abang ngah kan suami angah. Kuasa veto dalam tangan abang ngah.” Asyril Afeeq memandang wajah keruh abang iparnya itu.
“Tapi abang ngah tak reti. Abang ngah memang tak tahu.” Encik Annzarul memandang wajah adik iparnya penuh mengharap.
‘Pelik abang ngah ni. Apasal cakap macam tu pulak. Takkan takut dengan angah kot? Biar betul! Eh, kalau macam ni tak boleh jadi. Oh, selama ni angah buli abang ngah lah ye. Siap kau angah.’ Otak Asyril Afeeq bekerja keras bagaimana mahu mengajar angahnya.
“Hurm, ni lah masanya abang ngah gunakan kuasa abang ngah sebagai suami. Jom ikut adik. Nanti angah terdengar pulak. Mati adik.” Asyril Afeeq menarik tangan Encik Annzarul supaya mengikutnya. Dalam kepalanya sudah merencana sesuatu.
++++++++++++++++++++++++
“Adik! Kau pergi mana? Orang dah nak balik ni boleh pulak merayap.” Masnita Afeeda menjerit ke arah Asyril Afeeq di muka pintu apabila melihat adiknya itu sedang berjalan masuk ke kawasan rumah bersama Encik Annzarul. Hish nampak! Buat tak tahu je isteri dia nak balik ni. Tak nak pujuk ke suruh stay. Sempat Masnita Afeeda bercakap seorang diri.
“Angah nak pergi mana?” Soal Asyril Afeeq seperti tidak mengetahui.
“Angah nak balik KL lah. Cepat salam.” Masnita Afeeda sudah mengarah. Asyril Afeeq berlalu kepada ibu yang tercegat didepan pintu. Encik Annzarul pula tertegak di tepi kereta miliknya. Aik, pelik diorang ni semua. Fikir Masnita Afeeda.
“Kenapa angah balik sorang je? Habis nak tinggal abang ngah macam tu je? Mana bolehkan ibu?” Asyril Afeeq sengaja mahu sokongan dari ibu. Matanya sempat memberi isyarat kepada abang iparnya supaya melakukan apa yang diajarnya tadi.
“Dah angah dah lambat.” Masnita Afeeda bersalam dengan ibu. Tatkala jemarinya bertaut dengan Asyril Afeeq, adiknya itu tidak mahu melepaskannya.
“Adik jangan main-mainlah. Angah nak cepat ni!” Marah Masnita Afeeda. Asyril Afeeq hanya menyeringai geram. Kemudian kaki Masnita Afeeda dihayunkan ke bonet kereta. Beg pakaiannya dimasukkan satu persatu. Sedari tadi Encik Annzarul hanya diam memerhati. Selesai menutup bonet kereta, Masnita Afeeda merapati tubuh suaminya. Tangan suaminya diraih dalam genggaman.
“Nita balik dulu.” Sedikit tegang wajah itu menutur kata. Hatinya sedikit bengkak dengan layanan endah tak endah suaminya.
“Nanti dulu.” Encik Annzarul bersuara. Masnita Afeeda yang sudah membuka pintu kereta menoleh tidak mengerti.
“Orang tak benarkan Nita balik hari ni.” Satu persatu ayat Encik Annzarul menimbulkan kemarahan Masnita Afeeda. Pantas wajah Encik Annzarul ditenung tajam oleh isterinya.
“Kenapa pulak?” Tanya Masnita Afeeda tiak puas hati.
“Orang nak Nita temankan orang dan orang nak Nita balik dengan orang nanti.” Tambah Encik Annzarul lagi. Ibu dan Asyril Afeeq yang hanya memerhati tersenyum-senyum. Tak sangka menantu aku ni pandai juga guna kuasa veto. Fikir ibu didalam hati.
“Tak nak.” Masnita Afeeda berkeras. Sempat matanya menjeling tajam wajah Asyril Afeeq yang seolah-olah mentertawakannya.
“Dah jom masuk. Jangan sibuk nak tonton drama sebabak ni.” Ibu memarahi Asyril Afeeq. Faham dengan jelingan Masnita Afeeda yang tidak menyenangi perlakuan anak bongsunya itu.
“Apa alasan Nita untuk berkata tidak?” Encik Annzarul melangkah mendekati pintu kereta yang terbuka lalu ditutupnya kemas. Masnita Afeeda makin geram dengan tindakan suaminya itu.
“Nita tetap nak balik!” Tegas Masnita Afeeda lagi lalu membuka pintu kereta.
“Orang tetap tak benarkan. Nita tetap kena dengar cakap orang sebab orang suami Nita. Nita kena ingat tu.” Encik Annzarul bersuara tenang seperti yang diajar oleh adik iparnya tadi. Dalam hatinya punyalah berdebar, hanya ALLAH yang tahu.
Masnita Afeeda terdiam. Matanya yang bulat menghadiahkan pandangan tajam pada suaminya tadi mula kendur. Renungan Encik Annzarul membuatkan dia tidak mampu lagi bersabung pandang. Masnita Afeeda menunduk menekur bumi. Namun hatinya masih bengang dipaksa begitu. Encik Annzarul tersenyum kecil diatas kemenangannya itu.
“Dah, masuk dalam.” Encik Annzarul terus berlalu ke dalam rumah meninggalkan isterinya yang masih membungkam marah. Masnita mendengus kasar. Hish! Tiba-tiba pulak dia nak cakap macam tu. Kalau pujuk elok-elok takpe jugak. Ni nak main arah-arah guna kuasa dia. Argh, sakitnya hati.
++++++++++++++++++++++++
Malam itu Masnita Afeeda sengaja melewatkan masa tidurnya. Sengaja drama yang ditayang di TV3 ditonton penuh khusyuk. Biar. Malas aku nak tidur dengan dia malam ni. Saja tunjuk kuasa ye tadi, sekarang aku balas balik. Masnita Afeeda berfikiran jahat.
Ibu sudah berkali-kali menguap. Asyril Afeeq pun sama. Encik Annzarul masih cuba menahan kantuknya. Jam sudah menujukkan pukul 11.30 malam. Abah, awal-awal lagi dia sudah berdengkur.
“Ish dahlah, ibu dah mengantuk. Jom masuk tidur adik. Esok kau tu sekolah.” Ibu dah mengalah.
“Zarul kamu pergilah tidur, jangan ditunggu si Nita ni.” Ibu menegur menantunya. Lelaki itu hanya mengangguk. Kedua beranak itu sudah terkedek masuk ke bilik masing-masing. Tinggal mereka berdua suami isteri sahaja di ruang tamu itu.
Pukul 11.45 malam, dilihat Encik Annzarul sudah tersengguk disisi. Masnita Afeeda tersenyum kecil melihat kelakuan suaminya itu.
“Ish orang tak tahan mengantuk. Orang tidur dulu ye. Kejap lagi masuk tidur, jangan berjaga lama-lama.” Encik Annzarul juga sudah mengalah. Yess! Kemenangan buat Masnita Afeeda.
“Tak suruh pun berjaga. Sibuk je. Pergi tidur.” Masnita Afeeda hanya membalas sinis. Masih berbaki marahnya. Masnita Afeeda menekan-nekan butang remote mencari rancangan menarik untuk ditonton. 10 minit kemudian dia mula merasa bosan. Mata pula dirasakan mula mengantuk. Ah, untuk tidur dengan lelaki tu tidak sama sekali. Tegas Masnita Afeeda dengan egonya.
Jarum jam sudah menunjukkan pukul 1.45 pagi. Peti televisyen masih terpasang. Tubuh Masnita Afeeda sudah nyenyak terbaring di atas sofa. Encik Annzarul hanya menggeleng kecil melihat tubuh isterinya. Kemudian, dia menutup suis tv dan memadamkan lampu. Tubuh Masnita Afeeda dicempung dan dibaringkan diatas katil dibilik mereka. Encik Annzarul berpatah semula ke dapur untuk meneguk air menghilangkan hausnya. Selepas itu, dia turut sama merebahkan tubuhnya disebelah isteri yang sudah lena diulit mimpi.
Pagi itu Masnita Afeeda terkejut tatkala terjaga dari tidur apabila mendapati tubuhnya terbaring diatas katil didalam biliknya. Wajah Encik Annzarul tiada disitu. Tiba-tiba lelaki itu muncul dibalik pintu dengan kain pelikat yang terlilit ditubuhnya dan tuala tersangkut dibahu.
Terus memuncak amarah Masnita Afeeda tatkala memandang wajah suaminya. Terus mereka berdialog dipagi hari itu tanpa sempat Encik Annzarul mencari baju untuk disarungkan ke tubuhnya.
“Macam mana Nita boleh ada atas katil?”
“Nita yang berjalan sendiri semalam.”
“Ah, tipu.”
“Tak nak percaya sudah.”
“Cepatlah cakap! Orang jerit nanti.”
“Orang angkat semalam.”
“Siapa suruh angkat?”
“Habis, Nita dah tertidur pun.”
“Biarlah orang tidur situ. Sibuk-sibuk tu kenapa?”
“Dah orang nampak, takkan nak biar.”
“Siapa suruh bangun malam-malam.”
“Dah orang tengok Nita takde sebelah orang, orang carilah.”
“Cari buat apa? Selama ni buat tak tahu je depan mata? Ni nak sibuk-sibuk pulak.”
“Dah orang angkat pun salah. Tak fahamlah. Lain kali bangun sendirilah.”
“Tak suruh pun. Biar je orang kat mana-mana pun.”
Dua-dua membungkam. Encik Annzarul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba-salah dia jadinya. Lain yang diharapkan, lain yang terjadi. Dia melangkah ke beg baju mencari sehelai t-shirt. Rambut disikat kemas. Mata sempat sekali-sekala menjeling wajah isteri yang masam diatas katil.
"Jom solat subuh. Abah dengan ibu dah tunggu." Encik Annzarul berdiri ditepi katil menanti persetujuan Masnita Afeeda.
"Cuti." Balas Masnita Afeeda pendek. Tanpa menunggu lagi, Encik Annzarul terus berlalu keluar dari bilik.
Selesai menunaikan solat subuh, isterinya itu masih termenung duduk diatas katil. Encik Annzarul takut-takut ingin menegur.
“Nita dah mandi belum? Pergilah mandi dulu, jom teman orang hantar adik pergi sekolah.” Encik Annzarul bersuara lembut. Hatinya masih berdebar, bimbang dijerkah isterinya itu.
“Kan abah hantar adik nanti.” Masnita Afeeda sudah bangun dari katil. Selimut yang jatuh ke lantai di lipat kemas, cadar juga ditegangkan.
“Abah mintak orang hantarkan.”
“Dah tu pergi jelah. Nak ajak-ajak orang buat apa.”
“Erm, ibu mintak pergi pasar sekali beli lauk. Orang mana tahu beli.”
“Hish sajalah dia ni.”
“Kalau tak boleh takpe.” Encik Annzarul cepat-cepat berlalu keluar dari bilik. Tercengang Masnita Afeeda dengan reaksi suaminya itu. Dah dia pulak yang merajuk. Ni aku punya rajuk ni tak pernah-pernah nak pujuk pun. Sakitnya hati!
+++++++++++++++++++++++
“Angah, ingat beli barang yang ibu suruh beli tu. Lepas tu nak beli apa-apa ikut suka kaulah.” Ibu sempat berpesan.
“Yelah angah belilah nanti.” Masnita Afeeda menjawab. Masih tidak puas hati dengan paksaan ibu yang menyuruhnya menemankan Encik Annzarul.
“Bawak Zarul jalan-jalan sekali kat taman ni. Dia bukan pernah datang.” Kata ibu lagi.
“Mana ibu tahu, hospital Tampoi tu pun dia pernah pergi tau.” Masnita Afeeda menjawab sinis. Kata-kata itu ditujukan kepada suaminya. Erk, dia nak samakan aku dengan orang-orang gila tu pulak. Haish! Encik Annzarul tersenyum kelat.
“Angah ni membebel dari tadi. Cepatlah adik dah lambat ni.” Asyril Afeeq bersuara apabila melihat mata angahnya yang kejap-kejap menjeling abang iparnya. Sajalah tu tak puas hati lagi dengan abang ngah. Getus Asyril Afeeq.
