Sunday, April 10, 2011

Cinta Dahulu dan Selamanya 5

BAB 5

Awal pagi itu dia terjaga pada pukul 6.30 pagi. Selesai solat subuh dia membawa senaskah Yassin keluar dari bilik. Perlahan-lahan tubuhnya dijatuhkan disebelah Nek Wan. Sayup-sayup terdengar suara Syafina perlahan mengalunkan bacaan Yassin.

Fahim yang berada ditikar sejadah diam. Cuba mengamati suara yang mengalunkan bacaan Yassin itu. Perlahan-lahan senaskah Yassin dicapainya. Tubuhnya dibawa ke tempat pembaringan neneknya. Fahim terkejut melihat Syafina berada disitu. Merdu alunan Yassin dibibirnya. Fahim duduk perlahan. Dia turut mengalunkan bacaan Yassin perlahan. Suara mereka bergema diruang rumah itu.

Nek Wan membuka matanya perlahan-lahan. Tersenyum melihat tubuh cucu dan bakal isteri cucunya itu sedang berteleku mengalunkan Yassin disisinya. Sejuk hatinya mendengarnya. Dia berdoa semoga perkahwinan mereka memberi kebahagiaan kepada kedua-duanya. Dia juga berharap umurnya dipanjangkan membolehkan dia melihat ijab kabul mereka.

Selesai membaca Yassin, Syafina dikejutkan dengan suara perlahan Nek Wan. Syafina dan Fahim memandang sesama sendiri. Mereka memandang Nek Wan.

“Terima kasih. Semoga kamu berdua bahagia.” Suara Nek Wan tidak tersekat seperti semalam. Namun butir bicaranya kedengaran perlahan.

“Janji dengan Nek Wan..” Ujar Nek Wan lagi.

Fahim memandang Syafina. Dia mengangguk. Syafina yang melihat anggukan Fahim perlahan-lahan dia turut mengangguk. Nek Wan mengambil tangan kedua-dua anak muda dihadapannya itu. Kemudian tangan-tangan itu disatukan. Syafina terkejut merasa genggaman tangan Fahim yang kemas di jemarinya. Dia hanya membiarkan. Membiarkan kebahagiaan itu mengalir ke tubuhnya.

Di Kuala Lumpur, pagi-pagi itu Azzam dan Nadia sedang bersia-siap. Kepada Nadia disuruhnya membawa sepasang baju kurung dan Melayu milik mereka. Pakaian milik Syafina juga disuruh membawanya. Tempat kerja masing-masing sudah dimaklumkan yang mereka mengambil cuti mengejut hari ini. Kira-kira pukul 8.00 pagi mereka bergerak meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Perak.

Didalam kereta Azzam dan Nadia hanya membisu. Faril masih lena didalam kantung tidurnya. Nadia sesekali menoleh ke arah suami yang nampak gelisah itu.

“Abang setuju dengan perkahwinan Afin?” Soal Nadia lembut kepada Azzam.
“Abang sendiri tak tahu.” Ditoleh sekilas wajah isteri. Fikirannya masih serabut dengan kata-kata adiknya semalam.

“Yang abang bawa pakaian-pakaian Afin tu..” Nadia tidak menghabiskan kata-katanya. Sengaja dibiar tergantung. Cuba menduga hati suaminya. Azzam mengeluh panjang.

“Kejap lagi kita singgah di butik pengantin ya. Cari kan baju dan cincin untuk Afin.” Ujar Nadia setelah lama mereka membisu. Azzam hanya mendengar  tidak memberi sebarang reaksi. Nadia hanya tersenyum kecil.

Syafina duduk diatas buaian yang terletak diluar rumah. Dia termenung sendirian disitu. Fahim yang dari tadi hanya memerhati melangkah perlahan mendekati Syafina. Punggungnya dilabuh perlahan di kerusi buaian berhadapan dengan Syafina.

Syafina yang menyedari kehadiran Fahim hanya membatu. Anak matanya dilarikan tatkala mata tajam Fahim merenungnya. Hatinya bergetar hebat. Lama mereka berdiam diri sebelum Fahim berbicara.

