BAB 2
Kisah Syafina dan Fahim bermula semenjak Syafina berada di Tingkatan Empat. Pada waktu itu Fahim sedang berada di tahun kedua pengajian peringkat diplomanya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketika itu Fahim sedang menghabiskan cuti semesternya di rumah.
Suatu hari Mak Long meminta Syafina untuk ke kedai membeli sedikit barang dapur. Tanpa banyak soal Syafina mengayuh basikal kepunyaan sepupunya untuk membeli barang-barang yang diperlukan di sebuah pasar mini berdekatan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, basikal yang dikayuh Syafina telah ditahan oleh beberapa orang lelaki yang kelihatan sebaya dengannya. Dia tidak mengenali budak-budak tersebut. Syafina cuba berlembut dengan mereka pada mulanya.
Empat orang lelaki itu mula bertindak berani dengan menarik tangan Syafina supaya turun dari basikal. Syafina mula melawan.
“Apa ni, tolong benarkan saya pergi.” Syafina sudah turun dari basikal. Dia berjaga-jaga dengan tindakan luar dugaan kumpulan lelaki tersebut.
“Cik adik ni. Marilah abang-abang ni temankan cik adik balik. Panas-panas kayuh basikal ni. Jom lah.” Seorang lelaki yang berambut sedikit kerinting berkata. Kawan-kawannya yang lain hanya tersenyum-senyum suka.
“Saya boleh balik sendirilah. Tolonglah jangan ganggu saya.” Syafina sudah berpeluh. Bimbang dipengapakan oleh mereka. Matanya meliar sekeliling kalau-kalau ada kelibat orang yang boleh membantu.
“Eh kami tak ganggu pun. Kami nak tolong je.” Seorang lagi lelaki bersuara. Kedua-dua tapak tangannya diangkat menunjukkan tanda yang dia tidak akan mengganggu.
Syafina teragak-agak untuk mengambil basikalnya yang dipegang oleh seorang lagi. Seperti mengerti lelaki itu menolak sedikit basikal itu rapat kepada Syafina.
“Ambillah. Awak nak saya tolong kayuhkan ke?” Kata lelaki tersebut. Kawan-kawannya tergelak sakan. Syafina terasa mukanya panas. Dengan pantas dia mencapai basikal itu dan ingin cepat-cepat beredar dari situ.
Ketika kakinya cuba mengayuh, terasa seperti ada yang menarik basikalnya dari belakang. Syafina mula berang dengan tindakan lelaki-leklaki tersebut.
“Apa ni. Lepaslah.” Syafina bersuara garang.
“Eh garangnya cik adik ni.” Salah sorang berkata. Yang lain seperti tadi seronok menggelakkan Syafina.
“Aku tampar korang nanti.” Bahasa Syafina sudah bertukar kasar.
“Wow, kuat ke nak tampar kitorang. Berani tamparlah.” Lelaki yang berambut sedikit kerinting itu mula mencabar Syafina.
Syafina sudah turun semula dari basikalnya. Mukanya garang memandang kmpulan tersebut.
“Korang tak malu ke kacau orang macam ni? Buat malu mak bapak je hantar korang pergi sekolah tapi perangai macam ni.” Syafina bercekak memandang mereka.
“Eleh poyolah dia ni. Macam bagus sangat. Suka hati kitoranglah nak buat apa pun.” Seorang lelaki yang sedari tadi berdiam diri mula bersuara. Panas juga hatinya apabila Syafina menyebut tentang mak bapak.
“Memanglah suka hati korang, tapi sekarang korang dah ganggu aku.” Kata Syafina berani.
“Ganggu? Kau nak kitorang ganggu kau ke? Nak?” Mereka mula mendekati Syafina. Syafina sudah teragak-agak. Liur yang ditelannya terasa kelat.
‘Ya Allah bantu aku.’ Hanya itu yang terdetik dihatinya. Dia tak tahu untuk menjerit kepada siapa.