“Yelah. Masuklah kereta kau tu pun.” Asyril Afeeq dan Encik Annzarul sudah memboloskan diri ke dalam kereta. Masnita Afeeda mengikut kemudiannya setelah menyarungkan sandal dikakinya. Sepanjang perjalanan Masnita Afeeda hanya mendiamkan diri. Hanya suara Asyril Afeeq dan Encik Annzarul saja yang kedengaran meriuhkan suasana pagi itu.
Encik Annzarul memberhentikan kereta ditepi pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Putri. Hanya memandu dalam 15 minit mereka sudah sampai. Kalau di KL pasti dah 1 jam. Jammed di Johor tidak seteruk di KL.
“Belajar elok-elok. Jangan tahu nak kacau anak dara orang je.” Masnita Afeeda berpesan tatkala adiknya itu mencium tangannya. Asyril Afeeq hanya mencebik.
“Balik nanti abang ngah ambil ye. Adik habis pukul berapa?” Encik Annzarul bertanya.
“Ye ke abang ngah? Kalau macam tu pukul dua nanti adik tunggu dekat pagar ni jugak tau.” Asyril Afeeq menjawab dengan wajah ceria.
“Okey, belajar elok-elok.” Encik Annzarul berpesan sebelum Asyril Afeeq menutup pintu kereta.
"Shall we go now?" Soal Encik Annzarul menoleh sebentar wajah isterinya disisi.
"Tadi tujuan nak pergi mana? Jalan jelah." Dengus Masnita Afeeda.
"Mana orang tahu jalan pergi pasar macam mana." Serba salah Encik Annzarul bersuara. Ye tak ye jugak kau ni Nita. Ish..ish..
"Hurm jalanlah, saya tunjuk arahnya." Masnita Afeeda mengalah. Encik Annzarul meneruskan pemanduan mengikut arah yang ditunjukkan oleh isterinya.
‘Aik makin parah. Sekarang dah saya awak pulak. Makin lama macam ni nanti dia beraku kau pulak dengan aku. Aduhh gawat macam ni.’ Hati Encik Annzarul berbisik. Riak risau terpancar diwajahnya.
Ingatkan dalam 10 minit dah boleh sampai, rupa-rupanya hampir 45 minit mereka menghabiskan masa diatas jalan raya. Ni semua gara-gara Masnita Afeeda yang terlalu yakin. Konon jalan shortcut, dah signboard tu tunjuk arah lain, nak ikut jalan lain. Gerutu Encik Annzarul didalam hati. Teringat dialog mereka semasa didalam kereta tadi.
"Awak betul ke jalan ni? Dah dekat 20 minit tak sampai lagi." Tanya Encik Annzarul untuk kesekian kalinya.
"Eh, saya tahulah. Ni tanah tumpah darah saya, mestilah ingat. Yang awak nak bising-bising buat apa, drive jelah." Geram Masnita Afeeda dipertikaikan begitu.
"Taklah, dah dekat setengah jam ni. Nanti takut pasar dah tutup je. Kita berhenti jelah kejap tanya orang-orang dekat sini." Usul Encik Annzarul.
"Tak payah, ni saya bawak jalan shortcut, lagi cepat sampai." Dengan wajah riak Masnita Afeeda membalas. Encik Annzarul tidak mampu berkata apa-apa.
'Ni ikut cakap dia punya pasal. Pasar pun dah tutup. Kalau ibu tanya nanti nak jawab apa? Balik karang nak makan apa? Ni buat berangin ni.' Encik Annzarul mendengus geram melihat pasar basah yang sudah lengang. Pak Sarip tauke pasar dilihat sudah memancut-mancut pancuran air didepan pasarnya.
"Pak Sarip, ikan ada lagi tak?" Tanya Masnita Afeeda setelah mendekati pasar Pak Sarip.
"Habis dah nak oi. Dah pukul berapa ni. Pak Sarip bukan ada banyak stoknya." Jawab Pak Sarip sambil memancut-mancut lantai pasar.
"Ada pasar lain tak Pak Sarip dekat-dekat sini?" Tanya Masnita Afeeda lagi.
"Dah cuba tengok kedai Kak Eton hujung simpang sana?" Soal Pak Sarip.
"Kak Eton yang mana? Tak pernah pergilah kedai dia." Masnita Afeeda mengerutkan dahi. Serasanya tidak pernah dia mendengar nama Kak Eton yang jual ikan.
"Ish kau ni. Buat-buat lupa pulak. Kecil-kecil dulu kedai tu lah yang kau terpa beli jajan bagai. Hai takkan sejak duduk KL dah lupa tanah kelahiran ni." Sinis sahaja kata-kata Pak Sarip. Encik Annzarul yang terdengar hanya menyimpul senyum. Berlagak sangat tadi tahu jalan kat tanah tumpah darah dia ni. Rasakan. Gerutu Encik Annzarul perlahan.
"Erm kalau macam tu okaylah Pak Sarip, saya pergi tengok. Terima kasih." Dengan wajah malu-malu Masnita Afeeda meminta diri.
"Eh tu suami kau ye Nita, siapa nama dia?" Pak Sarip bertanya.
"Saya Zarul pak cik." Encik Annzarul pantas memperkenalkan diri sambil bersalam dengan lelaki itu. Mereka berborak seketika. Selepas itu mereka suami isteri terus menuju ke kereta yang diparkir ditepi jalan.
"So, macam mana ni?" Soal Masnita Afeeda selepas Encik Annzarul menghidupkan enjin.
"Macam mana apa?" Encik Annzarul buat-buat tak faham.
"Lauklah. Nak jawab apa dengan ibu?" Resah Masnita Afeeda memikirkannya.
"Pandai-pandai Nita lah. Mana orang tahu." Encik Annzarul sudah menggerakkan kereta ke tengah jalan raya. Masnita Afeeda mendengus mendengar jawapan suaminya itu.
"Okey, tengah hari ni siapa-siapa pun tak payah makan nasi. Makan je biskut-biskut yang ada." Balas Masnita Afeeda kasar.
"Terpulang." Kata Encik Annzarul. Dah kembali Encik Annzarul yang dingin tu. Arghh!
"Kita pergi kedai Kak Eton." Masnita Afeeda masih bimbang dengan kemarahan ibunya nanti.
"Tak payah. Kejap lagi sesat entah sampai ke mana. Lagipun biskutkan ada dekat rumah tu." Selamba sahaja jawapan Encik Annzarul.
"Awak ni kan...menyakitkan hati!" Selesai berkata-kata, Masnita Afeeda berpaling kesisi tingkap. Marah sungguh dia. Sepanjang perjalanan mereka hanya membisu.
"Apa angah? Lauk dah habis? Kedai mana kau pergi ni?" Ibu bertanya garang kepada anak keduanya itu. Mana taknya sampai rumah pukul 10.00 pagi, tapi satu apa pun tidak dibeli.
"Lah ibu ni, mana nak tahu kalau dah nak habis. Bukan orang yang jual ikan. Makan jelah apa yang ada bu." Masnita Afeeda masih cuba berdalih.
"A'ah kan bu, kita makan biskut jelah tengah hari ni." Encik Annzarul sengaja menyindir. Zapp! Sempat Masnita Afeeda menjeling suaminya.
“Makanlah. Dah orang naik dulu. Penatlah ibu.” Masnita Afeeda menonong masuk ke dalam biliknya. Malu sebenarnya sebab terlalu berlagak tadi. Bukan apa, sengaja mahu melepaskan kemarahan kepada Encik Annzarul.
“Dah nak ke mana pulak tu? Tolong ibu cari lauk ni angah.” Ibu menguatkan suara memanggil anaknya.
“Ajak menantu ibu tu. Angah penat.” Masnita Afeeda sempat membalas sebelum hilang disebalik pintu bilik.
“Kenapa pula isteri kau tu Zarul?” Ibu melemparkan pandangannya ke wajah menantunya pula.
“Entahlah bu. Orang pun tak faham.” Encik Annzarul hanya menjungkit bahu. Ibu menggeleng lemah.
“Dah jom tolong ibu cari apa-apa yang boleh di makan.” Ibu sudah melangkah keluar ikut pintu dapur. Encik Annzarul setia membontoti langkah mertuanya.
+++++++++++++++++++++++++++++++
“Nak masak apa dengan daun-daun ni bu?” Tanya Encik Annzarul dengan wajah ingin tahu.
“Ini bukan daunlah sayang oi.” Ibu menggeleng melihat wajah berkerut menantunya itu.
“Yang ni namanya pucuk salam.” Terang ibu. Encik Annzarul masih membelek pucuk salam yang dikatakan ibunya tadi dengan wajah kurang pasti.
“Ini boleh makan. Sedap ni kalau cicah dengan sambal kelapa.” Tutur ibu lagi. Encik Annzarul mengerutkan dahi.
“Dah kau tolong cerai-ceraikan daun ni macam ni. Lepas tu kerat hujung batang macam ni.” Satu-satu ibu tunjukkan cara membersih dan memotong kepada Encik Annzarul. Lelaki itu tekun memerhati.
"Dah siap nanti cakap dekat ibu." Ibu berlalu ke dapur gas dan meletakkan punggung periuk diatas para sebelum dinyalakan api dibawahnya.
"Okey tak ni Zarul?" Ibu meminta pendapat Encik Annzarul.
"Okey kot. Dah siap pun." Encik Annzarul berdiri disebelah ibu mertuanya.
"Memanglah boleh. Kau tu macam mana pulak?" Ibu mengerling wajah menantunya.
"Ibu cakap boleh makan, orang cubalah.” Ibu tergelak mendengar tutur menantunya. Encik Annzarul hanya memerhati meja.
Ibu turut sama memandang ke sorotan mata Encik Annzarul. Mereka sama-sama menatap meja yang sudah tersedia hidangan tengah hari mereka. Empat biji pinggan yang berada di atas meja menggiurkan liur ibu. Sayur pucuk salam, daun ulam raja dan pegaga yang akan dicicah bersama sambal ikan bilis dan sambal kelapa.
"Dah, kau pergi mandi dulu Zarul." Ibu menepuk bahu Encik Annzarul mematikan lamunan lelaki itu.
"Eh,orang lupa. Dah janji nak ambil adik dekat sekolah." Encik Annzarul baru tersedar apabila melihat jam di pergelangan tangannya.
"Eloklah tu. Kau pergi ambil adik dulu, nanti balik mandi solat semua lepas tu kita makan sama-sama. Abah pun dalam pukul 2.00 petang nanti sampailah dia." Kata ibu sambil tangannya menolak pinggan rapat ke tengah meja untuk ditutup dengan tudung saji.
Encik Annzarul mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja kopi diruang tamu. Masnita Afeeda yang terdengar bunyi deruman kereta lantas keluar. Dia mencari kelibat ibu di dapur.
"Menantu ibu tu pergi mana?" Tanya Masnita Afeeda kepada ibunya.
"Ambil adik kau lah. Yang kau ni baru sekarang nak jenguk dapur kenapa angah?" Suara ibu bertukar garang. Masnita Afeeda hanya mencebik. Dia berjalan ke meja lalu membuka tudung saji yang sedari tadi mencuit hatinya.
"Semua hijau bu?" Masnita Afeeda bertanya jengkel.
"Salah kau. Makan je apa yang ada. Kau tak nak, biskut kan ada." Ibu memulangkan paku buah keras. Masnita Afeeda menelan liur. Mesti suaminya sudah menceritakan kepada ibu. Huh!
Setengah jam kemudian, motosikal abah dan kereta Encik Annzarul berhenti dilaman rumah. Belum sempat abah, Encik Annzarul dan Asyril Afeeq masuk ke rumah, bunyi hon dari sebuah kereta membuatkan mereka berpaling. Ibu dan Masnita Afeeda yang berada di dalam rumah juga turut menjengah di pintu utama.
"Assalamualaikum." Suara lelaki memberi salam membuatkan semua mata tertumpu kepadanya. Tubuh seorang wanita yang ikut keluar dari tempat penumpang Toyota Harrier hitam itu dipandang.