“Afin ikhlas terima semua ni?” Soal Fahim cuba menyelami isi hati bakal isterinya itu. Syafina hanya mengangguk.

“Macam mana dengan kehidupan Afin? Kekasih Afin?” Syafina mengangkat wajah memandang anak mata Fahim.

“Saya takde sebarang halangan. Saya ikhlas tunaikan hasrat Nek Wan.” Fahim mengangguk. Lega hatinya dengan pengakuan Syafina.

“Macam mana pulak dengan along?” Soal Syafina pula.

“Saya takde sebarang ikatan yang dapat menghalang. Saya ikhlas mengambil Afin sebagai suri hidup saya.” Lembut kata-kata Fahim. Hati Syafina tersenyum gembira. Gembira kerana hati bakal suaminya itu bukan milik sesiapa.

Fahim mendiamkan diri. Ralit dia menatap wajah gadis kesayangannya itu. Dia nampak Syafina yang gelisah. Wajah malu-malu Syafina itu dipandangnya penuh asyik.

“Macam mana pulak dengan hati Afin?” Fahim bertanya semula setelah lama membisu. Syafina tidak menjawab.

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi kereta berhenti diluar pagar. Syafina dan Fahim sama-sama memandang. Soalan Fahim tadi masih belum dijawab oleh Syafina. Azzam dan Nadia keluar dari perut kereta. Faril yang masih tidur kejap dalam dukungan Nadia. Syafina bergerak pantas mendekati mereka. Tangan abangnya diraih sebelum dia menunduk mencium tangan abangnya itu. Tangannya beralih kepada Nadia kini.

Bunyi kereta yang berhenti dibelakang kereta Azzam membuatkan mereka semua menoleh. Syafina terkejut melihat keluarga Mak Longnya keluar dari perut kereta. Syafina bersalaman dengan saudara maranya itu.

Fahim yang setia menurut perlakuan Syafina tadi menjemput tetamunya masuk ke rumah.  Nek Wan yang sedang terbaring didekati oleh mereka. Azzam bersila disisi wanita tua itu. Isterinya setia menemaninya disisi. Syafina memperkenalkan keluarganya kepada Nek Wan. Nek Wan tersenyum menyambut mereka.

“Izinkan mereka berdua berkahwin.” Bibir Nek Wan terketar-ketar menuturkan bicara. Wajah Azzam dipandangnya penuh mengharap. Azzam menoleh kepada Syafina dan Fahim. Lambat-lambat dia mengangguk setuju kepada Nek Wan. Nek Wan tersenyum gembira.

Selesai dua keluarga itu menjamu makan tengah hari di rumah Encik Faizal, Azzam meminta izin untuk bercakap dengan Syafina dan Fahim. Mereka beralih ke ruang tengah rumah. Mak Long dan Pak Longnya turut mengekori. Fahim dan Syafina yang duduk sebelah-menyebelah dihadapannya kini dipandang. Azzam menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara.

“Afin, Fahim...korang berdua dah fikir masak-masak?” Soal Azzam. Fahim memandang dari ekor mata, Syafina disebelahnya yang hanya menunduk.

“Saya yakin. Saya ikhlas memperisterikan Syafina.” Fahim memandang tepat ke arah Azzam. Yakin dengan tutur bicaranya. Azzam mengangguk.

“Afin sedia terima Fahim sebagai suami?” Azzam memandang adiknya. Syafina hanya mengangguk kecil. Wajahnya masih tertunduk merenung jemarinya yang bertaut kemas.

“Afin tahu tanggungjawab Afin nanti? Afin sedia pikul tanggungjawab sebagai isteri?.” Tanya Azzam lagi.

“InsyaALLAH abang. Kami akan harunginya bersama.” Fahim menjawab dulu sebelum Syafina. Syafina terharu mendengar kata-kata bakal suaminya itu.

“Kalau macam tu...Fahim, saya harap awak boleh terima Afin walau apa pun kekurangan dan kelemahan dia. Afin satu-satunya darah daging saya. Tolong jaga dia dengan baik.” Tutur Azzam lembut kepada Fahim. Air mata Syafina sudah merembes keluar.