Dari jauh Fahim yang sedang menunggang motosikal terperasan sekumpulan anak remaja ditepi jalan raya. Ada seorang gadis diantara mereka.
Gadis itu kelihatan tidak senang dengan kehadiran lelaki-lelaki yang bersamanya. Fahim memperlahankan motosikalnya.
“Tolong! Tolong!” Syafina mula menjerit apabila terlihat kelibat motosikal yang melalui kawasan itu. Lelaki-lelaki itu mula panik. Namun tangan Syafina masih digenggam oleh salah seorangnya.
Syafina cuba meronta melepaskan diri. Dalam hatinya meminta supaya motosikal itu berhenti untuk membantunya.
Fahim memberhentikan motosikalnya berdekatan dengan remaja-remaja tersebut. Belum sempat dia turun dari motosikal budak-budak lelaki itu sudah bertempiaran lari.
Fahim bersyukur. Mujurlah mereka lari, tak perlu dia bertumbuk dengan mereka. Bimbang juga satu lawan empat. Padah dia dikerjakan nanti oleh mereka.
Syafina melepaskan nafas lega. Lelaki yang membantunya tadi masih tidak kelihatan wajahnya kerana ditutupi dengan topi keledar yang dipakainya.
Fahim mendekati Syafina. Topi keledar dikepalanya ditanggalkan. Terkejut dia melihat Syafina yang berada didepan mata. Syafina juga begitu.
“Eh, Afin”.
“Along.” Sebut mereka serentak.
“Afin tak apa-apa ke?” Fahim menyuarakan kebimbangannya.
“Er..ok..terima kasih along sebab tolong saya.” Syafina bersuara perlahan. Tak sangka penyelamatnya adalah abang kawan baiknya.
“Siapa budak-budak tu? Afin kenal?” Tanya Fahim sedikit tegas.
“Tak kenal. Tiba-tiba je ganggu saya.” Jawab Syafina.
“Hurm..Ni dari mana? Kenapa lalu jalan ni? Bahaya tau jalan ni. Lain kali guna je jalan besar. Ramai orang. Kalau jadi apa-apa macam mana? Dah lah jalan sorang-sorang.” Fahim sudah mula memarahi Syafina.
“Er..saya nak sampai rumah cepat dari kedai depan tu. Tak sangka pulak jalan ni ada budak-budak tu.” Syafina terasa bersalah. Memang salah dirinya kerana gatal menggunakan jalan tu. Bukan Mak Longnya tidak berpesan tadi. Dia yang degil.
“Nasib baik along lalu sini tadi. Kalau tak tahulah.” Tukas Fahim lagi.
“Saya tak sangka benda ni nak jadi. Takpe lah along. Saya balik dulu. Nanti Mak Long risau pulak.” Suara Syafina bertukar sedikit sayu. Kenapa Fahim perlu memarahinya.
“Marilah along hantar.” Fahim membantu Syafina mengangkat basikalnya yang sudah terbaring atas tanah. Syafina hanya diam.
Syafina mengayuh basikalnya manakala Fahim mengekor dengan motosikalnya dari belakang. Sesudah memastikan Syafina selamat sampai dirumahnya, baru Fahim menunggang motosikalnya pulang ke rumah.
Sempat Syafina berterima kasih sekali lagi pada Fahim sebelum lelaki itu berlalu. Fahim hanya mengangguk. Hatinya masih geram bimbang apa-apa terjadi pada Syafina tadi. Cepat-cepat dia menyuruh Fahim pulang. Bimbang Mak Longnya bertanya macam-macam. Lain pula ceritanya nanti.
Sejak dari peristiwa itu, Syafina mula jarang bertandang ke rumah Faja. Dia sebenarnya terasa hati dengan reaksi Fahim yang sedikit kasar dengannya. Manalah dia nak tahu makhluk-makhluk pengacau tu akan mengganggunya hari itu. Benda yang tak dijangka. Tak perlulah Fahim beria-ria memarahinya.