"Abah." Abah sudah tersenyum melihat tubuh Marziana Afeena berlari mendapatkan tubuhnya. Ibu, Asyril Afeeq dan Masnita Afeeda tersenyum ceria menyambut kedatangan tetamu yang tidak disangka tengah hari itu.
"Berdua je? Mana Rifqin?" Ibu bertanya kepada anak sulungnya setelah melepaskan tubuh itu dari pelukannya.
"Ada dalam kereta bu. Tidur, penat sangat tu. Macam mana angah pun boleh ada sini?" Tubuh Marziana Afeena kini berada dalam dakapan adik perempuannya pula.
"Along ingat along je rindukan ibu? Orang pun nak bermanja dengan ibu jugak. Along tu langsung tak bagitahu nak balik ni kenapa?" Bertalu-talu Masnita Afeeda menembak.
"Saja along nak buat suprise. Terkejutkan? Haha.." Marziana Afeena tergelak kecil sebelum mengaduh apabila tangannya menjadi mangsa kepitan jari adiknya itu.
Raqib, suami Marziana Afeena yang mengekor turut menyalami seluruh ahli keluarga tadi. Dia berpatah semula ke kereta untuk membawa beg-beg pakaian keluar. Encik Annzarul turut membantunya. Manakala Asyril Afeeq sudah ke tempat duduk belakang mengejutkan anak buahnya yang seorang itu.
"Jom Rifqin jumpa wan dengan nenek." Anak kecil berusia tiga tahun yang masih mamai itu hanya mengikut tarikan tangan Uchunya. Abah memeluk mesra cucunya itu. Sampai giliran ibu wajah tubuh genit itu dicium bertalu-talu sehingga menimbulkan kelemasan padanya. Akhirnya nyaring suaranya menangis memanggil mamanya.
"Dah..dah jom masuk. Elok sangat kau sampai waktu ni along. Bolehlah kita makan biskut ramai-ramai." Ibu sengaja berkata sinis. Masnita Afeeda yang mendengar hanya mencebik geram.
Tengah hari itu mereka menjamu dengan penuh selera hidangan makanan tengah hari yang tak seberapa. Mujur Marziana Afeena ada membeli lauk ayam masak merah dan daging kurma. Merasa jugak mereka lauk berkuah.
Ibu tanpa segan silu telah menjadikan sesi makan tengah hari itu lebih riuh daripada biasa dengan menceritakan peristiwa pagi tadi yang memalukan Masnita Afeeda. Masnita Afeeda tidak mampu menafikan. Telinganya dipekakkan mendengar suara sinis kakak dan ibunya itu. Wajah masam mencuka dipamerkan bagi mewakili perasaan yang malu, geram dan sebal yang dirasakan saat itu.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
"Pssts..adik sini kejap." Marziana Afeena memanggil Asyril Afeeq yang sudah berjalan untuk ke meja makan. Dia berhenti mengadap tubuh kakak sulungnya itu.
"Angah kau kenapa tu dik? Apsal ada dua kereta dekat depan tu?" Marziana Afeena mengangkat kening inginkan jawapan. Hari ini merupakan hari kedua dia berada di JB.
"Jangan along tak tahu. Angah tengah merajuk dengan abang ngah. Tu sampai balik asing-asing tu." Asyril Afeeq turut merendahkan suaranya bimbang didengari oleh orang ketiga.
"Oh patutlah muka angah tu nak menyinga je. Hurm, jomlah makan." Marziana Afeena menarik lengan Asyril Afeeq ke meja makan. Kepalanya masih memikirkan perihal adik keduanya itu.
"Kenapa datang asing-asing angah?" Pertanyaan abang long a.k.a Raqib semasa makan itu mengejutkan Masnita Afeeda. Encik Annzarul disisi menghulur segelas minuman bagi menghilangkan rasa tersekat dikerongkongnya. Untuk menjaga hati, Masnita Afeeda menyambut huluran itu.
"Angah cuti awal." Ringkas jawapan Masnita Afeeda sambil mengelap tubir bibirnya yang bersisa dengan air yang diminumnya.
"Habis nanti balik asing-asing jugak?" Tanya abang long lagi.
"Yup” Kata Masnita Afeeda
“Sekali." Serentak juga Encik Annzarul berkata.
Masnita Afeeda berpandangan dengan Encik Annzarul. Wajah-wajah dimeja makan itu turut merenung kepada pasangan suami isteri yang berpandangan itu.
"Ha...pagi esok kita pergi picnic kat tepi sungai ramai-ramai nak?" Marziana Afeena bertanya mengalih perhatian semua wajah dari terus tertumpu pada wajah Encik Annzarul dan adiknya.
“Bagus jugak tu along. Dah lama Afeeq tak main air ni.” Asyril Afeeq yang biasa menggunakan panggilan Afeeq didepan keluarga besarnya turut menyokong.
“Selama ni adik tak mandi ke?” Masnita Afeeda sengaja mengusik adiknya itu.
“Angah lah tak mandi. Isyh orang cakap jangan panggil adik. Tu Rifqin tu adik.” Asyril Afeeq memuncungkan bibirnya. Puas dilarang ahli keluarganya supaya tidak memanggilnya adik lagi, namun usahanya hampa. Malu dia kalau didengari oleh kawan sekolahnya. Sudah besar masih guna nama manja. Habisnya dia hanya mampu menggunakan namanya bila si kecil Rifqin ada bersama.
“Wekk…” Masnita Afeeda hanya menjelir lidah. Asyril Afeeq turut membalas. Tidak mahu kalah.
“Sudahlah tu depan rezeki ni.” Suara ibu mula berbunyi. Masnita Afeeda dan Asyril Afeeq masing-masing senyap kembali.
“Jadi semua setujulah esok. Okey set.” Marziana Afeena bersuara riang. Masnita Afeeda yang mahu membantah tidak jadi berbuat begitu apabila mendengar deheman kecil dari bibir abah. Asyril Afeeq yang sedar akan perkara itu menaikkan ibu jari kepada kakak keduanya itu. Masnita Afeeda mencebik geram. Mereka semua meneruskan menikmati hidangan makan tengah hari itu.
+++++++++++++++++++++++++++++
“Apa curah-curah air dekat orang ni.” Masnita Afeeda menjerit geram melihat bajunya basah akibat perbuatan Asyril Afeeq.
“Angah ni, orang datang sini nak happy-happy dia cemberut macam beruk pulak. Sinilah jom mandi sama.” Asyril Afeeq sudah jelik dengan perangai kakaknya itu. Tak habis lagi nak merajuk dengan abang ngah tu.
"Abang ngah, bawak angah ni masuk air." Asyril Afeeq memandang wajah Encik Annzarul meminta persetujuan lelaki itu. Namun Encik Annzarul hanya melemparkan senyum. Tak nak dia cari pasal dengan isterinya itu. Nanti bertambah angin pula.
"Wekkk...tak sporting langsunglah Mak Ngah ni kan Rifqin. Jom adik ikut Uchu mandi dekat sana." Sebelum memimpin tangan kecil Rifqin, sempat Asyril Afeeq menghadiahkan jeliran buat Masnita Afeeda. Gadis itu juga turut membalas. Tak padan dengan bini orang!
"Teman orang mandi dekat sana." Suara Encik Annzarul yang tiba-tibamenghalau lamunan, mengejutkan Masnita Afeeda. Dia berpaling mencari wajah lelaki itu. Oh, Encik Annzarul duduk bersebelahan dengannya sahaja diatas hamparan batu itu. Kenapa dia tidak sedar langsung akan kedatangan dia? Huh.
"Pergilah mandi sendiri." Masnita Afeeda merengus kecil.
"Sejak bila Nita berubah jadi macam ni Nita?" Pertanyaan tenang dari mulut Encik Annzarul membuatkan Masnita Afeeda berubah dari posisinya. Dia berpaling 90 darjah memandang ke seluruh tubuh suaminya itu. Dahinya terpamer garis halus menambahkan lagi kemasaman wajahnya.
"Saya yang berubah?" Masnita Afeeda bertanya sambil menuding jari ke dadanya. Encik Annzarul masih dengan riak yang sama dia kenali tiga tahun dulu. Tenang. Arghh! Kenapa wajah kau juga yang aku puja. Masnita Afeeda memarahi hatinya yang berdegup kencang tatkala dia menerima tatapan redup dan bersahaja dari suaminya itu.
"Nita, orang tak tahu apa yang Nita nak. Dah lama sangat kita macam ni. Dulu Nita tak macam ni pun. Nita layan orang baik-baik je." Encik Annzarul masih merenung anak mata isterinya yang membulat itu. Lambat-lambat anak mata yang bulat itu menjauhkan tautannya dari pandangan mata suaminya.
"Awak yang menyebabkan saya jadi macam ni. Cukuplah Encik Annzarul, saya dah penat hanya mengharap seorang diri." Masnita Afeeda berpaling semula memandang ahli keluarganya yang riang bermain air. Sebenarnya dia sendiri tidak mampu bersabung pandang dengan mata redup suaminya.
"Apa yang Nita harapkan?" Encik Annzarul bertanya meminta jawapan. Masnita Afeeda tergelak kecil. ‘Abang boleh tanya apa yang ayang harapkan? Bodohnya soalan abang tu. Takpelah bang. Biar ayang simpan sendiri je kalau ini pengakhirannya.’ Masnita Afeeda bermonolog sendiri.
"Nak ke mana?" Encik Annzarul terkejut bila tiba-tiba Masnita Afeeda bangun dan ingin turun ke dasar sungai. Pautan tangannya pada pergelangan gadis itu menghentikan langkah Masnita Afeeda.
"Saya nak teruskan hidup saya." Jawapan bersahaja dari bibir Masnita Afeeda membuatkan Encik Annzarul terkaku. Spontan dia melepaskan pegangannya dan hanya membiarkan Masnita Afeeda meninggalkannya di atas hamparan batu dengan persoalan yang sesak dibenaknya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Terima kasih ajarkan abang untuk mencintai sayang.” Encik Annzarul bersuara ketika tangan sasanya mendakap tubuh Masnita Afeeda kemas dari belakang.
“You are welcome." Masnita Afeeda mengemaskan lagi tangan suaminya ditubuhnya. Mata masing-masing terarah ke tubuh kecil anak perempuan yang sedang bermain dengan seorang budak lelaki di bawah pokok mangga.
Masnita Afeeda dan Encik Annzarul sama-sama tersenyum melihat anak perempuan mereka, Annur Mardhiah yang sedang bermain dengan sepupunya Rifqin. Anak mereka kini berusia hampir empat tahun.
Tiba-tiba Rifqin menangis dan bergerak mendapatkan tubuh Masnita Afeeda dan Encik Annzarul. Mereka berdua berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa ni sayang?" Masnita Afeeda cuba memujuk anak buahnya itu yang sedang menangis. Tubuh yang semakin montel itu dipeluk dan air matanya diseka lembut.
"Adik Nur cabut pokok bunga yang abang tanam tu." Rifqin mengadu sambil jari telunjuk kanannya terarah kepada tubuh Annur yang masih berada dibawah pokok memerhatikan mereka.
Encik Annzarul mendukung tubuh Rifqin dan membawanya ke pokok mangga. Masnita Afeeda turut mengikutnya.
"Sayang, sayang buat apa dekat abang Rifqin?" Masnita Afeeda bertanya lembut kepada anak perempuannya itu. Gadis kecil itu sedikit pun tidak menangis.
"Adik tak buat apa-apa pun." Annur Mardhiah menjawab dengan pelatnya. Dia memandang wajah dihadapannya satu persatu dengan riak tak bersalah.
"Kenapa adik cabut pokok abang Rifqin ni." Masnita Afeeda sudah merendahkan tubuhnya disisi Annur Mardhiah sambil memegang pokok bunga ros yang sudah tercabut dari pasu dan terkulai diatas tanah.
"Adik tak cabut. Adik nak pegang je." Annur Mardhiah meyakinkan mamanya.
"Tipu, abang nampak adik cabut tadi. Huwaaaa...." Rifqin yang sudah berhenti tangisnya tadi meraung semula mendengar jawapan Annur Mardhiah. Encik Annzarul cuba mententeramkan anak saudaranya itu.
