BAB 3
Kereta yang dipandu oleh Fahim sampai diperkarangan rumahnya pada pukul 11.15 malam. Fahim menggoyangkan tubuh Faja supaya bangun dari lenanya.
“Jomlah. Kita dah sampai.” Fahim menoleh ke arah Syafina. Syafina hanya mengangguk. Dia menarik nafas panjang, mencari kekuatan bagi menghadapi apa yang bakal terjadi.
Ramai orang di dalam rumah Encik Faizal. Mereka yang usai membaca Yassin itu memandang ke muka pintu melihat ke arah Fahim, Faja dan Syafina yang sudah melangkah masuk. Fana yang ternampak kelibat Syafina menjerit kecil.
“Kak Afin dah sampai Nek Wan.” Kata Fana sedikit lantang. Semua mata memandang ke arah Syafina kini. Dia kaget.
Tiba-tiba terdengar suara yang tenggelam timbul memanggilnya.
“A...fin...” Nek Wan memanggil. Syafina menghayun laju kakinya ke arah Nek Wan yang terbaring di suatu sudut itu. Mereka yang berada dikeliling Nek Wan membuka ruang kepadanya untuk mendekat.
Syafina mencapai tangan Nek Wan. Rambut perempuan tua itu diusapnya lembut. Air matanya bergenang. Dia mengigit bibir menahan tangisnya. Perasaannya bercampur-baur.
Nek Wan menggapai ke arah Fahim pula yang duduk agak jauh. Fahim segera pula bergegas ke sisi neneknya. Syafina melepaskan tangan Nek Wan untuk memberi ruang kepada Fahim. Namun tangan tua itu menghalangnya. Syafina membatu disitu.
Tangan Nek Wan memegang tangan Syafina dan Fahim kini. Semua yang hadir memandang pelik. Syafina dan Fahim berpandangan sesama sendiri. Pelik dengan tingkah Nek Wan. Nek Wan cuba berkata sesuatu. Fahim menunduk mendekatkan telinganya ke bibir wanita yang terbaring itu.
“Fahim...ambil...Afin...sebagai...isteri...” Pinta Nek Wan perlahan kepada Fahim. Fahim terkejut. Dia memandang ke arah Syafina dengan dahi berkerut.
Syafina pelik melihat Fahim berkelakuan begitu. Melihat bibir Nek Wan bergerak-gerak, dia mendekatkan telinganya pula ke arah bibir Nek Wan.
“Afin...kahwin...dengan...Fahim...ya...” Sebut Nek Wan tersekat-sekat. Syafina juga terpempan. Dipandangnya wajah Fahim dengan mata terbuntang luas. Terkejut dengan permintaan Nek Wan. Adakah dia salah dengar? Tanyanya didalam hati.
Fahim dan Syafina berpandangan tidak percaya. Puan Izzati yang melihat sejak tadi mula gelisah melihat perlakuan mereka.
“Kenapa mak?” Puan Izzati bertanya perlahan yang berada dihujung kaki Nek Wan.
“Kahwinkan...Afin...dengan...Fahim...” Perlahan dan tersekat suara Nek Wan. Namun semua yang hadir dapat mendengarinya. Keadaan yang sunyi sepi tadi mula riuh dengan suara-suara tetamu yang bercakap sesama sendiri.
Fahim dan Syafina berlalu dari situ memberi ruang kepada Encik Faizal dan Puan Izzati yang ingin merapati Nek Wan.
“Mak kenapa ni..mak mengucap mak..” Bisik Encik Faizal perlahan ditelinga Nek Wan. Nek Wan diam. Air mata meleleh dipipinya. Dia menarik nafas dalam untuk berbicara.
“Aku...tak...merepek...tunaikan...permintaan...terakhir...aku...” Nek Wan melepaskan nafas. Dadanya berombak sedikit.
Terdengar suara berbisik-bisik dari tetamu yang hadir. Syafina panik. Fahim gelisah. Encik Faizal dan Puan Izzati bangun menghampiri Syafina dan Fahim. Mereka berlalu ke ruang tengah rumah yang kosong. Beberapa orang yang ada disitu diminta ke ruang depan oleh Encik Faizal.
Empat pasang mata bertentangan kini. Masing-masing terkejut dengan permintaan Nek Wan tadi. Tidak tahu apa yang ingin dicakapkan.
“Mak cik, pak cik saya rasa saya kena balik. Sebab saya dah jadi kecoh macam ni.” Syafina memulakan bicara. Ingin segera pergi dari situ. Mungkin Nek Wan tersalah pandang. Tapi memang tadi dia dengar Nek Wan menyebut namanya. Afin! Kalau Nek Wan salah orang mungkin dia menyebut nama orang lain. Syafina menggaru dahi yang tidak gatal. Tangannya diramas-ramas. Sungguh dia gelisah.
“Sabar dulu Afin. Mak cik pun ingat tadi Nek Wan tersalah. Tapi semua orang dengar Nek Wan sebut nama Afin dengan Fahim.” Kata Puan Izzati lembut.
Faja, Fana dan Fazim datang ke arah mereka. Faja memeluk Syafina. Memberi kekuatan kepada Syafina.