“Saya janji bang. Saya akan bahagiakan Syafina hingga akhir hayat saya. Terima kasih benarkan saya berkahwin dengan Syafina.” Ujar Fahim yakin. Tangan Azzam diambilnya sebelum dia mencium tangan bakal abang iparnya itu. Azzam menepuk lembut bahu Fahim.

Selesai mereka berbincang, Azzam meminta diri untuk membawa Syafina ke rumah ibu saudara mereka. Mereka akan bersiap di sana. Pada sebelah malamnya rombongan pengantin perempuan akan tiba semula di rumah Encik Faizal. Setelah kata sepakat dicapai, Azzam sekeluarga serta keluarga Mak Longnya bertolak ke rumah ibu saudaranya itu di Ipoh Jaya.

Majlis akad nikah mereka akan di adakan di rumah pihak lelaki selepas waktu Isyak. Kedua-dua belah pihak pengantin sibuk menguruskan apa yang patut untuk majlis tersebut. Hanya saudara terdekat dan jiran tetangga sahaja dijemput.

Selepas solat Maghrib, Syafina di solek oleh kakak iparnya. Terharu hatinya apabila Nadia memberitahu abangnya ada membelikan serba sedikit persiapan untuk pernikahannya malam ini.

“Malam ni Afin pakai baju ni.” Nadia menayangkan baju kebaya berwarna putih kekuningan bersulam itu kepada Syafina.

“Cantiknya kak. Terima kasih kak susah-susah je.” Puji Syafina.

“Afin kena berterima kasih pada abang Azzam ni. Abang Azzam yang ajak akak belikan.” Nadia menyuruh Syafina memakai baju itu.

“Betul ke kak? Afin ingat abang takkan setuju. Mesti dia marah pada Afin.” Syafina sedikit terharu.

“Abang Afin tu nampak je macam tu. Tapi dia sayang Afin tau. Afin je sorang adik dia.” Nadia mula merias wajah Syafina.

“Abang tak marah ke Afin buat keputusan macam ni kak?” Syafina sedikit bimbang.

“Mula-mula tu marahlah. Tapi dah okey kot. Dia tengok Fahim tu macam bersungguh je. Akak pun tengok Fahim tu ikhlas.” Nadia tersenyum manis.

“Afin pun tak tau keputusan Afin ni betul ke tak. Afin takut kak.” Syafina mempamerkan wajah sayu.

“Dahlah tak nak sedih-sedih. Afin malam ni nak nikah tau.” Nadia cuba berjenaka.

“Afin takut kak.” Nadia masih membelek wajah Syafina.

“Habis takkan Afin nak tarik balik keputusan Afin tu?” Duga Nadia.

“Afin tak bermaksud buat macam tu. Tapi Afin takut keputusan Afin ni salah.” Syafina berasa ragu.

“Kita manusia ni hanya mampu merancang Afin. Allah yang tentukan segalanya. Sekarang ni Afin usaha dan tawakal banyak-banyak.” Nasihat Nadia.

“Baik kak.” Afin menghembus kuat nafasnya.

“Ha, ni akak nak tunjuk. Cincin kahwin pun abang Azzam ada belikan. Sepasang. Untuk Afin dengan Fahim.” Ujar Nadia sambil menghulurkan bekas yang dipegangnya kepada Syafina.

“Terima kasih kak. Tak sangka Afin. Afin ingat malam ni Afin kahwin koboi je. Alhamdulillah kak.” Mata Syafina sedikit bergenang.

“Ada pulak kahwin koboi. Takkan abang Azzam nak biar je adik sayang dia ni kahwin macam tu. Kahwin ni sekali je tau. Ni pun tak seberapa. InsyaALLAH untuk kenduri nanti kita buat persediaan betul-betul ya.” Nadia menepuk lembut jemari adik iparnya itu.

“Terima kasih kak.” Mereka berdua berpelukan. Syafina membiarkan air matanya berjuraian turun di pipi.

Setelah siap Syafina bersolek, Nadia memanggil Azzam untuk melihat adiknya itu. Syafina mula berasa berdebar-debar.