"Nanti Pak Ngah tanam balik untuk abang ye. Dah tak mau menangis. Tak malu dekat adik menangis depan perempuan? Abang kan kuat, mana boleh menangis? Dah sekolah pun menangis lagi." Encik Annzarul lembut memujuk. Rifqin yang termakan dengan kata-kata Pak Ngahnya hanya tinggal sendu sahaja.
"Nanti Pak Ngah tanam cantik-cantik untuk abang ye?" Rifqin memegang pipi Encik Annzarul mengharapkan kepastian dari bapa saudaranya itu.
"Abang kena berhenti menangis dulu baru Pak Ngah buat." Rifqin mengangguk kecil sambil mengesat air mata dipipinya.
"Dah, jom kita masuk rumah." Masnita Afeeda bangun dari cangkungannya tadi dan memegang jari kecil Annur Mardhiah untuk bergerak ke dalam rumah. Masnita Afeeda yang baru mahu melangkah terasa jarinya ditarik oleh jari anaknya. Dia berpaling memandang wajah Annur Mardhiah.
"Kenapa sayang?" Encik Annzarul yang mendengar suara isterinya berpaling semula melihat batang tubuh isterinya dan anak mereka. Rifqin dalam dukungannya turut sama menumpukan matanya pada dua beranak itu.
"Adik pun nak ayah tanam pokok macam abang Rifqin." Annur Mardhiah memandang ke dalam anak mata mamanya. Air mukanya seperti ingin menangis tatkala meminta.
Masnita Afeeda memandang kepada suaminya. Mereka berdua sama-sama tersenyum dengan gelagat anak perempuan mereka itu.
Rifqin meminta diturunkan oleh Pak Ngahnya. Encik Annzarul meletakkan anak itu ke tanah. Rifqin berjalan mendapatkan adik sepupunya. Tangan gadis itu dipegang erat.
"Nanti kita suruh ayah adik Nur tanam pokok untuk kita ya. Kita tanam sama-sama." Ceria wajah Rifqin memberitahu Annur Mardhiah.
"Bolehkan Pak Ngah?" Rifqin berpaling memandang Encik Annzarul. Lelaki itu mengangguk perlahan. Wajah Annur Mardhiah yang mendung tadi terus bertukar ceria mendengar persetujuan ayahnya. Anak kecil berdua itu sama-sama tersenyum lawa.
"Kalau macam tu nanti jangan bergaduh lagi tau. Main sama-sama." Masnita Afeeda berkata sambil mencuit hidung kedua-dua anak kecil itu.
"Dah jom masuk. Nanti nenek marah main dekat luar." Encik Annzarul bersuara.
"Nak dukung." Kedua anak itu teruja bersuara kepada Masnita Afeeda dan Encik Annzarul. Masnita Afeeda mendukung tubuh anak gadisnya manakala Encik Annzarul menggendong tubuh Rifqin yang sudah makin montel itu. Kedua kanak-kanak itu tergelak suka diusik oleh Masnita Afeeda dan Encik Annzarul.
Malam itu selepas makan malam, Masnita Afeeda membiarkan seluruh ahli keluarganya bermain diruang tamu sambil menonton tv. Selepas mencuci pinggan mangkuk tadi, Masnita Afeeda terus berlalu ke bilik tidurnya. Dia ingin merehatkan diri seketika.
Album gambar yang terletak cantik dalam almari menggamit anak matanya. Masnita Afeeda mengambilnya lalu membelek satu persatu gambar keluarga besarnya yang sedang bermandi manda di sungai empat tahun dulu. Dia tergelak sendiri.
Sekali sekala terdengar suara gelak ketawa dari luar bilik. Ketawa manja Annur Mardhiah apabila disakat oleh mereka menimbulkan senyum dibibir Masnita Afeeda. Dalam dia tersenyum itu, fikirannya mula terlayang jauh saat empat tahun dulu. Saat dimana Encik Annzarul mula menempatkan dirinya dihati lelaki itu.
Dua hari selepas mereka berkelah di sungai, masing-masing bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Marziana Afeena dan Masnita Afeeda sepakat untuk bertolak bersama-sama. Masnita Afeeda perasan akan perubahan Encik Annzarul selepas balik dari sungai tempoh hari. Lelaki itu tidak banyak bercakap dengan ahli keluarganya. Dengannya lagilah tidak bercakap.
Arahan abah menyuruhnya naik kereta Encik Annzarul diturutkan jua bila ternampak api kemarahan pada anak mata abahnya itu.
“Baik-baik bawak kereta tu Raqib, Zarul.” Lembut ibu memesan kepada menantunya. Kedua lelaki itu mengangguk kecil sahaja.
“Ibu, angah balik dulu.” Masnita Afeeda memeluk tubuh ibunya erat. Dia terasa sangat sedih mengenangkan kisah hidupnya selepas ini. Kalau Encik Annzarul berkeputusan melepaskannya, dia redha akan kehendak suaminya itu.
“Tolak ansur dengan Zarul tu. Jangan buat keputusan ikut hati semata-mata. Fikir dulu betul-betul.” Pesan ibu yang menyebabkan Masnita Afeeda bergenang dengan air mata.
“Along balik dulu ibu.” Marziana Afeena pula mengambil tempat dalam pelukan ibu.
“Jaga Rifqin long." Pesan abah pula.
Tepat pukul 10.30 pagi, Toyota Harrier dan Toyota Altis yang tersadai diperkarangan rumah Encik Abdul Zaman bergerak meninggalkan halaman rumah tersebut. Yang tinggal Produa MyVi biru milik Masnita Afeeda dan Proton Waja perak milik abah. Masnita Afeeda dengan berat hati terpaksa meninggalkan kereta kesayangannya itu di kampung.
Sepanjang perjalanan, Masnita Afeeda hanya mendiamkan diri. Encik Annzarul juga senyap sejak tadi. Langsung tak bersuara walau sepatah. Keadaan itu membuatkan Masnita Afeeda makin berjauh hati. Dirasakan Encik Annzarul semakin jauh darinya.
“Kita nak pergi mana ni?” Masnita Afeeda bertanya apabila dirasakan laluan yang digunakan oleh Encik Annzarul menyimpang dari rumah kediaman mereka. Mereka sudah pun memasuki kawasan Kuala Lumpur. Kereta kakaknya sudah berpisah dan menuju ke rumah mereka di Putrajaya.
Encik Annzarul sedikit pun tidak menjawab soalan isterinya. Dia meneruskan pemanduan. Masnita Afeeda menjadi geram dengan situasi itu. Dia mendengus kasar melampiaskan ketidak puasan hatinya.
Toyota Altis sudah diberhentikan disebuah kawasan perkuburan di sekitar Cheras. Masnita Afeeda menelan liurnya. ‘Apa yang dia nak buat dekat sini petang-petang macam ni? Biar betul. Aku pulak yang takut ni. Kubur siapa?’ Masnita Afeeda berbisik sendirian.
Langkah kaki Encik Annzarul yang berjalan kesebuah kubur diperhatikan. Dia masih membatu didalam kereta. Encik Annzarul dilihat sudah beteleku disebuah kubur. Lelaki itu kelihatan menunduk memegang batu nisan. Kubur siapa tu? Detik hati kecil Masnita Afeeda.
Masnita Afeeda sudah menapak mendekati tubuh suaminya. Dari jauh dia sudah terdengar bunyi sendu. Encik Annzarul menangis? Kemudian langkah kakinya dibawa laju untuk mengetahui kubur siapa yang diratapi oleh suaminya itu.
Masnita Afeeda terkaku sebentar melihat baris nama yang tercatat pada batu nisan tersebut. Ditoleh pula pada kubur bersebelahnya. Dia sendiri menjadi sayu tatkala itu. Dengan tubuh yang sedikit bergetar, Masnita Afeeda turut duduk disebelah suaminya. Dia mengangkat tangan membacakan doa buat kedua arwah mertuanya itu.
++++++++++++++++++++++++++++++
Petang itu mereka sampai ke kediaman mereka pada pukul 6.30 petang. Encik Annzarul tetap membisu sepanjang perjalanan sejak dari kampung lagi. Masnita Afeeda sendiri tidak tahu bagaimana. Dia rasa suaminya itu sedang bersedih tapi dia tak nampak bagaimana cara untuk menghilangkan kepiluan suaminya itu.
Selepas Maghrib, Masnita Afeeda menyediakan makan malam. Sejak Maghrib tadi dia tidak nampak kelibat suaminya itu. Selepas berjemaah, lelaki itu terus menghilang ke dalam bilik bacaan peribadinya.
Masnita Afeeda mengeluh lemah. Sudah setengah jam dia menunggu Encik Annzarul untuk makan malam. Jarum jam sudah pun menunjukkan pukul 9.35 malam. Kelibat lelaki itu masih tidak kelihatan ditingkat bawah rumah mereka. Dia segera menapak naik ingin memanggil lelaki itu.
Encik Annzarul kelihatan tersentak apabila tiba-tiba pintu bilik bacaan dibuka dari luar. Kepingan frame gambar dalam gengamannya segera diletak diatas meja. Matanya yang basah diseka lekas tidak mahu membiarkan Masnita Afeeda menyedarinya.
Masnita Afeeda mengeluh kecil melihat wajah suram suaminya yang samar-samar, biasan dari cahaya luar bilik. Kasihan abang, sampai duduk bergelap macam ni. Hati Masnita Afeeda rasa terluka melihat lelaki kesayangannya dalam kesedihan.
“Nita buka lampu ya?” Masnita Afeeda menyoal.
“Jangan..” Tahan Encik Annzarul. Tak jadi Masnita Afeeda memetik suis lampu.
Masnita Afeeda menapak melabuhkan punggungnya bersebelahan Encik Annzarul yang sedang duduk disofa katil dalam ruangan bilik bacaan itu. Wajah sayu Encik Annzarul dipandang penuh simpati. Frame gambar arwah orang tua suaminya yang ditatap oleh suaminya tadi dipandang sekilas. Kasihannya suamiku. Bisik Masnita Afeeda.
“Abang, jom kita makan.” Masnita Afeeda memujuk lembut. Encik Annzarul masih menekur wajah ke lantai. Tangannya diramas kuat.
“Abang…” Masnita Afeeda memegang jemari Encik Annzarul yang bertaut itu. Dia menggenggam kemas jemari suaminya. Encik Annzarul masih mengeras disitu. Langsung tidak diangkat kepalanya.
“Abang, kenapa ni?” Masnita Afeeda memegang pipi Encik Annzarul. Cuba mengangkat wajah itu supaya memandangnya. Encik Annzarul menatap pandangan isterinya sekilas. Ada genangan air mata pada tubir matanya.
“Abang, look at me.” Masnita Afeeda mengemaskan lagi genggaman tangannya pada jemari suaminya. Ingin turut berkongsi kesedihan yang dialamai oleh Encik Annzarul. Lelaki itu mengangkat seketika wajahnya.
Tanpa dapat ditahan, air mata Encik Annzarul gugur dipipinya. Masnita Afeeda memandang sayu wajah sedih suaminya itu. Dia turut mengalirkan air mata. Encik Annzarul mencapai gambar arwah orang tuanya lalu ditatap hiba. Masnita Afeeda hanya melihat perlakuan suaminya itu.
“Waktu mama dengan ayah pergi, orang kecil lagi waktu tu…” Encik Annzarul bersuara. Kedengaran serak suaranya.
“Orang rindu sangat dengan mama, dengan ayah.” Encik Annzarul mula tersedu sedan.
“Kenapa orang yang orang sayang tak dapat bersama-sama dengan orang?” Masnita Afeeda menggeleng mendengar soalan suaminya itu. Air matanya makin merembes laju.
“Orang tak tahu macam mana perasaan menyayangi dan disayangi semenjak mama dengan ayah takde…” Sambung Encik Annzarul lagi dengan suara yang tertahan.
“Orang takut nak menyayangi sesiapa. Orang tak sanggup rasa kehilangan lagi macam orang kehilangan mama dan ayah.” Encik Annzarul memandang wajah Masnita Afeeda dengan linangan air mata. Kali ini perasaan Masnita Afeeda tidak tertahan lagi. Dia terus menangis hiba disisi suaminya itu.
“Kalau orang sayangkan awak, awak akan tinggalkan orang ke?” Encik Annzarul menyoal isteri yang tersedu sedan itu. Pantas Masnita Afeeda menggeleng laju.
