Sunday, April 10, 2011

Cinta Dahulu dan Selamanya 6

BAB 6


Syafina terjaga dari tidurnya pada pukul 5.00 pagi ketika Fahim mengejutnya. Matanya digosok perlahan menahan cahaya lampu yang menyakitkan matanya.


“Afin bangun sayang.” Fahim menggoyang perlahan tubuh isterinya.


“Pukul berapa ni?” Soal Syafina.


“Pukul 5.00 pagi. Nek Wan makin tenat. Kita bacakan Yassin dekat Nek Wan ya.” Syafina mengangguk.


“Abang tunggu dekat luar.” Fahim sempat berkata sebelum membuka pintu bilik. Syafina bangun lalu mencapai tudungnya. Dia berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk.


Kaum keluarga Encik Faizal sudah ramai yang mengelilingi tubuh tua Nek Wan. Cuma yang tidak bangun anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa. Syafina melabuhkan punggungnya disebelah Fahim. Naskah Yassin yang dihulurkan disambutnya.


Pagi itu, Fahim mengetuai bacaan Yassin untuk Nek Wan sehingga azan Subuh berkumandang. Selepas itu mereka berjemaah bersama. Bacaan diteruskan sehingga matahari sudah memancarkan sinarnya. Jiran tetangga yang terdekat juga sudah ramai yang bertandang. Sama-sama membacakan Yassin untuk Nek Wan.


Tepat pukul 10.45 pagi, Nek Wan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan dikelilingi oleh sanak saudaranya serta kenalan yang mengenalinya.Jenazah arwah Nek Wan selamat dikebumikan selepas waktu Zohor tadi. Ramai saudara mara serta kenalan yang bertandang bagi mengiringi pemergian arwah Nek Wan.


Suasana rumah diselubungi kesedihan. Syafina turut menitiskan air matanya diatas pemergian Nek Wan. Orang yang telah menyatukan cintanya dengan Fahim.


Pulang dari kawasan perkuburuan, Syafina melihat Fahim banyak menyepikan diri. Syafina banyak membantu keluarga barunya di dapur serta melayan tetamu. Sesekali ada saudara-mara Fahim yang mengajaknya berbual.


“Afin, Fahim mana?” Tiba-tiba Puan Izzati datang bertanya ketika Syafina sebuk melayan Faja dan sepupunya, Zaida berborak di dapur.


“Entah mak. Agaknya dalam bilik.” Syafina menjawab kurang pasti. Baru dia teringtkan akan lelaki itu. Seharian juga dia tidak melihat suaminya itu. Keluarga abangnya sudah lama balik ke KL selepas pengebumian tadi.


“Mak dah tengok tadi, tapi takde. Balik dari kubur tadi langsung mak tak nampak dia.” Puan Izzati berkata bimbang.


“Mungkin ada dekat depan dengan kawan-kawan dia. Takpelah mak biar saya pergi tengok.” Syafina menawarkan diri. Bimbang dikata tidak prihatin hal suami.


“Eloklah tu. Mak masuk dalam dulu.” Kata Puan Izzati sebelum berlalu.


Syafina bingkas berdiri untuk mencari suaminya. Faja dan Zaida sudah mula tergelak-gelak. Lantas Syafina memukul bahu adik iparnya itu sebelum mendengar sebarang usikan keluar dari mulutnya.


“Adoi sakitlah akak ni. Apa pukul Faja.” Faja mengaduh sakit.


“Jangan nak cakap apa-apa. Akak tau niat Faja tu.” Syafina menggoyangkan jari telunjuk dihadapan kedua-dua gadis itu. Mereka hanya tersenyum melihat tingkah kakak ipar mereka itu.


“Akak tunggu apa lagi dekat sini? Pergilah cari along cepat. Agaknya suami kesayangan akak tu merajuk sebab akak langsung tak hiraukan dia.” Sakat Faja.