“Cantiknya adik abang.” Azzam memuji.

“Terima kasih bang. Abang, terima kasih untuk baju ni, cincin dan terima kasih juga sebab abang sudi terima keputusan Afin ni.” Ujar Syafina. Air matanya bergenang. Tangan Azzam diraihnya. Dicium lembut tangan abangnya itu.

“Afin adik abang. Untuk siapa lagi abang nak buat semua ni. Abang doakan Afin bahagia.”

“InsayaALLAH bang.”

“Dah tak nak nangis. Habis makeup tu cair nanti.” Mereka tergelak. Syafina menyeka air mata yang bergenang di matanya. Selepas selesai, mereka sekeluarga pun bertolak ke rumah Encik Faizal. Hati Syafina berdebar. Jari-jemarinya bertaut erat. Perasaannya kini hanya ALLAH yang tahu.

Sampai sahaja di rumah Encik Faizal, mereka disambut meriah. Tetamu-tetamu sudah ramai yang membanjiri rumah. Fahim sudah tersedia menanti di atas alas berdepan dengan Tok Kadi. Hati kedua-dua pengantin berdebar-debar.

Syafina diiring masuk oleh ahli keluarganya. Dia duduk bersimpuh di atas alas yang sudah disediakan. Warna bajunya secocok dengan warna baju Fahim. Sama ada secara kebetulan atau sudah dirancang dia tidak ambil tahu.

“Semua dah ada?” Tok Kadi memulakan bicara.

“Ya tok.” Balas Encik Faizal pendek.

“Wali pengantin perempuan yang mana?” Soal Tok Kadi lagi.

“Saya tok.” Sahut Azzam.

“Kalau begitu boleh kita mulakan sekarang?” Tok Kadi meminta persetujuan. Semua tetamu mengangguk. Semua sudah bersedia. Tok Kadi menadah tangan diikuti oleh semua tetamu.

Syafina berdebar-debar. Cuak sungguh hatinya. Fahim juga begitu. Perlahan Tok Kadi menghulurkan tangan. Fahim menyambut huluran salam. Dipegang kejap tangan lelaki dihadapannya itu.

“Aku nikahkan dikau dengan Syafina Binti Hazlan dengan mas kahwinnya sebanyak RM200.00 tunai.” Tok Kadi melafazkan akad. Fahim menarik nafas panjang.

Syafina berdebar menanti lafaz Fahim. Semua tetamu senyap.

“Aku terima nikahnya Syafina Binti Hazlan dengan mas kahwinnya sebanyak RM200.00 tunai.” Dengan sekali lafaz Fahim menyudahkan bicaranya. Semua tetamu tersenyum senang.

“Sah?” Tanya Tok Kadi. Saksi mengangguk setuju. Terdengar ucapan ‘alhamdulillah’ di mulut Tok Kadi. Fahim menoleh ke arah isteri yang baru dinikahinya. Syafina tertunduk malu.

Selesai semua mengaminkan doa, Fahim diiringi oleh Encik Faizal ke arah pengantin perempuan. Hati Syafina berdebar-debar. Nadia dan Faja yang sedari tadi berada disisinya tersenyum gembira.

“Assalamualaikum.” Fahim memberi salam.

“Waalaikumsalam.” Lambat-lambat Syafina menyambut. Perlahan sahaja suaranya. Dia masih tertunduk melarikan mata dari lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu.

Fahim duduk dihadapan isterinya.  Syafina makin tertunduk. Nadia menarik tangan kiri Syafina dan dihulurkan ke arah Fahim. Syafina hanya membiarkan.

Azzam menyerah sebentuk cincin ke tangan Fahim. Fahim menyambutnya. Dengan lembut Fahim menyarungkan cincin itu ke jari manis isterinya. Nadia mengambil sebentuk lagi cincin ditangan Azzam, diserahkan ke tangan Syafina. Syafina menyambutnya lambat-lambat. Perlahan dia menyarungkan cincin itu ke jari suaminya pula. Terdengar bunyi tepukan orang ramai dan percikan cahaya kamera.