Suatu hari Faja mengajak Syafina ke rumahnya setelah tamat waktu persekolahan.
“Afin, jom lah pergi rumah aku. Lama dah kau tak datang. Nek Wan dah rindu kat kau tau.” Cerita Faja.
“Erm aku nak tolong Mak Long lah petang ni. Lain kali jelah aku ikut kau.” Syafina mencipta alasan.
“Kau tak suka dah ke datang rumah aku?” Faja mula musykil dengan kerenah Syafina yang asyik menolak ajakannya sejak dua menjak ini. Dia tidak faham mengapa.
“Taklah. Aku suka. Tapi aku sibuklah sekarang. Nantilah bila free aku pergi ye. Aku dah lambat ni. Pak Long dah tunggu kat depan tu. Aku pergi dulu ye. Jumpa esok. Bye.” Syafina berkata panjang lebar. Kakinya pantas berlalu ke pitu pagar.
Faja hanya memerhati kawannya itu dari jauh. Hatinya sedikit kecewa dengan penolakan yang sudah acap kali dari bibir Syafina.
‘Takpelah. Mungkin dia benar-benar sibuk.’ Faja cuba memujuk hatinya sendiri. Lantas dia berjalan pulang menuju ke rumah.
Selang seminggu kemudian, ketika di sekolah Faja cuba mengusik Syafina. Terkejut juga semalam dia mendengar cerita daripada mak dan ayah. Patutlah Syafina seperti ingin mengelak. Tersenyum-senyum Faja mengingatkan cerita itu.
“Afin, aku tak sangka pulak kat kawasan kita ni ada hero.” Kata Faja bersahaja ketika mereka berehat di kantin pada waktu rehat.
“Hero? Hero apa?” Syafina sedikit terpinga-pinga.
“Ada seorang budak ni, dia kena selamat dengan seorang hero dari kena kacau dengan budak-budak jahat.” Faja masih berteka-teki.
Syafina memikirkan kata-kata Faja itu. Lama dia berfikir. Tiba-tiba terdetik peristiwa dia diselamatkan oleh Fahim tiga minggu lalu. Alamak, Faja tahu ke? Syafina cuba berlagak selamba.
“Ye ke. Alhamdulillah lah dia tak apa-apa kan.” Syafina berkata pendek. Air sirap dihirupnya perlahan. Menyembunyikan kegelisahan hatinya.
“Afin, kau ni kenapa tak cerita dekat aku? Sekarang pun nak berpura-pura lagi.” Faja mula tidak tahan dengan reaksi selamba Syafina. Geram betul dia.
“Berpura-pura apa?” Syafina tenang menyuap bihun goreng ke mulutnya.
“Tengok tu.” Faja sedikit mengeluh.
“Benda dah nak jadi. Semua dah selamat. Buat apa nak cerita.” Syafina berkata setelah melihat air muka Faja yang sudah berubah.
“Tapi kenapa kau dah tak nak datang rumah aku. Nasib baik mak dengan ayah cerita dekat aku semalam. Kalau tak sumpah aku tak tau kenapa.” Faja sudah mula tersengih-sengih.
“Yang kau sengih-sengih ni kenapa?” Syafina sedikit pelik dengan Faja.
“Kau merajuk dengan along kan?” Telah Faja perlahan.
“Eh, apa kau merepek ni?” Syafina sedikit terkejut.
“Alah tak payah bohonglah. Along dah cerita dekat semua dah.” Faja berkata perlahan.
“Cerita apa? Cakaplah dekat aku.” Syafina mula gelabah. Faja pula yang bermain tarik tali dengannya kini.
“Kalau kau nak tahu cakap dulu kau nak datang rumah aku.” Pancing Faja.
“Tak naklah.” Cepat-cepat Syafina menolak.
“Nampak sangat merajuk dengan along.” Kata Faja lagi.
“Eh, mana adalah. Oklah aku ikut kau pergi rumah hari ni.” Syafina mula beralah.