“Nita takkan tinggalkan abang.” Masnita Afeeda mengelus pipi suaminya. Sisa air mata dipipi itu dikesat pergi. Cuba membuang duka dihati suaminya itu.
“Tapi kenapa mama dengan ayah tinggalkan orang?” Air mata Encik Annzarul kembali lebat menuruni pipi.
Sesaat, Masnita Afeeda sudah menarik tubuh suaminya ke dalam dakapannya. Wajah suaminya itu disembamkan dibahunya. Tubuh suaminya dibelai penuh kasih.
“Abang, arwah mama dengan ayah pergi sebab ALLAH lebih sayangkan mereka dari kita. Abang tak boleh menangis macam ni. Abang tak nak mama dengan ayah terseksa di kuburkan?” Masnita Afeeda cuba memujuk sendu suaminya itu. Kepala Encik Annzarul diusapnya penuh kasih seperti memujuk anak kecil gayanya.
“Jangan tinggalkan orang.” Encik Annzarul membalas pelukan hangat pada tubuh isterinya. Wajahnya masih dibiarkan dibahu isterinya itu.
“Nita janji takkan tinggalkan abang.” Masnita Afeeda memperkuatkan lagi pelukannya. Mereka berdua melayan perasaan masing-masing dengan berkongsi kesedihan itu.
Seketika kemudian, sendu Encik Annzarul sudah tidak kedengaran lagi. Masnita Afeeda menegakkan tubuh suaminya. Pipi suaminya yang basah disapu dengan telapak tangannya. Encik Annzarul hanya membiarkan perlakuan isterinya itu.
Masnita Afeeda mula mengucup wajah suaminya itu dengan perasaan kasih. Bermula dari dahi, turun ke kedua belah mata suaminya. Kemudian hinggap di kanan dan kiri pipi lelaki itu. Akhir sekali bibirnya melekap lama pada bibir suaminya. Encik Annzarul sedikit terkedu dengan tindakan isterinya. Wajah gadis itu dipandang dengan riak tadak mengerti.
Sekali lagi tubuh sasanya dipeluk erat oleh sang isteri. Encik Annzarul semakin terbuai dengan sentuhan lembut isterinya itu. Timbul satu rasa dalam jiwanya kini yang begitu membuak-buak.
“Nita akan setia dengan abang. Abang ada Nita dalam hidup abang. I love you.” Masnita Afeeda berbisik lembut ditelinga suaminya. Pelukan ditubuh lelaki itu makin dieratkan.
Encik Annzarul semakin terbuai dengan bisikan romantik isterinya itu. Tangannya juga semakin erat memeluk tubuh kecil isterinya. Semakin lama mereka berdua semakin terbuai dengan perasaan masing-masing.
Tindakan-tindakan seterusnya langsung tidak dihalang lagi seperti yang berlaku sebelum ini saat mereka berada bersama. Encik Annzarul merelakan setiap keberanian tingkah Masnita Afeeda terhadap dirinya. Dan malam itu, segalanya-galanya telah terjadi tanpa disangka.
Seawal pukul 3.00 pagi Encik Annzarul terjaga. Dia sedikit tersentak melihat keadaan dirinya dan isterinya. Baru dia tersedar kejadian malam tadi. Encik Annzarul meraup mukanya sambil beristighfar kecil.
Ketika dia ingin bangun dari sofa katil itu, Masnita Afeeda terjaga. Encik Annzarul tidak jadi berlalu. Dia hanya duduk dan membelakangkan tubuhnya dari tubuh isterinya.
“Abang….” Masnita Afeeda memanggil dengan nada lembut. Bahu suaminya disentuh.
“Abang, pandang Nita.” Masnita Afeeda mencuba lagi apabila Encik Annzarul langsung tidak memandangnya. Dia turut bangun dari baringannya.
“Abang, pandang Nita.” Kali ini Masnita Afeeda membalikkan tubuh suaminya menghadapnya. Encik Annzarul hanya menunduk memandang jari-jarinya yang dibiar bertaut. Masnita Afeeda tersenyum kecil dengan reaksi suaminya itu.
“Abang tak nak cakap dengan Nita?” Masnita Afeeda cuba mengangkat wajah suaminya itu. Selimut yang terlondeh dikepit erat ke dadanya semula.
“Orang minta maaf.” Encik Annzarul bersuara perlahan.
“Maaf untuk apa? Abang tak buat apa-apa kesalahan pun pada Nita.” Masnita Afeeda menggenggam jemari suaminya yang asyik bertaut itu dengan jemari tangan kirinya.
“Orang minta maaf atas apa yang dah terjadi semalam.” Encik Annzarul mengangkat wajah dan memandang anak mata isterinya itu. Dia benar-benar tidak bermaksud atas apa yang telah terjadi antara mereka semalam. Dia tidak mahu Masnita Afeeda menganggap dia mengambil kesempatan.
“Itu bukan kesalahan abang.” Masnita Afeeda tersenyum membalas.
“Orang benar-benar tak sangka orang boleh buat dekat awak macam tu. I’m really sorry.” Encik Annzarul menyatakan sekali lagi kata maafnya. Masnita Afeeda mengeluh kecil.
“Tak perlu minta maaf abang. Bukan kesalahan abang. Perkara tu memang hak abang, hak kita bersama.” Masnita Afeeda mengeratkan lagi pautan jemarinya pada jemari suaminya. Tiada apa yang perlu dikesalkan atas apa yang terjadi. Dia sangat gembira dengan penyatuan mereka semalam.
“Macam mana kalau sesuatu terjadi pada awak nanti?” Encik Annzarul bertanya. Wajahnya masih terpancar riak bersalah.
“Makdsud abang?” Masnita Afeeda menyoal semula.
“Kalau awak mengandung macam mana?” Encik Anzarul lambat-lambat bersuara juga. Masnita Afeeda sedikit tersentak.
“Abang tak suka ke kalau Nita mengandung?” Masnita Afeeda menyoal.
“Macam mana dengan Azlan?” Soal Encik Annzarul berkenaan lelaki yang selalu dirunsingkannya itu. Dahi Masnita Afeeda makin berlipat mendengar nama Azlan dikaitkan dalam hidup dia dan suaminya.
“Orang tak nak sebab orang Nita bersedih. Orang takde niat nak pisahkan Nita dengan Azlan. Kalau..” Belum sempat Encik Annzarul menghabiskan kata-katanya Masnita Afeeda sudah menutup bibir itu dengan telapak tangannya. Wajah suaminya dipandang tepat.
“Azlan takde kena mengena dalam rumah tangga kita. Nita ada abang, abang ada Nita. Kenapa mesti abang nak kaitkan dengan orang lain?” Wajah Masnita Afeeda bertukar sayu saat ini. Masih tiadakah rasa cinta dihati suaminya itu buatnya.
“Bukan ke Nita sukakan Azlan?” Encik Annzarul bertanya.
“Apa abang cakap ni? Azlan tu cuma kawan sepejabat Nita. Nita sayangkan abang. I love you.” Tekan Masnita Afeeda. Berharap Encik Annzarul benar-benr mengerti dengan perasaannya itu. Dia tidak faham kenapa suaminya itu mengaitkan dirinya dengan Azlan.
“Tapi…” Encik Annzarul tidak jadi meneruskan kata. Adakah dia yang tersilap selama ini? Benarkah isterinya itu tidak pernah berkasih dengan pekerja bawahannya itu?
“Abang ingat Nita dengan Azlan selama ni….” Masnita Afeeda tidak menghabiskan ayatnya. Matanya membulat memandang wajah suami dihadapannya. Balasan pandangan dari mata suaminya itu menjelaskan lagi maksud dihatinya. Suaminya itu salah sangka selama ini tentang hubungannya dengan Azlan.
“Abang, Nita dah jatuh suka dekat abang sejak hari pertama Nita buatkan air kopi untuk abang tu lagi. Azlan dengan Nita takde apa-apa. Kami hanya kawan. Azlan tu kekasih kawan serumah Nita, Saufia. Diorang dah nak bertunang pun hujung tahun ni.” Masnita Afeeda melepaskan nafas panjang selepas bercerita. Tak sangka selama ini suaminya itu salah faham tentangnya dan Azlan.
Encik Annzarul tertunduk. Malu kerana apa yang disangkanya selama ini tidak benar. Dia ingat Masnita Afeeda tidak menyenangi perkahwinan antara mereka. Pengakuan cinta isterinya tadi sejak peristiwa membancuh kopi membuatkan hatinya berbunga. Dia sendiri jatuh cinta pada gadis itu sejak peristiwa itu.
“Err… Jadi kita macam mana?” Encik Annzarul bertanya bodoh. Dia menggigit bibir. Tidak tahu kenapa itu yang terkeluar dari mulutnya.
“Abang tak nak Nita ke?” Masnita Afeeda bertanya tanpa berlapik.
“Errr…” Encik Annzarul tidak tahu menjawab apa.
“Nita tak kira. Sekali Nita dah jatuh cinta, selamanya Nita akan setia. Nita takkan benarkan abang tinggalkan Nita. Ni, tak lama lagi Nita akan mengandung kalau diizinkan ALLAH. Nita nak abang bertanggungjawab. Abang tak boleh tinggalkan Nita. Nita nak abang temankan Nita dalam perjalanan hidup Nita ni.” Masnita Afeeda mengugut Encik Annzarul.
Terkedu Encik Annzarul mendengar kata-kata isterinya itu. Wajah isterinya itu kelihatan memerah sedikit.
“Abang sayang Nita tak?” Masnita Afeeda bertanya dengan muka tegas seolah mengugut. Bahu suaminya dipaut kuat.
“Sayang…” Encik Annzarul menggangguk laju. Takut dengan wajah isterinya yang kelihatan menyinga.
“Bagus kalau macam tu sebab Nita pun sayangkan abang sangat-sangat.” Masnita Afeeda tersenyum kecil. Kemudian tubuh suaminya dipeluk erat. Selimut yang dipegang dengan sebelah tangannya tadi sudah terlondeh entah ke mana. Dia tidak menghiraukannya lagi.
“Satu lagi… Nita nak abang bahasakan diri abang ‘abang’ mulai saat ni. Nita tak nak abang sebut orang lagi.” Masnita Afeeda sempat mengingatkan suaminya itu sebelum dia merapatkan lagi tubuhnya dengan tubuh sasa suaminya.
Encik Annzarul turut membalas pelukan hangat isterinya itu kemudiannya. Sekali lagi mereka berdua hanyut bersama perasaan yang pasti antara keduanya. Pelayaran kali ini sangat bermakna kerana kedua-duanya yakin yang mereka tercipta untuk melengkapi antara satu sama lain dalam perjalanan hidup diatas muka bumi ini. InsyaALLAH.
+++++++++++++++++++++++++++
“Sayang buat apa tu?” Encik Annzarul melangkah masuk ke dalam ruang bilik. Lamunan panjang Masnita Afeeda terus melayang pergi. Dia tersenyum kepada suaminya yang sudah duduk disisinya diatas katil.
“Belek gambar lama?” Tangan Encik Annzarul turut menyelak album gambar yang berada diatas katil. Masnita Afeeda mengangguk kecil sambil tersenyum.
“Annur mana bang?” Soal Masnita Afeeda tentang puteri mereka itu.
“Seronok main dengan sepupu-sepupu dia.” Maklum Encik Annzarul. Masnita Afeeda tersenyum mengingatkan ketiga-tiga anak kakaknya. Rifqin sudah darjah satu. Yang kedua Afiana berusia empat tahun dan yang bongsu Rasya, satu tahun. Meriah rumah orang tuanya dengan keempat-empat cucu ibu dan abah.
“Kenapa sayang tak keluar? Along tanya tadi.” Encik Annzarul membuka ikatan dikepala Masnita Afeeda. Gulungan rambut itu jatuh separas bahu. Dia membelai lembut rambut yang berbau harum itu.
“Nita rasa letih sangat hari ni bang. Tak tahu kenapa.” Jawab Masnita Afeeda sambil membuat muka simpati. Encik Annzarul tersenyum lagi.
“Penat ke? Kesian isteri abang.” Encik Annzarul meletakkan tangannya dibahu isterinya. Bahu itu diurut dan dielus lembut.