Sekali lagi tangan Syafina mendarat di tubuh adik iparnya itu. Muka Syafina merona merah menahan malu. Faja dan Zaida galak mentertawakannya. Segera dia beredar dari situ bimbang disakat lagi.


Syafina tersenyum seorang diri. Langkahnya dipercepatkan sambil matanya meliar ke sana-sini mencari batang tubuh Fahim. Dia menghampiri ruang tengah rumah. Terlihat Fana dan Fazim sebok menonton tv bersama sepupu-sepupu mereka yang lain.


“Kak Afin, marilah duduk sini.” Fana melambai ke arahnya supaya duduk menyertai mereka.


“Takpelah. Tengok cerita apa?” Syafina mendekat.


“Cd cerita Ice Age 3. Best kak kelakar.” Jawab Fana yang berusia 14 tahun itu.


“Macam budak-budak adik akak ni.” Syafina berkata sambil menarik hidung adik iparnya itu. Fana hanya tersengih.


“Fana ada nampak along?” Syafina mula fokus kepada tujuan sebenarnya.


“Entah kak. Tadi mak pun cari along. Fana tengok along muram je dari tadi.” Cerita Fana mengenai abangnya itu.


“Erm kalau macam tu akak pergi cari along kejap. Nanti kalau nampak along bagitahu akak ye.” Fana hanya mengangguk. Syafina berdiri semula meneruskan tujuannya mencari Fahim.


Syafina sudah berada di depan rumah. Matanya tetap meliar mencari kelibat Fahim. Tiba-tiba ayah mertuanya memanggilnya. Syafina tersenyum sambil mendekati Encik Faizal bersama beberapa orang lelaki yang sebayanya di meja rehat di tepi garaj.


“Ye ayah?” Tanya Syafina sopan.


“Ayah nak kenalkan kamu dekat kawan-kawan ayah ni.” Syafina tersenyum malu ke arah lelaki-lelaki itu.


“Inilah menantu saya, Syafina. Ini kawan-kawan ayah. Jiran-jiran kita duduk dekat-dekat sini je.” Encik Faizal seronok mengenalkan menantunya kepada teman-temannya. Mereka berbalas senyuman.


“Mana Fahim? Dari tadi ayah tak nampak dia.” Tanya Encik Faizal kepada menantunya itu.


“Saya pun tengah cari ni ayah. Saya pergi tengok dekat sana kejap.” Encik Faizal mengangguk. Syafina melemparkan senyum sebelum berlalu pergi.


Sedang matanya meliar itu, tiba-tiba anak matanya tertancap ke batang tubuh Fahim yang sedang duduk di pangkin di bawah pohon rambutan tepi rumah.Syafina menggeleng kecil sebelum menapak merapati tubuh suaminya. Menungan Fahim terganggu dengan bunyi derapan tapak kaki yang semakin mendekat. Fahim menoleh. Terkejut melihat tubuh isterinya disitu.


“Maaf, saya mengganggu ke?” Soal Syafina lembut. Fahim memandang ke depan sambil menggeleng. Jarinya cepat-cepat menyeka air mata yang bergenang. Tidak mahu dilihat oleh gadis itu yang dia sedang menangis.


“Along buat apa sorang-sorang dekat sini?” Tanya Syafina lagi.


“Tak buat apa.” Jawab Fahim lemah. Matanya masih tidak beralih memandang ke depan.


“Boleh saya duduk sini?” Fahim menoleh sekilas sebelum mengangguk setuju. Syafina tersenyum. Punggungnya dilabuh perlahan di sebelah Fahim. Jarak mereka membolehkan seorang lagi duduk diantara mereka.


Syafina menarik nafas perlahan. Cuba menyusun ayat yang ingin dikatakan pada Fahim. Dia tahu lelaki itu sedang bersedih atas pemergian Nek Wan. Semua orang turut merasakan perkara yang sama. Mungkin juga hubungan Fahim dan Nek Wan terlalu rapat sehinggakan lelaki itu terasa dengan kehilangan Nek Wan. Fahim dilihat masih merenung kehadapan. Syafina sendiri tidak tahu apa yang bermain di fikiran lelaki itu. Kebisuan terus menyelubungi diantara mereka.