“Eh siapa ajak kau hari ni? Tak sabar nak jumpa along ye?” Usik Faja. Bibirnya tersenyum-senyum.
“Dahlah kau.” Syafina malas mahu melayan. Pinggan kosongnya diangkat untuk diletakkan dalam bekas yang disediakan. Cepat-cepat Faja mengekor sahabatnya yang sudah berlalu itu.
Petang itu seperti yang dijanjikan Syafina mengikut Faja pulang ke rumahnya. Puas dia menolak. Akhirnya dia mengalah juga apabila dia menelefon ke rumah dan Mak Long memberitahu Pak Long tidak dapat mengambilnya. Faja pula sudah meminta kebenaran Mak Long untuk membawa dia ke rumah. Mak Long tidak menghalang pula.
Di rumah Faja, Nek Wan dan ahli keluarga yang lain menyambut kedatangan Syafina dengan hati yang terbuka.
Sudah lama Syafina tidak bertandang. Kesempatan itu, Nek Wan bercerita macam-macam dengan Syafina sehingga terbuka cerita mengenai Fahim yang menyelamatkannya dari gangguan budak-budak nakal tempoh hari.
Syafina bercerita dari mula hingga awal tentang peristiwa yang terjadi. Diwaktu itu, semua ahli keluarga Faja berkumpul ingi mendengar cerita yang sebenar. Fahim juga turut berada disitu.
Fahim juga turut sama bercerita apabila semua orang ingin mengetahui dari kedua-dua belah pihak. Tidak disangka juga Fahim meminta maaf tentang kemarahannya terhadap Syafina waktu peristiwa itu.
Syafina sedikit terkejut kerana Fahim berterus terang dihadapan keluarganya. Dia yang jadi termalu sendiri. Faja pula dilihat sudah mula tersenyum-senyum ke arahnya. Begitu juga dengan adik-adiknya yang lain.
Sejak daripada peristiwa itu, dia sering menjadi bahan usikan temannya itu. Berbuih-buih air liurnya dikeluarkan memarahi temannya itu, namun masih dibuat tidak endah oleh Faja. Akhirnya, Syafina hanya membiarkan gelagat temannya itu. Telinganya ditulikan mendengar usikan-usikan yang bermain dibibir Faja.
Bermula dengan kisah Fahim membantu Syafina, hubungan Syafina dan Fahim mula rapat. Mereka sudah mula bersembang walaupun hanya berdua. Sejak dari usikan-usikan Faja dan kawan-kawan di sekolah yang mengetahui hal itu, Syafina mula berperasaan terhadap Fahim. Walaubagaimanapun perasaan itu dipendamnya. Tidak pernah diberitahu kepada sesiapa termasuk Fahim sendiri.
Sejak perasaan sayang kepada Fahim yang bercambah juga dia ingin selalu berkunjung ke rumah temannya itu. Syafina sudah mabuk dengan cinta dalam diamnya. Hatinya berdebar-debar bila berhadapan dengan Fahim.
Walaubagaimanapun hubungan Syafina dengan keluarga sahabatnya itu terus terputus selepas dia berpindah mengikut abangnya tinggal di Kuala Lumpur. Tamat sahaja menduduki peperiksaan SPM abangnya membawanya ke Kuala Lumpur.
Selepas itu juga perhubungannya dengan Fahim terputus. Kisah lelaki itu tidak pernah diketahuinya. Namun cintanya sentiasa mekar dihati. Hatinya tidak berhenti mengingati wajah lelaki itu. Dia hanya merindu di kejauhan.
Sehinggalah hari ini. Dia dipertemukan semula dengan keluarga itu. Berhadapan semula dengan lelaki yang dicintainya. Dia sungguh tidak menyangka. Mendapat panggilan daripada teman lamanya itu. Mujur nombor telefonnya tidak pernah ditukar dan Faja masih mengingati nombor itu. Dia bersyukur didalam diam.
No comments:
Post a Comment