“Nita okeylah.” Masnita Afeeda bangun mengelak. Sebenarnya dia geli diperlakukan begitu. Dia kemudian menyusun semula album gambar tadi ke dalam almari. Encik Annzarul hanya duduk memerhati perbuatan isterinya itu dengan senyuman yang tak lekang dari tadi.
“Abang nak minum kopi? Nita buatkan.” Masnita Afeeda memandang suaminya sambil berdiri.
“Tak nak.” Encik Annzarul menggeleng. Kepalanya disandarkan pada katil.
“Abang ni peliklah. Masuk hari ni dah tiga hari abang tak minum kopi Nita. Kalau tak, selalu tu sampai nak mandi pun dengan kopi.” Masnita Afeeda sengaja menyindir. Dia pun naik pelik sejak balik ke JB hari Selasa haritu, suaminya langsung tidak mahu minum kopi sampai lah ke hari ni.
“Abang tak boleh nak minumlah. Bau busuk kopi tu. Kuat sangat baunya. Nita ada tambah resepi lain ke?” Encik Annzarul berkata dengan muka dikerutkan menggambarkan ketidakselesaannya dengan bau kopi buatan isterinya.
“Abang cakap kopi Nita buat busuk?” Masnita Afeeda menjegilkan mata dan bercekak pinggang dihadapan suaminya. Berpura-pura marah. Suaminya memang pelik sampai kopi kesayangan dia tu pun dah dikata busuk.
“Abang sakit ke?” Masnita Afeeda rapat ke katil dan meletakkan telapak tangannya didahi dan tengkuk Encik Annzarul. Takut juga suaminya itu demam sampai minum kopi pun tak mahu.
“Abang okay jelah.” Encik Annzarul menolak tangan suaminya. Tubuh isterinya ditarik duduk dipangkuannya. Wajah itu dipandang dengan pandangan redup. Dia makin merapatkan wajahnya pada wajah isterinya.
“Abang ni, Annur masuk bilik karang.” Masnita Afeeda berpaling dan menampar dada Encik Annzarul manja. Malu juga kalau anak mereka terlihat adegan mesra semacam suaminya itu.
Encik Annzarul menyeringai geram apabila keinginannya ditolak isterinya.
“Sayang ni, masuk hari ni dah tiga hari abang puasa tau!” Encik Annzarul berkata dengan nada merajuk. Wajahnya dimasamkan. Masnita Afeeda tergelak dengan reaksi suaminya itu.
“Nita penatlah bang. Lagi pun ni dekat kampung. Malulah.” Masnita Afeeda berkata manja. Cuba memujuk hati suami yang penasaran. Dia sendiri tak tahu kenapa sejak dua menjak ni dia jadi letih benar. Sampai keinginan suaminya itu pun tak dapat dipenuhi.
“Sayang ni, rumah abah ni bukan rumah papan. Batu ni.” Encik Annzarul berkata sambil mengetuk dinding batu dibelakangnya. Bibirnya makin dimuncungkan. Makin galak Masnita Afeeda tergelak.
“Abang ni mengarut betullah.” Masnita Afeeda menampar bahu suaminya. Ada pulak cakap macam tu. Dia yang jadi malu.
“Nanti-nantilah dulu. Abang, kita nak balik KL bila ni?” Masnita Afeeda sengaja mengalih topik perbualan. Suaminya itu bukan boleh dilayan. Semakin hari semakin pelik perangai dia.
Perangai dinginnya yang dulu sudah hilang pergi. Warga Sinar Holding turut bergembira dengan perubahan bos mereka itu. Mereka berterima kasih kepadanya sebab mampu mengubah sikap Encik Annzarul. Mengenangkan itu, Masnita Afeeda tersenyum sendiri. Dia bersyukur suaminya itu berubah menjadi lebih baik. Alhamdulillah.
“Tu apa senyum sorang-sorang tu?” Encik Annzarul memetik jari dihadapan wajah isterinya. Orang merajuk-rajuk dekat sini dia boleh berangan pula. Gerutu hati Encik Annzarul.
‘Ish baru puji sikap Tongue Killer dia dah hilang, dah datang balik dah. Abang ni kan… Tapi kenapa aku tengok perangai si Annur tu macam dia yang cold tu? Ish janganlah anak aku tu ikut perangai ayah dia ni. Anak mama jangan buat perangai macam ayah tau.’ Masnita Afeeda berbisik dalam hati. Kepalanya tergeleng menafikan sangkaannya tadi.
“Sayang ni mengelamun banyak.” Encik Annzarul berkata kuat menyedarkan lamunan isterinya. Masnita Afeeda tersengih-sengih disergah begitu.
“Anak abang tu mana? Nak tidur dengan nenek dengan wan dia lagi ke? Nita rindulah nak tidur dengan anak kita tu bang.” Masnita Afeeda menyoal tentang Annur Mardhiah. Kalau balik JB, Annur Mardhiah asyik berkepit dengan nenek dan wannya itu sahaja.
“Anak je dia rindu. Habis abang ni?” Encik Annzarul masih dengan nada rajuk. Masnita Afeeda tersenyum kecil dengan gelagat suaminya itu.
“Alah busuk-busuk sayang ayang ni.” Masnita Afeeda mengelus manja pipi suaminya. Akhirnya Encik Annzarul tersenyum juga apabila dipujuk rayu oleh isterinya itu. Masnita Afeeda memang manja. Tubuh isterinya dipeluk erat serasa tidak mahu dilepaskan.
++++++++++++++++++++++++
“Mama, adik nak adik macam adik Rasya boleh?” Pertanyaan lembut Annur Mardhiah itu menyebabkan Masnita Afeeda tersedak dimeja makan. Wajah ahli keluarganya yang sedang menikmati sarapan pagi bersama juga turut tergamam dengan soalan spontan anak kecil itu.
“Tengok tu angah. Budak kecil pun tahu nak ahli keluarga baru.” Abah tersenyum bersuara. Yang lain ikut tersenyum.
“A’ah kan angah.” Asyril Afeeq menambah pula.
“Ingat angah tak nak ke? Mestilah nak.” Masnita Afeeda bersuara. Kedengaran sedikit membentak. Encik Annzarul disisinya mengurut belakang isterinya yang tersedak tadi.
“InsyaALLAH abah, ibu kalau ada rezeki. Mungkin sekarang bukan rezeki kami.” Encik Annzarul mengendurkan semula ketegangan yang wujud dari riak isterinya tadi. Dia tahu isterinya sangat ingin menambah cahaya mata.
“Abah bukan apa. Hal-hal anak ni janganlah dirancang, ditahan-tahan. Rezeki yang ALLAH nak bagi kita terima.” Kata-kata abah melegakan sedikit hati Masnita Afeeda. Benar juga kerisauan abahnya itu. Mungkin dia ingat aku dan abang merancang agaknya. Yelah, Annur Mardhiah sudah nak masuk empat tahun pun.
Masnita Afeeda menjeling sekilas wajah alongnya. Wanita itu kelihatan terkulat-kulat. Riak abang long juga sama. Dia tahu mereka berdua memang merancang dalam hal anak-anak. Mujur ibu dengan abah tidak mengetahuinya. Jika tidak, habislah bengkak telinga kena leter dengan ibu dan abah. Namun perancangan mereka tak pernah menjadi. Ada sahaja rezeki mereka. Aku ni yang nak anak sangat takde rezeki lagi. Apalah nak buat. Masnita Afeeda berkata sendirian.
“InsyaALLAH abah, kalau ada rezeki ada lah. Kalau boleh angah nak anak biar ramai sampai sepuluh orang. Barulah meriah rumah abah ni.” Masnita Afeeda sudah mampu tersenyum semula.
“Amboi minta sepuluh. Larat ke jaga nanti. Ni yang sorang ni pun dah macam-macam mengadunya dekat ibu.” Ibu ambil bahagian mengenakan Masnita Afeeda. Masnita Afeeda memuncungkan bibirnya apabila diketawakan oleh adik beradiknya. Encik Annzarul turut ikut serta.
Dia akui dia selalu juga mengadu dengan ibu kalau Annur Mardhiah ada buat perangai degil. Memang anaknya itu degil. Banyak ikut ayahnya. Kadang-kadang kalau buat salah tu buat muka tak bersalah je. Huhu, nasiblah dia.
"Angah, tengah hari ni angah pergi mana? Along nak pinjam kereta kejap boleh?" Marziana Afeena yang diam tadi bersuara.
"Along nak pergi mana?" Soalan berbalas soalan.
"Pergi rumah mak cik abang long ni dekat Tangkak. Kereta abang long tu rosak." Marziana Afeena membalas.
"Along tanyalah abang Zarul. Tu bukan kereta angah. Angah okay je." Masnita Afeeda meleret pandangan pada suami disisi.
"Guna jelah along, abang long. Kami pun tak ke mana." Encik Annzarul memberi persetujuan.
"Terima kasih Zarul." Marziana Afeena membalas senyuman adik iparnya itu.
"Afeeq nak ikut along boleh?" Asyril Afeeq menyampuk dihujung meja.
"Abang long memang ingat nak bawak abah, ibu dengan adik sekalilah." Raqib bersuara. Panggilan manja untuk adik iparnya yang bongsu itu masih tidak dapat dipisahkan.
"Eh along, abang long. Habis angah dengan abang Zarul macam mana?" Masnita Afeeda mempamerkan wajah resah gelisah. Dia suami isteri hendak ditinggalkan?
"Alah, angah duduk jelah rumah dengan Zarul. Bila lagi nak berdua dengan Zarul kan?" Marziana Afeena tersengih mengusik. Masnita Afeeda mencebik. Encik Annzarul pula sudah tersenyum penuh makna.
"Betul jugakkan tu along." Encik Annzarul gelak. Masnita Afeeda dengan pantas menghadiahkan cubitan kecil pada lengan suaminya. Menyeringai kesakitan lelaki itu. Riuh meja makan pagi itu dengan gelak ketawa seluruh ahli keluarga.
Kini tinggal Encik Annzarul berdua dengan Masnita Afeeda. Yang lain turut sama mengikut Marziana Afeena sekeluarga. Annur Mardhiah juga tidak mahu berenggang dengan adik Rasya nya. Itu katanya tadi sewaktu dipujuk oleh mamanya untuk tinggal dirumah.
"Abang, Nita boringlah. Jom bawak Nita pergi jalan-jalan." Masnita Afeeda merengek manja pada suaminya yang leka menonton siaran TV. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 3.15 petang.
"Pergi mana? Duduk jelah dekat rumah. Panaslah dekat luar tu." Encik Annzarul menolak ajakan isterinya itu.
"Abang ni, boring tau duduk-duduk macam ni je. Nak jugak ada aktiviti." Masnita Afeeda merungut sambil memasamkan muka. Tangan suami yang dipegangnya tadi dilepaskan.
"Sayang nak beraktiviti? Jom..." Encik Annzarul menarik tangan isterinya sambil tersenyum nakal.
"Abang ni, fikiran kotor." Marah Masnita Afeeda. Lengan suaminya ditampar kuat. Tak habis-habis benda yang satu tu yang dia fikir. Ish geram jelah dengan abang ni. Rungut hati kecil Masnita Afeeda dengan usikan nakal suaminya itu.
"Habis nak buat apa lagi. Kita main tenung-tenung mata nak?" Enck Annzarul mendepani wajah isterinya. Alis matanya digerak-gerakkan memandang Masnita Afeeda.
"Abang ni jangan buat lawak antarabangsa dekat sini. Kita bukan budak-budak tau." Sekali lagi Masnita Afeeda menghadiahkan tamparan kuat pada tubuh suaminya. Encik Annzarul mengaduh kuat. Memang pedih telapak tangan isterinya itu kalau dah bagi penampar.
"Semua ayang tak nak? Habis nak buat apa?" Encik Annzarul sudah berpeluk tubuh. Runsing juga melayan kerenah isterinya itu.
"Boringlah layan abang ni. Nita nak pergi masaklah." Masnita Afeeda bingkas bangun dari sofa. Dia menolak lembut bahu suaminya.