“Along tak nak masuk dalam? Semua orang cari along.” Syafina cuba memancing Fahim untuk berbicara.Fahim membatu tiada reaksi.


“Along tak nak makan? Dari tadi along tak makan.” Syafina masih mencuba. Kali ini Fahim menggeleng. Syafina mengeluh kecil. Cuba meneka fikiran suaminya itu.


“Afin masuklah dalam dulu. Nanti semua cari Afin pulak. Abang nak duduk sini lagi.” Tiba-tiba Fahim bersuara.


Liat jugak suami aku ni. Fikir Syafina. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mengumpul kekuatan untuk berbicara. Bimbang dengan penerimaan suaminya nanti dengan kata-katanya.


“Saya tahu along sedih dengan pemergian Nek Wan. Tapi along tak boleh terus macam ni.” Syafina cuba memujuk.


“Saya pun sedih along. Dah lama saya tak jumpa Nek Wan. Semua orang dalam rumah ni sedih. Takkan nak seksa diri along macam ni.” Fahim menunduk mendengar bicara isterinya. Bibirnya tersenyum kecil.


“Setiap yang hidup atas muka bumi ni pasti akan mati. Itu janji ALLAH. Along sendiri pun tahu kan. Mesti Nek Wan tak tenang kalau tengok along macam ni. Kita redhakan pemergian Nek Wan, along. Biar roh arwah tenang dekat sana. Kita yang hidup ni perlu teruskan hidup along.” Tutur Syafina panjang lebar.


“Abang tahu sayang. Abang redha dengan pemergian Nek Wan. Abang tak apa-apa. Abang cuma nak tenangkan fikiran.” Jawab Fahim lembut.


“Kenapa along nak asingkan diri macam ni. Semua orang risau pasal along.” Syafina berkata lagi. Lega hatinya Fahim tidak apa-apa. Termalu dia sendiri mengingatkan fikirannya tentang lelaki itu tadi.


“Termasuk Afin?” Duga Fahim. Wajah Syafina berubah. Kemudian dia tertunduk apabila anak mata suaminya redup merenung ke arahnya. Pertanyaan suaminya dibiar tanpa jawapan.


“Jangan risau sayang. Abang cuma nak tenangkan fikiran abang. Banyak yang abang fikir. Terutamanya pasal kita.”Syafina mengangkat kepalanya laju mencari wajah Fahim. Fahim leka merenung ke depan.


“Err...apa maksud along pasal kita?” Syafina bertanya bodoh.


Fahim menoleh memandang wajah terpinga isterinya. Renungannya lembut menatap wajah ayu gadis itu. Pasal kita sayang. Pasal kehidupan kita berdua lepas ni. Abang nak sayang cintakan abang seorang. Fahim berbicara didalam hati.


Ah sudah, apa yang ada dalam fikiran dia tu Kenapa dia tersenyum-senyum tu? Ish janganlah buat Afin tertanya-tanya macam ni. Syafina mula resah dengan pandangan redup suaminya itu.


“Jom masuk. Abang laparlah.” Fahim tiba-tiba bersuara setelah mula memerahkan pipi putih Syafina yang sejak tadi tertunduk dek renungannya.


“Mari sayang.” Fahim sudah berdiri menghulurkan tangannya menunggu disambut Syafina. Lambat-lambat gadis itu memautkan jemarinya dengan genggaman kemas Fahim. Mereka seiringan melangkah ke dalam rumah.


Dari jauh, Faja yang terlihat adegan along dan kakak iparnya itu tersenyum senang. Dia berdoa didalam hati semoga rumah tangga mereka yang baru dibina akan bahagia dan kekal untuk selama-lamanya seperti hasrat  terakhir Nek Wan. Faja terasa lapang.

No comments:

Post a Comment