“Salamlah suami Afin tu.” Nadia berbisik di telinga adik iparnya. Lambat-lambat Syafina menghulurkan tangan. Fahim menyambutnya. Dicium lembut tangan suaminya itu. Fahim menghadiahkan ciuman kudus didahi isterinya. Air mata Syafina yang sedari tadi ditahan berjuraian juga. Fahim pantas menyekanya. Fahim tersenyum memandang tepat ke arah anak mata Syafina. Syafina membalas renungan suaminya itu. Lama mereka begitu. Membiarkan rasa cinta dan bahagia menusuk ke dalam jiwa mereka.

Selepas itu semua tetamu mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin. Ahli keluarga pengantin mengambil kesempatan bergambar dengan pengantin.

“Tahniah Afin. Lepas ni aku tak boleh panggil kau Afin lagi. Kau dah jadi kakak ipar aku. Tahniah Kak Afin.” Faja memeluk tubuh sahabat yang sudah bergelar kakak iparnya itu seeratnya.

“Terima kasih Faja.” Ujar Syafina lembut. Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh suara Fana.

“Along, Kak Afin...Nek Wan panggil.” Fahim dan Syafina menoleh. Mereka berjalan beriringan ke arah Nek Wan yang terbaring. Tetamu memberi laluan kepada mereka.

“Tahniah cucu-cucu Nek Wan. Nek Wan harap korang akan hidup bahagia.” Ucap Nek Wan lambat-lambat sambil memegang kemas jemari Fahim dan Syafina. Mereka berdua hanya mengangguk.

“Along jaga Afin elok-elok ya, Afin pun...” Tambah Nek Wan lagi.

“Along janji Nek Wan.” Fahim berkata lembut. Syafina memandangnya sekilas sebelum menunduk apabila mata tajam Fahim merenungnya. Nek Wan tersenyum gembira.

Selepas itu, semua tetamu dijemput menikmati hidangan makan malam. Tiada khemah yang dipasang. Mereka semua hanya makan bersila di dalam rumah. Tak ramai yang dijemput hadir. Syafina tetap bersyukur diraikan begitu.

Malam kian larut. Tetamu-temau sudah ramai yang pulang ke rumah. Syafina memanggil abang dan kakak iparnya masuk ke bilik pengantinnya yang sudah terhias indah. Dia ingin berbicara dengan mereka,

“Kenapa Afin?” Soal Azzam memulakan bicara.

“Malam ni abang dengan Kak Nadia tidur mana?” Soal Syafina semula.

“Abang tidur rumah Mak Longlah.” Balas Azzam.

“Oh, kalau macam tu Afin ikutlah.” Azzam dan Nadia memandang sesama sendiri. Pelik dengan kata-kata Syafina.

“Apa Afin merepek ni? Afin tidur sinilah. Afin kan dah kahwin.” Azzam membantah.

“Tapi....” Syafina tidak tahu apa yang harus diperkatakan.

“Merepeklah. Suami Afin ada dekat sini. Beg baju Afin abang dah bawak. Ada dalam kereta tu. Kejap lagi Afin ambil.” Tambah Azzam lagi.

“Afin nak kena duduk sini ke? Afin nak ikut abang dengan Kak Nadia balik KL nanti ya.” Syafina berkata lagi.

“Afin, Afin kan dah kahwin. Tempat Afin dekat sisi suamilah. Kenapa pulak nak ikut kami balik KL. Nanti apa pulak kata keluarga Fahim.” Nadia pula menyampuk. Wajah Syafina jelas terpancar kegelisahan.

“Betul tu Afin. Afin duduklah sini. Tanggungjawab Afin sekarang pada Fahim, bukan pada abang lagi.” Azzam menambah pula.

“Afin...” Syafina memandang Azzam dan Nadia dengan wajah resah. Hatinya masih belum bersedia. Tidak tahu perlukah dia memberitahu mereka berdua.

“Abang tahu, Afin takutkan?” Azzam mendekati adiknya lalu dibawa duduk dibirai katil. Nadia juga turut menyertai mereka.

“Jangan risau. Fahim akan jaga Afin. Abang dah minta dia janji dengan abang. Kalau Fahim apa-apakan adik abang ni tahulah abang ajar dia nanti.” Azzam menggosok lembut kepala adiknya itu. Syafina cuba senyum. Dia memeluk perlahan tubuh abangnya.