"Pergilah. Mahirkan lagi skill memasak sayang tu. Biar class macam ibu." Ujar Encik Annzarul dengan nada sindiran. Sengaja mahu mengusik.
"Abang jangan. Nanti hari-hari mimpikan air tangan Nita ni tau." Masnita Afeeda menjerit dari pintu dapur. Geram juga di perli begitu.
Encik Annzarul kembali menatap peti tv. Dia tersenyum sendirian mengingatkan usikan nakalnya tadi.
"Abang!" Masnita Afeeda menjerit memanggil suaminya. Terkocoh-kocoh Encik Annzarul berlari ke dapur.
"Kenapa yang?" Tanya Encik Annzarul kalut. Tubuh isterinya dibelek dari atas ke bawah. Bimbang ada kecedaraan pada isterinya itu.
"Abang, minum petang dah siap." Masnita Afeeda mempamerkan barisan gigi putihnya. Tangan kanannya diangkat mempamerkan tanda peace pada suaminya.
Encik Annzarul mencekak pinggang. Berlelahdia berlari ke sini, rupanya dipermainkan begitu. Ada sahaja modal isterinya itu mahu mengenakannya.
"Sayang ni, buat terkejut abang je tadi tau!" Encik Annzarul mendengus kecil.
"Alah abang ni. Jom makan ye. Sedap tau Nita masak ni." Masnita Afeeda memaut lengan suaminya yang sudah memuncung bibirnya itu. Tubuh sasa lelaki itu dibawa duduk di meja makan. Encik Annzarul hanya menurut.
"Air kopi?" Encik Annzarul bertanya dengan seribu kerutan didahi.
"Yelah kopi. Ni kan air kesukaan abang." Masnita Afeeda berkata. Tangannya tetap menuang kopi pekat ke dalam cawan Encik Annzarul.
"Abang tak naklah. Pening bau dia." Encik Annzarul menolak jauh cawannya.
"Abang, Nita dah buat penat-penat ni. Abang minum jelah. Ni kan air kesukaan abang." Masnita Afeeda seperti berjauh hati. Penat-penat dia memasak untuk suaminya itu, langsung tidak dihargai.
"Okey-okey. Abang minum." Encik Annzarul menarik kembali cawan kopinya. Melihat wajah mendung isterinya tadi membuatkan dia tidak sampai hati mengikut rasa tekaknya yang tidak mahu menerima air kopi. Bantai jelah. Ni kan air kegemaran aku sejak dulu.
Encik Annzarul menyedapkan hatinya walaupun dia terasa loya saat cawan itu dekat pada wajahnya. Dia masih berbelah bagi untuk meneguk air kopi buatan isterinya itu. Riak isterinya yang teruja menunggu komen darinya membuatkan dia tidak jadi untuk menolak dari mencicip kopi pekat itu.
Kepala Encik Annzarul makin pusing apabila aroma kopi pekat itu betul-betul pada lubang hidungnya. Air kopi sikit saja lagi akan mencecah bibirnya. Encik Annzarul memejam mata dan menahan nafas. Dengan lafaz bismillah dia cuba menelan.
Gawat! Apabila hampir-hampir air kopi menerjah ruang mulutnya, perutnya terasa memulas. Tanpa pamitan, Encik Annzarul berlari laju ke sinki dan memuntahkan isi perutnya yang terisi dengan hidangan makan tengah hari tadi.
Masnita Afeeda yang kalut dan terpinga dikerusi tadi bergerak mendapatkan suaminya yang lelah di tepi sinki. Dia mengurut belakang suaminya. Wajah lelaki itu kelihatan pucat dan tidak bermaya saat perutnya sudah tiada isi untuk dikeluarkan lagi.
"Abang..." Masnita Afeeda mengurut perlahan batang tengkuk suaminya.
"Abang minta maaf sayang. Abang memang tak boleh minum air kopi sayang tu." Encik Annzrul berkata lemah. Masnita Afeeda memimpinnya ke ruang tamu.
"Nita minta maaf bang. Tak sangka abang memang alah terus dengan kopi." Masnita Afeeda terasa bersalah. Dia yang beria memaksa lelaki itu minum tadi. Tubuh suaminya dibaringkan diatas sofa. Minyak cap kapak disapu ke dahi dan sekeliling tengkuk suaminya itu.
"Nita bawa abang pergi klinik ya. Nita risau sangat ni." Wajah Masnita jelas kebimbangan.
"Sikit je ni. Kejap lagi baiklah pening abang ni." Encik Annzarul menolak cadangan isterinya itu.
"Sikit abang cakap? Kalau abang ada penyakit bahaya macam mana? Macam mana dengan Nita dengan Annur nanti?" Masnita Afeeda berkata geram. Sakit-sakit pun masih degil suaminya itu.
"Sayang ni fikir jauh sangat. Ada pulak sampai ke situ. Abang takde apa-apalah. Abang okey." Encik Annzarul rasa mahu tergelak. Isterinya itu selalu bimbangkan perkara yang belum terjadi. Jauh kedepan pulak tu fikiran dia.
"Mana boleh, ini soal masa depan Nita. Abang tetap kena ikut Nita pergi klinik." Masnita Afeeda sudah membuat keputusan.
"Yelah, abang ikut cakap sayang." Mengalah juga akhirnya Encik Annzarul. Berbalah dengan isterinya itu tidak akan memberi kemenangan kepadanya.
Masnita Afeeda mencapai handphonenya yang terletak elok diatas meja kopi. Encik Annzarul hanya memerhati isterinya itu bercakap di talian. Gerangan siapa yang ditelefon oleh isterinya itu langsung tidak diketahui. Butir bicara isterinya itu juga tidak jelas ditelinganya kerana kepalanya terasa begitu sakit sekali.
Lima belas minit kemudian, Zalmi anak Mak Cik Onah rumah hujung tiba bersama kereta Proton Saga FLnya diperkarangan rumah abah. Masnita Afeeda dan Zalmi sama-sama memapah Encik Annzarul ke kereta. Selepas itu, kereta itu terus bergerak ke klinik berdekatan.
++++++++++++++++++++++++++++
Masnita Afeeda mengucapkan terima kasih kepada Zalmi kerana sudi membantunya tadi saat mereka tiba kembali di rumah abah.
"Tahniah ye korang." Zalmi berkata ramah.
"Terima kasih." Balas Masnita Afeeda dan Encik Annzarul serentak. Kemudian Zalmi terus memecut laju menuju ke rumahnya.
Tiba dihadapan pintu, terjengul wajah Annur Mardhiah bersama sebatang ais krim pop ditangan.
"Eh, anak mama dah balik?" Masnita Afeeda menyapa anaknya. Tidak perasan dia tadi yang ahli keluarganya sudah pulang kerana MPV Toyota Wish milik suaminya masih tiada diperkarangan rumah.
"Mama dengan ayah pergi mana?" Annur Mardhiah menyoal dalam pelatnya. Wajah pucat ayah yang dipimpin oleh mamanya dipandang lama.
"Jom masuk sayang. Ayah sakit ni." Masnita Afeeda menyerahkan sebelah tangan suaminya pada anaknya. Meminta si kecil itu membantu memimpin tangan ayahnya. Annur Mardhiah hanya menurut. Mereka bertiga melangkah bersama masuk ke dalam rumah.
"Eh, Zarul kenapa tu angah? Abah yang enak duduk disofa bertanya anaknya. Risau dia melihat wajah pucat menantunya itu.
"Tak sihat ni abah. Baru balik dari klinik." Masnita Afeeda memberitahu sambil melabuhkan tubuh suaminya disofa berangkai dua. Dia turut duduk disebelah lelaki itu.
"Along mana?" Tanya Masnita Afeeda sambil membuka tudungnya. Encik Annzarul hanya menyandar di sofa sambil memejam mata. Annur Mardhiah dari tadi mengelus pipinya. Bijak anak itu menunjukkan simpati.
"Tengok kereta dia dekat workshop." Kata abah. Masnita Afeeda hanya mengangguk.
"Sini dekat wan adik. Jangan kacau, ayah sakit tu." Abah memanggil Annur Mardhiah. Dia tak nak cucunya itu mengganggu Encik Annzarul.
"Takpe bah. Annur tak kacau pun." Encik Annzarul bersuara perlahan. Annur Mardhiah menyandar kepalanya dilengan ayahnya. Seronok dibela oleh ayahnya itu. Abah hanya menggeleng melihat tingkah cucunya itu.
"Angah masak ke bubur tu?" Ibu yang muncul dari dapur bertanya.
"A’ah bu." Masnita Afeeda menjawab pendek.
"Tak berusik pun tu kenapa?" Tanya ibu lagi.
"Tadi tengah nak makanlah tu, tiba-tiba je abang Zarul muntah. Ibu hidanglah dekat abah." Terang Masnita Afeeda.
"Dah doktor cakap apa pasal Zarul tu?" Ibu duduk ditepi abah.
"Sakit main-main." Masnita Afeedatergelak semasa berkata. Ibu dan abah sama-sama mengerutkan dahi.
"Sakit main-main apa?" Soal abah pula. Masnita Afeeda menjeling wajah suaminya yang membuka mata. Mereka berbalas senyuman.
"Abang ni, alahan pulak." Masnita Afeeda malu-malu memberitahu.
"Alahan?" Abah dan ibu bertanya serentak. Masih tidak faham dengan maksud kata-kata anaknya itu.
"Alahan, abang tak boleh nak minum air kopi yang angah buat dekat dapur tu." Sambung Masnita Afeeda lagi.
"Alah? Eh bukan ke kopi tu kegemaran si Zarul tu? Macam mana boleh alah pulak pada kopi tu?" Tanya ibu pelik. Masnita Afeeda semakin melebarkan senyumannya. Menambahkan lagi sejuta kedutan pada dahi kedua orang tuanya.
"Alahan sebab, tak lama lagi...." Masnita Afeeda meleretkan katanya. Dia tersenyum sambil memandang wajah suaminya yang sudah menegakkan badan.
"Betul ni angah? Alhamdulillah, murah rezeki kamu berdua." Ibu mengucap syukur. Abah juga tersenyum gembira dengan perkhabaran itu.
"Macam manalah Zarul kena alahan sampai tak boleh minum kopi?" Ibu berkata perlahan. Pelik juga dia dengan alahan yang dialami oleh menantunya itu. Patutlah sejak diorang datang dah tak nampak kopi atas meja tu waktu sarapan. Detik hati ibu.
"Agaknya baby dalam perut ni tahu mama dia tak suka ayah dia minum kopi. Tu dia sokong mama dia tu." Seloroh Masnita Afeeda sambil mengusap perutnya yang masih kempis.
"Terpaksalah abang puasa air kopi dalam tujuh bulan ni." Encik Annzarul berkata perlahan. Abah dan ibu tergelak kecil.
"Nasib abanglah. Seronok Nita hari-hari." Masnita Afeeda berkata dengan riak bangga. Seronok juga tidak perlu menyediakan kopi untuk suaminya itu. Encik Annzarul menjuihkan bibirnya tidak puas hati.
"Pergi bawa Zarul rehat dalam bilik ngah. Pucat lagi muka dia tu." Ibu megarahkan anaknya membawa menantunya rehat dibilik. Kasihan melihat keadaan Encik Annzarul yang tidak bermaya.
"Angah masuk dalam dulu ibu, abah." Masnita Afeeda meminta diri. Tubuh suaminya dipapah menuju ke bilik ditingkat atas. Annur Mardhiah turut sama membantunya menuntun tangan si ayah. Tersenyum Masnita Afeeda dengan keletah anaknya itu
++++++++++++++++++++++++++++
"Sayang, tujuh bulan ni abang kena puasa ke?" Encik Annzarul menempelkan tubuhnya dibelakang isterinya yang sedang melipat kain diatas katil.
"Yelah, abang kenalah puasa dari minum kopi kegemaran abang tu. Abang kan cakap kopi Nita buat tu busuk." Masnita Afeeda meleretkan bicaranya. Mahu menyindir suaminya itu.
Encik Annzarul buat muka tak terkesan dengan tutur kata isterinya itu. Hujung rambut isterinya dipintal-pintal halus. Sebenarnya maksud puasa dihatinya adalah benda lain. Dia tersenyum nakal.