“Faja apa ni Faja. Aku rasa lebih baik aku balik.” Getus Syafina kepada Faja.
“Aku pun tak tahu Afin.” Faja menggosok perlahan bahu temannya itu.
Tiba-tiba salah seorang sepupu Faja datang kepada mereka memberitahu Nek Wan memanggil mereka.
Syafina dan keluarga Encik Faizal bergerak ke tempat pembaringan Nek Wan. Nek Wan menggapai Fahim dan Syafina. Nek Wan dikelilingi oleh mereka bertujuh sekarang. Tangan Nek Wan digenggam oleh Syafina dan Fahim.
“Kamu...berdua...kahwinlah...tunaikan...hasrat...aku...” Bibir Nek Wan bergerak menutur kata. Tiba-tiba dada Nek Wan berombak kecil. Nafasnya mendengus. Semua terkejut. Encik Faizal membisikkan kalimah syahadah ditelinga Nek Wan.
“Setuju sahajalah.” Terdengar suara dari belakang. Kemudian ramai yang mengangguk. Syafina dan Fahim terpana. Wajah Nek Wan yang payah menarik nafas itu dipandang.
“Saya setuju Nek Wan.” Syafina menjawab perlahan. Fahim juga mengangguk setuju. Berharap Nek Wan dapat pergi dengan tenang selepas mendengar persetujuan mereka.
Nek Wan tersenyum. Dadanya berombak perlahan. Nafasnya juga kedengaran perlahan. Perlahan-lahan dia memejamkan mata. Semua terkejut.
Dada Nek Wan yang masih turun naik perlahan itu melegakan mereka. Umur Nek Wan masih panjang. Mungkin dia hanya tidur. Suara berbisik yang perlahan mula menjadi kuat.
Apabila yakin yang Nek Wan hanya tidur, orang ramai mula meminta diri untuk pulang. Yang tinggal kini hanya kaum keluarga Encik Faizal. Jam sudah hampir menunjukkan pukul 1.00 pagi. Wajah mereka semua berkerut-kerut. Masing-masing runsing.
Encik Faizal sekeluarga, saudara-mara mereka dan Syafina berkumpul diruang tengah rumah kini. Wajah Syafina dan Fahim dipandang berselang seli. Faja setia menemani Syafina disisi. Semua senyap menanti bicara dari mulut Encik Faizal.
“Kamu yakin dengan keputusan kamu along?” Soal Encik Faizal. Nafasnya ditarik panjang. Fahim hanya mengangguk. Wajahnya diangkat memandang Syafina.
Syafina menunduk bila matanya bertentangan dengan Fahim. Apabila Encik Faizal memandangnya pula dia hanya mengangguk perlahan. Wajahnya tetap dibiar menunduk. Faja disisi menggenggam kemas jemarinya. Syafina meramas kecil jemari mereka yang bertaut itu.
“Kalau macam tu eloklah kita telefon kepada keluarga kamu.” Ujar Encik Faizal. Syafina memandang ke arah Encik Faizal.
“Biar along yang telefon ayah. Along yang nak kahwin dengan Afin.” Tiba-tiba Fahim bersuara. Semua terkejut. Syafina lebih lagi.
“Nak telefon sekarang ke?” Soal Syafina tiba-tiba. Dia takut. Takut dengan penerimaan abangnya. Mungkin dirinya akan dimarah teruk.
“Elok sekaranglah. Esok boleh keluarga kamu datang ke sini. Kita buat acara nikah sebelah malamnya.” Ujar Encik Faizal selepas lama berfikir.
Saudara mara berbisik-bisik. Puan Izzati tiba-tiba bersuara.
“Kenapa nak cepat sangat bang. Abang ingat soal nikah kahwin ni perkara main-main? Kursus kahwin lagi. Persiapan kahwin lagi. Satu-satulah kita buat. Mak pun tengah sakit.” Puan Izzati sedikit marah dengan kata-kata suaminya itu. Fahim dan Syafina masih muda. Masing-masing tengah terkejut. Kenapa nak ditambahkan lagi kekalutan dan kegelisahan pada semua orang.
“Kita buat yang wajib dulu. Itu pun kan permintaan mak. Kita tak tahu mak tu boleh bertahan sampai bila.” Kata Encik Faizal lembut. Puan Izzati hanya terdiam.
“Ayah pasal kursus kahwin tu, dulu along dah ambil waktu belajar.” Fahim menyampuk perbualan ibu dan ayahnya. Encik Faizal mengangguk kecil.
“Saya pun dah ambil waktu belajar haritu.” Syafina berkata memberi jawapan kepada semua mata yang terarah ke arahnya.
“Kalau macam tu kita dah tak perlu risau apa-apa. Pergilah telefon mereka Afin.” Arah Encik Faizal kepada bakal menantunya itu.
Semua yang ada disitu meninggalkan ruang itu. Tinggal Syafina dan Fahim. Memberi ruang untuk mereka mengkhabarkan berita perkahwinan mereka kepada keluarga pihak perempuan.
Syafina berdebar-debar. Telefon ditangannya digenggam kuat. Masih bimbang dengan reaksi Azzam.
No comments:
Post a Comment