“Nanti kalau ada apa-apa telefon abang ya. Rumah abang tu sentiasa terima kehadiran Afin.” Syafina hampir menitiskan air mata. Sayu hati Azzam untuk melepaskan adiknya itu.

“Dahlah abang janganlah cakap macam tu. Lagi sedih Afin nanti.” Nadia cuba memujuk pula. Syafina tergelak. Mereka bertiga tergelak bersama.

Mereka bertiga melangkah keluar dari bilik. Faril yang sedang dipegang oleh Faja diambil oleh Nadia.

“Dah abang balik dulu. Esok abang dengan Kak Nadia datang lagi sebelum balik KL.” Syafina mengangguk. Syafina menghantar keluarganya di muka pintu. Fahim turut berada disisinya.

“Ni beg Afin.” Fahim pantas menyambut beg yang dihulurkan oleh Azzam ke tangan isterinya. Azzam hanya tersenyum.

“Kamu jaga Afin baik-baik ya Fahim.” Sempat Azzam berpesan. Fahim hanya mengangguk berkali-kali. Azzam dan keluarga masuk ke dalam kereta. Syafina hanya memandang sayu kereta abangnya berlalu.

Syafina terkejut apabila terasa bahunya disentuh. Fahim sedang memeluk erat bahunya. Syafina terkaku. Cepat-cepat Syafina melangkah menuju ke bilik air. Fahim hanya membiarkan. Biarlah. Mungkin dia masih malu. Kata hatinya.

Fahim melangkah masuk ke bilik tidur yang akan dikongsi bersama isterinya itu, beg pakaian Syafina diletaknya ditepi. Dia membuka baju melayu yang tersarung ditubuhnya ingin menukar baju. Tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar.

Syafina terkejut melihat Fahim berada di dalam bilik. Lelaki itu hanya berseluar. Hatinya berdebar-debar. Pertama kali melihat tubuh suaminya setelah sah lelaki itu menjadi suaminya. Bukan dia tidak pernah lihat Fahim tidak berbaju. Tapi itu dulu. Berbeza dengan keadaannya sekarang. Mereka sudah halal antara satu sama lain kini. Syafina melarikan anak matanya.

“Maaf, saya tak tahu along ada dalam bilik. Saya keluar dulu.” Syafina ingin berlalu. Dia terus berpaling.

“Afin, tunggu. Afin nak ke mana?” Fahim menahan. Tubuh isterinya didekati. Hati Syafina semakin berdebar. Fahim memalingkan tubuh Syafina supaya menghadapnya. Anak mata Syafina tetap dilarikan.

“Afin nak pergi mana? Nanti apa pulak kata semua dekat luar tu. Ni pun bilik Afin jugak. Lagipun kita dah sah jadi suami isteri.” Fahim cuba mengangkat dagu isterinya. Seketika anak mata mereka bertatapan sebelum Syafina menunduk semula.

“Afin malu? Kalau macam tu abang keluar dulu pergi tandas. Afin salin dulu pakaian. Jangan risau abang lama dekat luar nanti.” Fahim tersenyum memandang wajah malu isterinya itu. Tentu dia masih belum bersedia. Fikir Fahim. Syafina sedikit terkejut dengan bahasa yang digunakan oleh Fahim. Hatinya tersenyum senang mendengarnya.

Fahim melangkah perlahan mendekati almari. Dia mengambil sehelai baju lengan pendek dan disarungkan ke tubuhnya. Syafina hanya memerhati. Apabila Fahim memandangnya semula, cepat-cepat dia melarikan anak mata. Tidak mahu bertembung pandang lagi. Serasa mahu gugur jantungnya ketika mata mereka menikam satu sama lain.

Fahim hanya tersenyum. Dia melangkah perlahan keluar dari bilik itu. Syafina terasa mukanya panas. Segera dia membongkar beg pakainnya mencari pakaian yang sesuai untuk dipakai. Lantas dia menyalin pakaiannya. Bimbang Fahim melangkah masuk semula ke bilik.