"Maksud abang, 'puasa' yang tulah.Takkan abang nak kena puasa tujuh bulan kot?" Encik Annzarul beralih ke sisi isterinya. Dia berbaring ditilam, mudah untuk melihat wajah isterinya.
"Puasa apa abang ni?" Masnita Afeeda bertanya pelik. Dahinya berkerut.
"Erm, sayang tu. Pasal alahan sayang tulah. Patutlah sejak dua menjak ni tak nak layan abang." Sungut Encik Annzarul. Masnita Afeeda baru dapat menangkap maksud suaminya itu.
"Oh, pasal tu ke?" Masnita Afeeda sengaja mempamerkan senyum menggoda. Sengaja mahu menggeletek perasaan suaminya.
"Nampak gaya macam tulah. Nita takut nanti Nita muntah-muntah pulak bila abang nak dekat-dekat." Mansita Afeeda senyum mengusik.
"Sayang, mana abang dapat tahan macam tu. Tujuh bulan tau!" Encik Annzarul menggigit perlahan lutut isterinya yang berada dekat diwajahnya.
"Sakit tau abang ni." Masnita Afeeda menyeringai kecil. Dia menggosok tempat gigitan suaminya itu. Nakal betul abang ni. Hish!
"Abang, nanti anak kita ni nak letak nama apa?" Masnita Afeeda mengalih perbualan. Perutnya diusap penuh kasih. Encik Annzarul turut menjalarkan tangannyapadaperut isterinya itu. Dia teruja pula dengan perbincangan mengenai anak ini.
"Nita kalau boleh nak anak lelaki." Tambah Masnita Afeeda riang.
"Abang pun nak anak lelaki. Kalau anak lelaki ni abang nak letak nama..." Tak sempat menghabiskan kata Masnita Afeeda sudah memotong.
"Abang, tak adil. Hari tu abang dah letak nama. Kali ni biarlah Nita pulak yang bagi nama baby ni." Masnita Afeeda cemberutkan wajahnya.
"Sayang ni, bagilah abang dulu. Nanti anak yang ke tiga keempat dan seterusnya abang bagi dekat sayang nak letak nama apa pun." Ujar Encik Annzarul.
"Takde-takde. Nita tak kira Nita nak juga bagi nama dia." Masnita Afeeda sudah menolak tangan Encik Annzarul yang berlingkar dipinggangnya. Sengaja menunjukkan protes.
"Okey, abang bagi peluang dekat sayang. Kalau anak lelaki abang bagi chance sayang yang bagi nama. Kalau anak perempuan, biar abang yang bagi nama. Deal?" Encik Annzarul bertolak ansur. Lama terdiam akhirnya Masnita Afeeda mengangguk kepala tanda setuju.
"Nita dah terfikir nama ni lama dah. Sebelum Annur lahir lagi. Nita nak letak nama anak lelaki kita Rasyqil Aneef." Masnita Afeeda tersenyum.
"Kenapa nak mula dengan 'R'? Kenapa tak macam Annur?" Soal Encik Annzarul. Dia kini meletakkan kepalanya dipaha isterinya. Masnita Afeeda membelai lembut rambutnya.
"Nama abang kan ada 'R'? Annur kan mula dengan pangkal nama abang yang depan, so lelaki kita mula dengan nama abang yang Rasyidi tu. Okey tak?" Masnita Afeeda meminta pendapat suaminya.
"Erm, kenapa tak nak mula dengan nama sayang pulak?" Encik Annzarul bertanya.
"Abangkan imam Nita, so kenalah abang yang mulakan semuanya dulu." Masnita Afeeda menghadiahkan ciuman kudus didahi suaminya. Menyampaikan rasa cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap lelaki itu.
"Terima kasih sayang. Abang terharu sangat. Malam ni bolehlah abang...." Encik Annzarul berjeda. Segaris senyuman nakal terukir cantik dibibirnya.
"Jangan nak mengada. Nita penat tau. Badan abang dahlah berat masa Nita angkat tadi." Masnita Afeeda menampar perlahan pipi suaminya. Wajahnya dimasamkan. Memang tak habis-habis Encik Annzarul dengan permintaannya yang satu tu. Gatal terlebih. Dia pulak yang terlebih hormon. Sungut Masnita Afeeda didalam hati.
"Sayang ni sampai hati tau buat abang penasaran macam ni." Encik Annzarul pula yang menarik muka rajuk. Terkilan juga dia sudah empat hari berturut-turut ditolak iserinya tu.
"Kita dekat rumah abahlah. Nita malu." Masnita Afeeda memberitahu. Memang dia segan sebenarnya pun.
"Alasan." Encik Annzarul sudah bingkas dari baringannya. Wajah isterinya itu dipandang tajam. Melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
"Abang ni, tunggu balik KL lah." Masnita Afeeda memaut lengan suaminya yang mahu turun dari katil.
"Abang tak nak dengar.." Encik Annzarul menutup telinganya. Masih mahu merajuk dia. Dia sudah berdiri disisi katil.
"Abang... Okeylah Nita bagi chance kat abang malam ni." Akhirnya Masnita Afeeda terpaksa mengalah. Kasihan juga melihat wajah kecewa suaminya itu. Bukan dia sengaja menolak, tapi dia memang terasa letih tersangat. Mungkin kesan pembawakan bayi.
Encik Annzarul sudah tersenyum ceria memandang wajah Masnita Afeeda. Perlahan-lahan dia memanjat katil semula ingin merapati tubuh isterinya.
"Sebelum tu abang kena kemas baju ni dulu." Masnita Afeeda menunjuk pada susunan baju yang dilipatnya tadi. Encik Annzarul mengeluh kecil. Terbantut keinginannya seketika.
"Ada je sayang ni tau." Rungut Encik Annzarul. Namun dia tetap bangun mengangkat pakaian yang berlipat dan dimasukkan ke dalam almari. Selesai semua, dia sudah bersedia mahu melompat ke atas katil semula. Belum sempat, terdengar bunyi ketukan dari luar pintu.
'Siapa lagi yang mengganggu malam-malam ni.' Encik Annzarul tetap berjalan ke muka pintu. Tombol pintu ditariknya kasar.
"Eh sayang. Kenapa ni sayang?" Encik Annzarul mencangkung membelai kepala anaknya dimuka pintu. Wajah Annur Mardiah kelihatan mendung. Anak itu menenyeh-nenyeh matanya seperti mahu menangis.
"Adik nak tidur sama mama dengan ayah..." Pinta Annur Mardhiah. Bibirnya mencebik menahan tangis. Encik Annzarul menarik anaknya ke dalam pelukan. Tubuh itu didukungnya. Pintu bilik dikunci semula dari dalam.
"Kenapa ni sayang? Tak nak tidur dengan wan dan nenek ke?" Masnita Afeeda mengambil tubuh anaknya dari pegangan suaminya. Encik Annzarul turut duduk disebelah isterinya membelai tubuh Annur Mardhiah.
"Adik nak tidur dengan mama." Annur Mardhiah memeluk erat tubuh mamanya.
"Adik tidur dengan mamalah ni. Dah tak nak menangis. Adik baikkan? Anak mama ni pandaikan?" Masnita Afeeda memujuk lembut. Annur Mardhiah terangguk-angguk dalam pelukan mamanya.
Masnita Afeeda meneruskan mendodoi Annur Mardhiah. Encik Annzarul menutup suis lampu. Dibiarkan sebuah lampu kaki menyala ditepi katil. Dia turut menepuk-nepuk tubuh anaknya yang masih dipeluk isterinya.
Tak lama kemudian Annur Mardhiah sudah tertidur dibahu Masnita Afeeda. Encik Annzarul mengambil anaknya dan dibaringkan ditengah-tengah katil. Tubuh kecil itu ditepuk-tepuk lagi.
Senyuman kecil yang terbit dibibir Masnita Afeeda membuatkan hati Encik Annzarul menjadi geram.
"Sayang sukalah kan?" Encik Annzarul memerli. Dia tahu maksd senyuman isterinya itu, Tentu suka kerana tidak perlu melayannya kerana ada Annur Mardhiah antara mereka.
"Abang ni tak baik tau." Masnita Afeeda berbaring disebelah kanan anaknya. Encik Annzarul juga turut merebahkan tubuhnya di bahagian kiri Annur Mardhiah. Sebelah tangan mereka masih setia menepuk tubuh si anak. Mereka berpandangan antara satu sama lain.
Masnita Afeeda dengan senyuman sakatnya manakala Encik Annzarul dengan wajah kehampaan dan kebengangannya. Riak itu makin membuatkan Masnita Afeeda mahu tergelak. Tua-tua pun nak merajuk macam anak dia. Bisik hati kecil Masnita Afeeda.
"I love you abang." Masnita Afeeda menuturkannya dengan penuh romantis. Dia jujur tentang perasaannya yang satu itu terhadap Encik Annzarul. Wajah lelaki itu sudah tidak semasam tadi. Rajuk dihatinya terubat dengan pengakuan cinta si isteri yang tidak pernah jemu menyayanginya.
"Abang pun cintakan sayang." Encik Annzarul membalas perlahan. Bibirnya menghadiahkan senyuman pada si isteri yang merenung redup wajahnya.
Masnita Afeeda menggerakkan tubuhnya. Wajahnya dirapatkan pada wajah suaminya. Dia menghadiahkan ciuman pada pipi lelaki itu. Mereka berpandangan seketika. Setelah itu Masnita Afeeda mengucup lama bibir suaminya.
Encik Annzarul tersenyum ceria mendapat kucupan hangat dari bibir isterinya. Wajah Masnita Afeeda tiba-tiba jadi malu selepas mengucupnya tadi. Sedari awal perkahwinan mereka lagi, isterinya itu memang berani mengekspresikan perasaannya terhadap dirinya. Itu yang membuat Encik Annzarul rasa bertuah. Dicintai dan mencintai isterinya itu memang anugerah terindah.
"Selamat malam abang." Masnita Afeeda memejamkan mata. Sebelah tangannya dibiar terletak elok diatas perut Annur Mardhiah.
"Selamat malam sayang. Mimpi yang indah-indah." Encik Annzarul mencium dahi isterinya dengan lembut. Masnita Afeeda hanya tersenyum. Matanya tidak dibuka. Encik Annzarul tunduk mencium wajah anaknya pula.
"Selamat malam anak ayah, Rasyqil Aneef. Cepat besar ya sayang. Temankan mama, ayah dan kakak Nur nanti." Encik Annzarul memegang pula perut isterinya. Masnita Afeeda mencelikkan mata apabila mendengar suaminya menyebut nama anak pilihannya tadi. Dia gembira sekali. Moga-moga mereka mendapat anak lelaki. Doanya dalam hati.
“Terima kasih abang.” Ucap Masnita Afeeda penuh syahdu.
“Sama-sama.” Encik Annzarul membalas dengan senyuman. Dia menjatuhkan tangannya diatas jemari isterinya yang berada diatas perut anaknya. Jemari isterinya digenggam erat. Selimut tebal ditarik menutup tubuh dia sekeluarga. Kemudian dia turut memejamkan matanya.
Semoga cinta mereka terus kekal saat membuka mata keesokan harinya. Alhamdulllah, alhamdulillah, alhamdulillah.... Encik Annzarul berzikir perlahan. Itulah kebiasaannya sebelum tidur. Masnita Afeeda turut melakukan perkara yang sama.
‘Terima kasih kerana memberi aku pendamping di dunia dan bidadari di akhirat kelak. Semoga rasa cinta kami terus hangat sehangat kopi isteriku.’ Encik Annzarul berdoa kecil. Senyuman terakhir tergaris dibibir keduanya sebelum lena mereka membawa mereka ke sebuah syurga mimpi yang indah bersama.
apa cerita terbaru tntg bahagia bukan milik ku?
ReplyDeletebesh besh..pnjg n cukup rasa.
ReplyDelete>>k<<
Sangat menarik.
ReplyDeletebest... satu cerita yg menarik.
ReplyDeletebest jugak lh citer nier...
ReplyDeletewah...serius best..panjang tp memuaskan gile..hee.. mantap2..rasa complete je..skrg susah nk cari cite cam ni..keep it up..serius best
ReplyDeletePerkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
ReplyDeleteJika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)