Sepuluh minit berlalu Fahim melangkah masuk semula ke biliknya. Hatinya juga berdebar-debar. Ketika dia masuk dilihat isterinya sedang bersolat. Fahim duduk dibirai katil memerhati gerak tubuh isterinya itu. Asyik dia menatap Syafina. Tiba-tiba lamunannya dikejutkan oleh suara Syafina.

“Along nak solat?” Syafina bertanya. Fahim hanya mengangguk. Syafina memberi ruang kepada Fahim. Ketika Fahim memulakan solatnya, Syafina membuka telekung yang tersarung ditubuhnya. Dia menunggu Fahim dan duduk di hujung kaki katil.

“Kenapa tak tidur lagi?” Tanya Fahim sambil menyangkut sejadah ke tempat penyidai. Syafina menoleh.

“Err, along tidurlah atas katil. Saya tidur bawah.” Kata Syafina tergagap-gagap. Jari-jemarinya diramas dalam genggaman. Fahim tersenyum memandang Syafina yang dalam keresahan itu. Dia merapati tubuh itu. Syafina hanya menunduk.

“Kenapa nak panggil along lagi. Abang kan dah jadi suami Afin. Bukan abang Afin.” Fahim melabuhkan punggungnya disebelah isterinya.

“Maaf saya tak biasa lagi.” Syafina membalas sambil tertunduk.

“Abang tak nak Afin panggil macam tu lagi. Itu panggilan yang adik-adik abang guna. Afin isteri abang. Kan lebih elok kita berbahasa macam suami isteri yang lain.” Fahim cuba menduga isterinya. Jemari isterinya disentuh lembut.

“Saya tak biasa lagi. Tolong bagi saya masa.” Syafina berkata perlahan. Bimbang mengguris hati suaminya. Fahim mengangguk kecil.

“Abang tahu. Abang tak kisah. Afin ambillah selama mana pun masa, abang akan tunggu. Sebab abang sayangkan Afin.” Lembut kata-kata Fahim. Terkesima Syafina dibuatnya. Inilah kata-kata yang ditunggunya sekian lama. Fahim cintakannya. Bahagia sungguh dia mendengarnya.

“Mesti Afin takutkan. Dahlah tidur jelah. Kita tidur sekali atas katil ni.” Fahim berkata. Syafina mengangkat wajahnya sambil memandang Fahim dengan dahi yang berkerut.

“Tapi...” Syafina tidak menyudahkan katanya. Fahim hanya tersenyum.

“Abang tahu Afin belum bersedia. Tidur je jangan takut. Abang janji abang takkan apa-apakan Afin.” Fahim mengangkat sebelah tangannya seolah mengangkat sumpah. Syafina mencari kejujuran di sebalik wajah suaminya itu.

“Trust me.” Fahim bangun melangkah ke sebelah katil. Syafina hanya memerhati.

“Kita letak bantal ni kat tengah-tengah.” Fahim mengambil bantal peluk panjang lalu diletakkan ditengah-tengah. Memisahkan ruang tidur antara mereka. Syafina tetap memerhati.

“Dah lewat ni. Tidur je. Abang janji takkan sentuh sayang.” Fahim meyakinkan lagi isterinya itu. Dia membaringkan tubuhnya ditempatnya. Syafina tetap membatu memandangnya.

“Cepatlah karang abang ubah fikiran nanti. Abang dah mengantuk ni.” Fahim cuba mengugut. Syafina kaget. Segera dia bangun. Fahim menahan tawanya apabila melihat wajah kalut isterinya itu. Pantang digertak. Getus hati kecilnya.

“Tutup lampu dan kunci sekali pintu.” Kata Fahim lagi sebelum berpaling dan memejamkan matanya.

Syafina menekan tombol pintu dan menutup suis lampu. Hatinya masih berdebar-debar. Bimbang Fahim tidak mengotakan janjinya. Perlahan-lahan dia baring disebelah suaminya. Baru terasa kepenatan ditubuhnya. Matanya yang sudah penat perlahan-lahan terpejam rapat. Dia terus tertidur.

No comments:

Post a Comment